Walaupun tidak diletakkan sebagai antara kelompok pelakon utama tetapi peranannya sebagai pelakon lagak ngeri berbekas di hati. Pengalaman yang ditimba lapan tahun lalu itu masih segar dalam ingatan, tambahan pula dapat bekerjasama dengan pelakon dan kru hebat tanah air.

“Sebenarnya itu antara pengalaman pertama yang saya lalui dalam bidang seni. Ketika itu saya memberanikan diri menghadiri uji bakat yang dibuat bagi mencari pelakon lagak ngeri. Tak sangka pula terpilih.

“Tapi selepas itu saya mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan kepada pekerjaan lain. Tak terfikir pula nak menjadi pelakon atau terlibat dalam bidang ini. Jadi saya menyepikan diri buat seketika,” cerita Syaffiq.

Namun begitu jiwa lelaki ini untuk berlakon tetap bergelora. Meskipun selesa dengan pekerjaannya ketika itu, hatinya tetap terarah kepada bidang seni walaupun tahu dia perlu menghadapi cabaran besar untuk menempatkan diri dalam kalangan pelakon sedia ada.

Tidak pernah berputus asa, pelakon yang berasal dari Terengganu ini mencuba nasib sebagai pelakon tambahan dalam drama Titisan yang disiarkan di TV1 serta menyertai beberapa iklan komersial seperti KFC dan Snickers pada 2012.

Keyakinan Syaffiq semakin bertambah apabila dia memberanikan diri menghadiri banyak uji bakat selepas itu. Antara drama yang disertai termasuklah Asam Pedas Untuk Dia, Pujaan Hati Umi dan Cinta Masam Manis yang ditayangkan beberapa tahun lalu.

“Tak mudah sebenarnya untuk menempatkan nama dalam industri ditambah pula dengan kehadiran ramai orang baharu yang mencuba nasib. Tapi saya tak pernah patah semangat dan tahu ini adalah cabaran yang harus dilalui.

“Apabila orang mengenali saya maka saya kena berusaha dua kali ganda untuk dikenali. Berbanding dengan mereka yang sudah popular, saya pula perlu menghadiri uji bakat dan tidak boleh terlambat.

"Semua ini adalah proses pembelajaran untuk orang baru seperti saya,” katanya lagi.

Kepelbagaian

Tidak hanya menumpukan kepada lakonan semata-mata, Syaffiq sebenarnya turut berbakat dalam bidang seni suara. Kini dia bersama-sama adiknya dan beberapa rakan lain sedang giat mempromosikan kumpulan Othllo yang baru ditubuhkan penghujung tahun lalu.

Semuanya bermula apabila dia mencuba nasib dalam pertandingan i-Klon yang dianjurkan oleh saluran TV-i sebelum ini. Rancangan yang mencari klon artis seluruh dunia itu mengumpulkan ramai bakat-bakat baharu seperti dirinya.

Membawakan klon Bruno Mars, Syaffiq bersyukur kerana mendapat tempat ketiga dalam program berkenaan dan membuka mata Cat Farish sekali juri untuk melamarnya sebagai artis naungan penyanyi dan komposer berkenaan.

“Dia nampak bakat yang ada dalam diri saya dan tertubuhlah kumpulan Othllo bersama-sama Haziq, LS dan Amir.

“Kami bernaung di bawah label Godzilla Boombox yang juga merupakan milik Cat. Buat masa ini kami baru sahaja merakamkan lagu Elok-Elok yang dijadikan single pertama,” katanya lagi.

Menariknya, lagu Elok-Elok yang dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri Married Tapi Benci mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Buktinya tontonan di laman perkongsian video YouTube begitu memberangsangkan dan menaikkan semangat mereka untuk bekerja lebih keras.

Menyasarkan untuk mengeluarkan album seperti yang dicita-citakan, tumpuan Syaffiq kini terarah kepada mencari lagu baharu yang menarik serta boleh mencuri perhatian peminat untuk mengenali Othllo dengan lebih dekat.

“Kumpulan kami adalah kumpulan vokal berharmoni dan bukannya kumpulan muzik. Pastinya ada sesuatu yang menarik akan kami berikan tambahan pula pasaran semasa yang kekurangan kumpulan seperti ini.

“Bersama-sama Cat, kami ada membuat beberapa perancangan termasuklah rangka promosi lagu tersebut dan sebagainya. Insya-Allah semoga jalan kami dipermudahkan,” katanya.