Paras rupa yang kacak jelita tidak semestinya bijak mengatur kata-kata. Bakat yang hebat bersilih ganti memenuhi ruang kanvas seni juga bukan tiket ekspres untuk berjaya dalam bidang seni.

Berbekalkan semangat yang tidak pernah padam, Nazrief Nazri tegar membentengi apa juga halangan. Malah, tanpa segan silu mengakui, dia pernah tersalah mengatur langkah dalam percaturan seninya.

Pernah terpalit kontroversi hitam yang hampir sahaja memusnahkan kariernya yang ketika itu baru sahaja mula menapak, dia tidak gusar dan berpaling daripada panji-panji cintanya terhadap dunia seni.

Mengakui itu kesilapan lampau yang tidak akan diulangi, anak kelahiran Negeri Sembilan ini seikhlasnya mahu peminat menerima kehadirannya dalam industri seni dengan tangan terbuka.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan gambar yang memaparkan dia hanya berseluar dalam bagi menjayakan pertunjukan fesyen suatu ketika dahulu, pelakon Tanah Kubur ini mahu terus melangkah tanpa berpaling.

“Saya sedar itu silap dan khilaf yang tidak mungkin akan terpadam dalam sejarah hidup. Ketika itu saya terlalu muda. Baru berusia 21 tahun dan sedang gigih mengumpul wang.

“Sekarang saya sudah berubah dan mahukan kehidupan yang lebih terjamin. Apa yang berlaku dahulu, biarlah berlalu. Jangan diungkit-ungkit. Lagipun itu kan cerita lama,” kata Nazrief.

Tidak mahu mengulangi kesilapan dahulu, pelakon berusia 25 tahun ini tekad meletakkan syarat dalam lakonan. Bukan mahu mendabik dada, dia sedar namanya masih terlalu hijau dalam rimbunan seni.

Namun, bukanlah bermakna selepas ini tiada lagi adegan bersentuhan mahupun berpelukan, cuma pelakon Cinta Illahi ini tidak mahu membuka baju atau seluar sehingga menayangkan auratnya.

“Saya akur tugas sebagai seorang pelakon, jadi saya tidak boleh beri syarat sebegitu. Cuma kalau boleh, saya tidak mahulah membuka baju sampai nampak pusat dan lutut. Lagipun, drama serta filem sekarang bukan lagi seperti dahulu.

“Adegan bersentuhan pun susah nak lepas, apatah lagi berpelukan. Jadi bagi saya, itu lebih memudahkan. Peminat pun suka dengan drama-drama sebegitu,” katanya.

Tampil sebagai pengacara buat pertama kalinya menerusi program Sembang Terapi, Nazrief pada mulanya agak terkejut. Siapa sangka dia akan terpilih sebagai salah seorang program berbentuk motivasi pagi itu.

Namun, tanggungjawab yang diberikan harus dipikul dengan sebaik mungkin dan pelakon ini sedar akan ada mata-mata yang sentiasa memerhati tindak tanduknya lantaran kesilapan yang dulu.

Disogok soalan, adakah dia sudah bersedia menerima kritikan, Nazrief sedar dan akur bahawa setiap komen tidak kira negatif atau positif memberi ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya tahu, mungkin ramai yang akan mempersoal pemilihan saya sebagai pengacara. Lagi-lagi untuk program yang bercirikan keagamaan ini. Apatah lagi, gambar yang tersebar itu sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif.

“Namun, inilah ruang dan peluang untuk buktikan saya bukan seperti Nazrief yang dulu. Pengalaman saya mungkin sedikit, yelah baru setahun jagung tetapi itu sudah cukup mengajar saya,” katanya.

Turut menyimpan cita-cita melebarkan bakatnya ke pentas nyanyian, pelakon Demi Cinta Ain ini tidak mahu terburu-buru dan tamak dalam mengejar impiannya. Baginya, biar perlahan rentak alur seninya namun, akan ada kepastian di hujung jalan kelak.

“Teringin juga hendak buat single. Tapi nanti-nantilah. Perlu perancangan rapi, sebab dalam bidang ini kalau terburu-buru sangat, takut tersadung langkah pula. Biar saya fokus dalam lakonan dan pengacaraan terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya sesedap mana suara sehingga dia seyakin itu, pelakon ini hanya tersenyum dan menjawab dengan tenang,

“Nanti dengarlah. Kena simpan dulu suara ni,” katanya.

Tolak cinta lokasi

Mengakui dirinya masih solo, Nazref tidak mahu terlalu memikirkan soal cinta. Baginya, kerjaya dalam bidang seni memerlukan komitmen yang tinggi. Jadi, biarlah dia memberi fokus dalam mencorak kanvas seninya.

Bukan tiada yang cuba mendekati, dedah pelakon Suami Sebelah Rumah ini, dia menerima pelbagai pesanan tidak kira lelaki mahupun wanita melalui media sosial yang mahu mengenali dengan lebih lanjut dirinya.

Tidak mahu disalah anggap atau mencetuskan kontroversi murahan, dia mengambil langkah untuk menghiraukan malah ada ketika terpaksa menyekat akaun individu yang dikhuatiri membahayakan keselamatannya.

Namun jelas pelakon ini, dia seboleh-bolehnya menolak cinta lokasi dan lebih selesa sekiranya menjalinkan hubungan dengan wanita biasa yang bukan dalam kalangan pemain industri sendiri.

“Ada di antara mereka menghantar gambar yang bukan-bukan dan disertai dengan pesanan yang berbaur sungguh lucah. Namun, apa saya buat? Saya biarkan sahaja dan memadam semua pesanan tersebut.

“Bukan apa, mereka cuma mahu kan perhatian. Jadi kalau kita melayan, lagilah ‘naik kepala’ jadinya. Mana-mana komen negatif pun saya padamkan sahaja. Buat apa ‘menyemakkan’ otak,” katanya.

Mula mencorak kanvas dengan warna-warna seninya empat tahun lalu, pelakon ini mengakui perubahan yang berlaku dalam ruang lingkupnya tersangat indah. Dia tidak pernah sekali pun mengimpikan akan berada di kedudukan sekarang.

Tidak menganggap dirinya terlalu popular sehingga dia selesa, pemilik Sarjana Muda dalam bidang Operasi Maritim ini tetap bersyukur kerana cita-citanya untuk bertapak dalam bidang seni akhirnya tercapai.

“Rezeki yang dikurniakan tuhan amatlah besar sehingga saat ini saya benar-benar bersyukur. Sebab itu saya tidak mahu terlalu pantas untuk mengejar populariti ataupun kekayaan, saya percaya ia akan datang dengan sendiri.

“Tapi, apa yang paling penting adalah usaha kita. Bagaimana kita menjaga nama baik dan hubungan sesama manusia serta tuhan. Elakkan kontroversi yang boleh memudaratkan nama. Cukuplah sekali saya terkena,” katanya.

Pelakon ini turut mendedahkan, di awal kemunculannya dahulu, ada segelintir pihak yang kurang berpuas hati dan mula menabur pasir dalam periuk nasinya yang baru sahaja mula ‘panas’.

Tidak mahu memetik mana-mana nama, Nazrief sejujurnya tidak pernah ambil pusing dengan perkara tersebut kerana baginya, setiap perbuatan jahat pasti ada balasan daripada Yang Maha Esa.

“Kalau ditanya siapa empunya kerja, sejujurnya saya tidak tahu sebab tidak pernah pula hendak tanya. Cuma ada beberapa penerbit dan ‘orang dalam’ industri yang menceritakan perkara tersebut kepada saya.

“Tak payah susah-susah cari gaduh dengan orang. Kita buat kerja secara ikhlas. Hal yang lain, biarlah tuhan yang tentukan,” katanya.- Gambar ZAMRIMATOUCH KUALA LUMPUR (0132091603)