Keadaan ini juga berlaku kepada pelakon yang sedang meningkat naik, Aizat Hassan, apabila didakwa banyak menerima kritikan dan komen negatif daripada peminat drama dan filem tanah air dek kerana lakonan 'kayu ‘ yang dipamerkan dalam beberapa naskhah melibatkan dirinya.

Masakan tidak, sudah tujuh tahun berkecimpung dalam industri namun tiada peningkatan dalam lakonan.

Itu belum lagi diambil kira komen-komen negatif yang terpapar di laman sosial miliknya. Pendek kata, banyak yang cakap lepas, tak bertapis.

Berpeluang bertanyakan hal tersebut kepada Aizat, Pancaindera meminta pandangan dan komen peribadinya mengenai label 'pelakon kayu’ yang terpalit kepada dirinya.

Dengar luahan hati pelakon berusia 23 tahun yang pernah terbabit dengan drama Sha dan Shah serta filem Aku Tak Bodoh ini.

Apa komen anda apabila peminat menganggap anda seorang 'pelakon kayu'?

Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya tak kisah pun kalau orang nak komen saya ini 'pelakon kayu' atau apa. Perkara itu sudah berlaku sejak saya berlakon dalam slot Azalia lagi. Orang kata saya berlakon 'kayu', sudahlah masih baharu, muka pun muka 'pecah rumah'. Pendek kata, macam-macamlah kutukan dan kritikan yang saya terima. Tetapi saya anggap yang berlaku itu sebagai penyebab untuk menaikkan lagi semangat saya untuk perbaiki diri. Jadi lebih kental dan kuat agar dapat buktikan kepada semua yang mengutuk saya itu bahawa saya juga boleh lakukan yang terbaik.

Sebagai seorang individu, tidakkah anda marah atau terasa dengan kritikan dan kutukan sebegitu?

Kali pertama membaca komen-komen itu, saya tak nafikan terasa juga. Tapi tidaklah sampai pergi membawa diri atau hilangkan diri pula (berseloroh). Saya pujuk hati agar jangan simpan hal ini terlalu lama, takut nanti akan buat saya jadi kurang bersemangat. Saya juga fikir, adalah tidak berbaloi kalau saya terlalu mengambil kisah kata-kata sebegitu. Iyalah, sampai bila? Saya ambil komen yang baik, membina dan sihat sebab saya tahu, saya sendiri perlu lakukan perubahan dan penambahbaikan dalam aspek lakonan.

Secara peribadi, pernah tak anda ditegur mengenai cara lakonan anda?

Bohonglah kalau saya kata tak pernah. Kalau di set penggambaran pun saya pernah kena marah dengan pengarah. Pengarah nak yang terbaik daripada saya dan kalau saya kena marah disebabkan perkara itu, saya tak ambil hati. Sebab saya anggap itu adat, biasalah pengarah marah pelakon. Cumanya, saya hairan kalau orang luar yang nak cakap atau nak komen lebih-lebih. Kalau ikutkan, di set tentulah pengarah akan tegur saya atau marah saya dulu untuk memastikan saya berjaya merealisasikan sesuatu watak itu dengan baik sebelum dipertontonkan di kaca televisyen. Ini mereka yang pula yang lebih-lebih komen. Tapi seperti saya katakanlah, kalau komen yang membina saya ambil, terima dengan positif.

Ada juga segelintir pelakon apabila dimarahi di set penggambaran menganggap itu satu penghinaan. Apa pula komen anda mengenai perkara tersebut?

Itu adalah mengenai penerimaan masing-masing. Kalau anggap sebagai satu teguran untuk kebaikan, untuk mengajar, ambillah sebagai sesuatu yang positif. Tetapi dari satu sudut, orang yang menegur itu juga haruslah tahu cara yang betul untuk menegur biarpun alasannya untuk membentuk seseorang pelakon. Saya faham kadangkala ada yang suka lepas cakap apabila nak menegur. Perkara itu tentu sahaja boleh membuat seseorang terasa hati, lebih-lebih lagi yang jenis sensitif. Kalau ikutkan, ramai saja orang dalam industri ini yang jenis cakap lepas. Tapi berbalik kepada bagaimana kita menerima sesuatu teguran itu. Adalah sesuatu yang normal kalau dengar bunyi macam maki tetapi sebenarnya tiada apa-apa pun. Bagi saya, terima sahajalah setiap teguran selagi tidak memudaratkan atau menjatuhkan maruah kita. Tapi saya akui saya tidak kisah ditegur cuma biarlah kena dengan caranya.

Apa pula komen anda apabila ada berpendapatam anda pelakon yang lambat naik biarpun sudah tujuh tahun dalam industri?

Itu berbalik kepada soal rezeki dan tuah seseorang. Mungkin rezeki saya untuk benar-benar dikenali belum sampai. Tetapi cukuplah... sekarang ini pun ada progres yang baik dari segi karier saya biarpun secara perlahan-lahan. Saya akui mungkin saya lambat naik kerana saya tak pandai nak promosi diri saya disebabkan saya seorang yang pemalu. Tapi selepas setahun berada di bawah pengurusan MIG, nampaknya karier saya berkembang. Dulu saya nak jumpa orang pun saya tak tahu bagaimana caranya. Sekarang barulah saya rasa lebih yakin, saya cuba perbaiki diri dan cara berkomunikasi dengan orang dalam industri. Tapi saya percaya, rezeki daripada Allah SWT tetap ada untuk saya. Cuma sama ada cepat atau lambat sahaja. Insya-Allah, jika ada rezeki dan peluang untuk saya, pasti saya juga akan dikenali kelak.