Merancang pertemuan dengannya di Hotel Majestic Kuala Lumpur, seperti pertemuan sebelum ini, senyuman manis Mira yang mampu mencairkan hati mana-mana lelaki menyambut ketibaan saya dan jurugambar.

Tidak hairanlah apabila di laman sosial, Mira sering menjadi mangsa usikan nakal netizen terutama golongan remaja lelaki yang mendambakan teman wanita seumpamanya. Bukan sahaja cantik, malah memiliki latar belakang pendidikan yang baik.

Mengimbas kembali kemunculan awalnya, karier seni Mira bermula apabila dia aktif di bidang peragaan sebagai seorang model pakaian Muslimah. Galak menggayakan label-label terkenal yang mengetengahkan busana beridentitikan Islam, rakaman gambarnya memperagakan rekaan mula ‘bertebaran’ di alam siber, memperkatakan tentang kecantikannya.

Dalam kalangan jejaka, tidak kiralah di Instagram, Facebook, Wechat, Blog, WhatsApp dan segala bentuk medium maya, mereka rancak menyebut nama gadis ayu bertudung itu yang terpesona dengan kecantikan mata bundar serta daya tarikan senyumannya.

Maka, berpusu-pusu manusia ‘menyerang’ laman sosialnya meninggalkan komen nakal menguratnya secara terang-terangan, sekali gus menjadikan Mira salah seorang selebriti maya yang memiliki ratusan ribu pengikut.

Peluang itu tidak dipersiakan stesen televisyen swasta untuk mencari keuntungan atau sebagai satu bisnes. Lantas atas permintaan, dia dilamar oleh sebuah produksi drama yang akhirnya menjadikannya seorang pelakon.

Bermulalah kariernya sebagai anak seni, Cinta Si Wedding Planner melonjakkan populariti Mira sehinggakan dalam tempoh yang amat singkat, dia berjaya menggondol trofi Artis Baharu MeleTop di Anugerah MeleTop Era baru-baru ini.

Sambil Mira sibuk menyiapkan diri untuk menghadiri sebuah pertunjukan fesyen di sebelah malamnya, gadis periang itu tidak kisah masanya dicuri untuk menjayakan sesi temu bual bersama Mega.

Lantas, peluang itu digunakan sepenuhnya untuk mengenali Mira. Sambil memerhatikan gelagatnya, Mega terus meminta pandangannya terhadap budaya yang diamalkan stesen televisyen tempatan terutama swasta yang giat mengambil pelakon baharu dari kalangan selebriti maya yang belum tentu ada kualitinya.

Sedikit terkedu, namun Mira kemas menyusun bicaranya. Katanya, amat berat untuk menjawab pertanyaan itu kerana dia sedar, platform yang sama telah menjadikannya seperti hari ini.

Pun begitu, menjawab soalan itu, Mira berkata, bakat tetap memainkan peranan utama apabila melibatkan bidang seni. Namun tidak menolak, rupa paras menjadi taruhan untuk mencantikkan ‘pemandangan’ audiens ketika menonton sesebuah drama.

“Rasa tidak layak untuk menjawab soalan ini memandangkan diri saya yang masih mentah dalam bidang ini. Bagaimanapun, saya cuba menjawabnya. Bagi saya, walaupun di peringkat awal audiens lebih menilai rupa seseorang, akhirnya nanti, bakat yang diberi keutamaan untuk memastikan kelangsungan dalam bidang ini.

“Artis yang dapat meninggalkan kesan menerusi produknya kepada peminat, insya-Allah mereka sentiasa diingati dalam tempoh masa yang lama selama ia diperlukan dalam industri. Bermaksud, bakat itu senjata utama untuk mempertahankan kedudukan.

“Saya sendiri sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki gaya lakonan atau persembahan. Timba ilmu sebanyak mungkin untuk mempersembahkan mutu yang berkualiti, tidak mahu bergantung kepada populariti semata-mata.

“Pelakon silih berganti kerana minat seseorang itu terhadap luaran sukar untuk bertahan lama. Sebab itulah, pokok pangkalnya bakat kerana dengan kebolehan yang ada itulah yang menggerakkan pelakon dari satu tahap ke satu tahap lebih tinggi,” jawabnya berhati-hati sekali, barangkali enggan melukai hati mana-mana pihak.

Masih banyak kekurangan

Diajukan soalan tentang pendapatnya apabila muda-mudi menggelarnya ikon gadis Melayu dek susilanya yang mencerminkan imej Timur, ternyata Mira tidak selesa tanggapan sebegitu.

“Takut!” Jawabnya spontan. Sambung Mira, dia hanya manusia biasa yang punyai kelebihan dan kekurangan, tidak sempurna. Seseorang itu dilahirkan dengan sifat baik dan buruk, jadi gelaran itu membuat perutnya ‘kecut’.

“Tak tahu nak berikan reaksi yang bagaimana. Yang saya tahu, takut! Gelaran ikon atau idola itu terlalu besar, selain saya bimbang dengan pujian. Cuma saya hanyalah gadis mentah yang baru belajar untuk menjadi anak seni, bukan siapa-siapa.

“Apabila ada gelaran itu, tanggungjawabnya besar. Harapan yang diletakkan amat tinggi. Jadi, saya takut menghampakan ramai orang. Bagaimanapun, saya optimis dan sebagai manusia, peluang untuk menjadi lebih baik sentiasa terbuka luas,” tuturnya lembut.

Kemudian ditanya lagi, apabila Mira berhadapan dengan kontroversi atau kritikan, apakah yang membuatkannya begitu tenang, tidak melenting, malah tetap tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Selalunya kontroversi meluas apabila melibatkan media sosial. Heboh disebabkan komen-komen pengikut yang berbalas-balas. Saya ambil pendekatan mudah sahaja, langsung tidak mempedulikan tulisan berkenaan dan lebih gemar teguran secara peribadi terus kepada saya.

“ Itu yang memberi semangat untuk teruskan perjuangan dalam bidang ini. Kata-kata yang merangsang kerjaya, jadi pemangkin. Itu saja, tiada cara lain yang saya praktikkan. Alhamdulillah, setakat hari ini tidak timbul sebarang masalah,” tambahnya memberi jawapan.