Menurut pengurusnya, Rozi Abdul Razak, pihaknya berbesar hati menerima anugerah berprestij yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tiga hari lagi.

“Lebih membuatkan Siti teruja apabila mendapat tahu namanya dalam senarai 12 orang penerima anugerah antarabangsa yang lain.

“Syukur alhamdulillah, semoga kejayaannya itu menyuntik semangat buat golongan wanita lain untuk tidak berputus asa mengejar impian mereka,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Anugerah Antarabangsa Rania 2019 merupakan anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Pusat Perniagaan Antarabangsa yang diketuai Pengerusinya, Dr. Raja Laila Rani Raja Mohamad Abdullah.

Selain Siti Nurhaliza, beberapa ikon wanita terhebat kelahiran Qatar, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Iran dan Mesir turut menerima anugerah yang sama.

Kata Raja Laila, pengaruh dan kejayaan dalam perniagaan hingga mengharumkan nama negara menjadi faktor utama penyanyi lagu Kasihku Selamanya itu dicalonkan sebagai penerima anugerah utama.

Selain itu, imej bersih, kewibawaan dan peribadi Siti yang kekal sebagai wanita muslimah menjadi faktor pemilihan oleh pihak jawatankuasa induk OIC.

“Beliau adalah calon terbaik untuk penerima anugerah utama. Usahawan berjaya yang boleh dijadikan ikutan buat semua,” kata Dr. Raja Laila lagi.

Bersempena acara itu, turut diadakan pameran Muslim World Biz Kesembilan bermula pada 4 hingga 6 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Seiring dengan itu, pihak penganjur menjemput artis tempatan yang mempunyai produk tersendiri untuk membuka ruang perniagaan di lokasi yang sama.

Antara artis yang mengambil bahagian adalah Diana Danielle, Azza Elite, Iesya Toh, Linda Rafar, Diana Rafar, Yatt Hamzah, Almy Nadia, Abby Abadi dan ramai lagi. - UTUSAN ONLINE