Justeru, untuk menerima cinta seorang lelaki ketika ini, sudah pasti si dia juga perlu disenangi oleh insan paling penting dalam hidupnya iaitu si kecil Putri Sara Sefhia yang berusia tiga tahun.

“Saya tidak nafikan memang berada dalam fasa percintaan dengan seseorang. Boleh dikatakan hubungan kami sudah serius. Malah ketika ini juga saya, kekasih dan Sefhia sedang melalui saat-saat paling bahagia untuk kami bertiga.

ELLY MAZLEIN lebih gemar membawa watak antagonis.
ELLY MAZLEIN lebih gemar membawa watak antagonis. 

“Melihat cara dia melayan Sefhia saya tidak nafikan dia adalah seorang lelaki yang baik. Malah ketika keluar bersama, kami bagaikan sebuah keluarga dan kadang-kala terasa macam keluar dengan suami pula,” katanya jujur.

Berkongsi ciri-ciri lelaki pilihan hatinya ini, Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, tidak melihat kebendaan sebagai fokus utama.

Jelas pelakon ini, sikap tanggungjawab yang ditunjukkan si kekasih berjaya meyakinkannya kembali membuka hati untuk berumah tangga.

“Saya mengenalinya secara tidak sengaja. Kekasih saya merupakan seorang pekerja dalam sektor kerajaan dan berusia lewat 20-an. Apa yang membuatkan saya tertarik dengannya ialah bagaimana dia mengambil berat setiap permintaan saya.

“Contohnya bila saya kata sebelum berkahwin kena ada rumah, bukan saya minta sebuah rumah yang besar dan mewah tetapi bila dia sudah membeli sebuah rumah, saya lihat dia serius untuk mempunyai sebuah keluarga.

“Sebab saya jelaskan kepada dia, aset ini adalah persediaan untuk dia sebagai ketua keluarga nanti,” kongsinya.

Mengenali kekasihnya sejak Ogos tahun lalu, nampaknya apa yang dimaksudkan sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab tidak sekadar termaktub menyediakan barangan asas sahaja.

Kata Elly Mazlein, antara ciri paling penting yang ditunjukkan bakal suaminya itu adalah bagaimana dia berusaha membimbing dirinya ke arah yang lebih baik.

“Sepanjang mengenali dia ada satu perkara yang akan dilakukan setiap hari iaitu sentiasa mengingatkan saya soal solat. Sebenarnya sudah menjadi impian saya untuk menunaikan solat bersama suami sebab saya belum pernah melaluinya lagi.

“Bila orang kata lelaki muda tidak matang, saya akui yang saya juga pernah berpendapat sedemikian. Tetapi bila mengenali si dia, tanggapan itu tidak benar sama sekali. Sebab apa yang saya lihat adakalanya mereka yang muda jauh lebih matang daripada lelaki berusia,” katanya.

Tahun 2019 kembali bergelar isteri?

SUKAR untuk Elly Mazlein menjawab ketika diajukan soalan sama ada tahun ini bakal menyaksikan dia kembali berumah tangga.

Sebagai seorang artis yang berpengalaman, dia tidak melihat keputusan menyorokkan perkahwinan sebagai pilihan yang tepat.

“Insya-Allah, saya akan kongsikan dengan rakan media. Buat masa ini saya tidak boleh kongsi apa-apa lagi.

“Cuma bulan ini saya akan melawat keluarga kekasih saya di Kelantan. Sebenarnya kekasih saya adalah anak kelapan daripada 13 beradik. Jadi boleh bayangkan bagaimana meriahnya keluarga mereka. Bila berkumpul memang seronok sebab kita datang daripada keluarga yang kecil, ini pengalaman baharu buat saya,” katanya.

Mendapat izin daripada bapanya untuk meneruskan hubungan ini. Elly Mazlein juga tidak melihat keperluan baginya untuk mengadakan majlis besar-besaran untuk perkahwinan kali keduanya.

Memegang kesederhanaan sebagai kunci utama, namun dia tidak menolak untuk meraikan hari bahagianya itu dengan cara tersendiri.

“Tidak mahu buat besar-besaran, sederhana sudah memadai. Malah kalau boleh mahu mengenakan baju kurung Kedah sahaja hari bernikah nanti. Cuma dalam soal ini saya tidak boleh pentingkan diri. Ini merupakan perkahwinan kali pertama untuk kekasih saya, jadi tentunya akan ada satu majlis.

“Malah kami juga akan bertunang terlebih dahulu kerana semua hal perkahwinan ini adalah kali pertama bagi si dia,” katanya.

Sekali pun sudah bersikap terbuka tentang kisah cintanya dengan lelaki muda itu, namun Elly Mazlein tidak berhasrat mahu mendedahkan identiti si dia yang bertuah itu.

Malah katanya, dia mungkin hanya akan berkongsi wajah bakal suaminya bila tiba tarikh perkahwinan kelak.

“Buat masa ini belum boleh kongsi lagi. Mungkin pada malam berinai nanti,” jelasnya sambil tertawa.

Masih laku

MENGAKUI yang dunia nyanyiannya berjalan dengan agak perlahan, bagaimanapun rezeki penyanyi yang popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini terus meriah dalam bidang lakonan.

Berjaya meyakinkan penonton melalui watak antagonis, Elly Mazlein melihatnya sebagai satu peluang yang baik untuk memperbaiki mutu lakonan.

“Saya memang suka bawakan watak antagonis sebab kita tahu penonton suka bila mereka memberikan respon terhadap lakonan kita. Saya tidak membawa watak jahat semata-mata sebab saya lebih suka selitkan unsur komedi dalam watak sebegitu bagi memberikan kelainan.

“Jujurnya bukan mudah bawa watak antagonis memandangkan setiap kali membawakan watak sedemikian, perlu ada kelainan. Kalau sekadar berlakon mengikut skrip, tidak ada sebarang perbezaan,” katanya.

Sementara itu, menjadi pengacara untuk program Bintang Mencari Bintang 2019, Elly Mazlein mengakui formula yang digunakan di atas pentas tersebut ialah menjadi dirinya sendiri.

“Saya tidak tahu sama ada mampu buat lawak atau tidak. Sebab saya suka menjadi diri sendiri kalau di atas pentas. Tetapi kalau melihat komen yang ditinggalkan dalam laman sosial melalui kapsyen dalam gambar, mereka akui saya seorang yang kelakar.

“Bila diberi kepercayaan untuk mengendalikan program hiburan seperti ini memang saya tidak mahu lepaskan sebab ini antara bidang yang saya suka. Jujurnya selepas diberi peluang untuk mengacarakan Anugerah Skrin 2018 saya menerima banyak tawaran.

“Memang ada tawaran yang perlu saya tolak memandangkan jadual tidak mengizinkan. Pada Ramadan nanti saya akan mengendalikan sebuah program masakan,” jelasnya panjang lebar.