Itulah yang dapat digambarkan dengan situasi pelakon kacak Fendy Bakry yang masih ‘bernafas’ dan bangkit dalam industri kerana dorongan daripada orang di sekelilingnya.
Tahun lalu, Fendy Bakry pernah jatuh sakit. Dia pulih dan kembali sihat atas sokongan dan doa ahli keluarga dan seorang insan istimewa. 
HITS mengusik Fendy Bakry, siapakah gadis istimewa di hatinya sekarang? 
Dengan jujur pelakon ini mengakui dia sedang berbahagia dengan kehadiran seorang wanita istimewa. Namun siapa si gadis tersebut, Fendy tidak mahu mendedahkannya. 
“Saya mengaku sudah punyai kekasih yang sentiasa ada di kala susah senang. Siapa gadis tersebut, biarlah menjadi rahsia dulu. Cukuplah peminat tahu yang saya sudah ada seseorang. Insya-Allah, sampai masanya nanti apabila segala-galanya termaktub dan jelas, saya akan kongsi siapa dia dalam laman sosial.
“Apa yang saya boleh cakap, dia seorang yang memahami terutama situasi kerja saya sebagai pelakon. Sikap begini  yang paling sukar dicari,” kata Fendy terus terang. 
Bagaimanapun,  pelakon yang popular menerusi  drama Mr. Grey ini tidak menjadikan adanya teman istimewa tersebut sebagai keperluan untuk dia mendirikan rumah tangga dengan segera. 
Soal tersebut masih belum difikirkan lantaran masing-masing sedang berusaha mengukuhkan kerjaya terlebih dahulu sebelum bersedia memikul tanggungjawab yang lebih berat. 

“Pasal kahwin, saya belum memikirkannya. Biarlah masa menentukan. Fokus utama saya sekarang adalah kerjaya yang baru sahaja bermula selepas saya jatuh sakit dulu. Banyak lagi yang perlu saya capai memandangkan baru bangkit semula. 
“Saya perlu memperkuatkan nama, karier dan kewangan terlebih dahulu sebelum mengorak langkah lebih jauh. Semua itu perlukan masa dan kesabaran. 
“Apa pun saya percaya, segalanya akan dipermudahkan bila tiba masa dan ketikanya,” kata Fendy. 
Pelakon ini tidak menafikan selain kekasih hati dan keluarga, para peminat juga menjadi punca dia menjadi ‘kuat’ bagi meneruskan kerjaya.
Walaupun kisahnya sakit sudah lama berlalu, namun kesannya di hati Fendy masih terasa hingga ke saat ini. 
“Sakit yang dialami banyak membuatkan saya sedar yang ramai orang sayangkan saya. Sudah tentu antara insan yang selalu mendoakan saya ialah para peminat. Tidak mungkin  saya boleh melupakan kasih sayang mereka hingga ke saat ini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.
“Walaupun ketika itu sunyi tanpa sebarang aktivti lakonan, mereka sentiasa menyokong. Tak sangka sungguh sampai begitu sekali sayang mereka pada saya. Saya dikenali dalam industri pun adalah disebabkan peminat.
“Kalau ikutkan, lebih ramai lagi artis sebaya yang hebat dan mempunyai pakej yang menarik, namun ‘rezeki’ peminat itu berpihak kepada saya.
“Saya selalu bermohon kepada Allah agar tidak lupa diri dan sentiasa dikelilingi oleh orang yang boleh menegur andai saya lupa diri. Tegurlah untuk kebaikan saya,” kata pelakon ini lagi.

SAINGAN
 

 

Dalam usia yang masih ‘hijau’ dalam industri lakonan, Fendy sering diberikan watak-watak utama atau hero dalam drama. Menyedari hal ini, Fendy sendiri tidak meletakkan dirinya hebat sebaliknya ingin cuba membawakan watak pembantu.
“Rezeki saya sekarang banyak menjadi pelakon utama. Namun itu bukan’lesen’ untuk saya terus berasa selesa dengan amanah yang diberikan. Walaupun diberikan peranan utama dalam drama, namun siapalah saya tanpa pelakon-pelakon hebat yang berlakon bersama saya.
“Dalam mana-mana drama yang saya lakonkan, saya akui ramai yang lebih hebat dan jauh berpengalaman. Setiap daripada mereka mempunyai kekuatan, gaya dan pengaruh tersendiri. Jadi, saya banyak belajar daripada mereka untuk terus berikan yang terbaik.
“Saya tidak pernah anggap rezeki saya mampu membawa watak utama kerana diri  sendiri, sebaliknya ia dibantu kuat oleh teman-teman pelakon lain dan kru. Jujur saya cakap, tak ke mana pun lakonan saya tanpa aura mereka,”  katanya.
Malah, Fendy tidak pernah menganggap rakan-rakan pelakon itu sebagai saingan, sebaliknya mereka dilihat sebagai guru untuk dia terus menggilap bakat.  
Namun kata Fendy, adakalanya dia terpaksa ‘berlagak’ berada satu taraf dengan para pelakon hebat kerana mahu memberikan hasil yang terbaik.
“Kadang kala saya tidak boleh terlalu merendah diri dengan mereka sehingga takut untuk bergaul. Sebaliknya, untuk mendapatkan keserasian dalam drama, saya perlu menganggap mereka adalah satu tahap dengan saya agar wujud keberanian untuk berlakon bersama, 
“Tapi itu hanya dalam lakonan. Apabila di luar penggambaran saya sangat menghormati kedudukan mereka,” katanya. 

CEREWET

Fendy mengaku perlu cerewet dalam memilih naskhah yang akan dilakonkannya. Tidak takutkah kalau dicop sebagai diva?
“Saya tidak memilih watak kerana mahu belajar lebih banyak lagi ilmu dalam lakonan. Watak utama atau sokongan, saya terima sahaja. Apa yang saya cerewet adalah tentang pemilihan naskhah sesebuah drama. 
“Bagi saya, kehebatan atau naiknya populariti seseorang adalah disebabkan naskhah yang mereka bawa. Naskhah yang hebat secara tak langsung akan membawa populariti kepada para pelakon yang terlibat.
“Lihat sahaja watak Pali oleh Syazwan Zukifly dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda sebelum ini. Walaupun membawa watak pembantu dan antagonis, Syazwan berjaya ‘memukau’ penonton melalui naskhah yang sangat bagus. Jadi saya mahu jadi seperti itu.
“Saya juga teringin membawa watak pembantu yang boleh menjadi tarikan kuat kepada sesetengah drama. Misalnya watak antagonis yang mempunyai dua personaliti. Watak sebegini sedikit sebanyak mencabar saya untuk menjadi pelakon versatil,”  katanya. 

KELAS LAKONAN
Disebabkan terlalu meminati lakonan, Fendy tidak kisah menyertai kelas lakonan.
“Saya pernah dengar pelakon hebat adalah pelakon yang tidak pernah berhenti untuk mencari ilmu sepanjang hayatnya. Semakin banyak dia belajar, semakin kurang rasanya ilmu di dada. Saya mahu jadi seperti itu.
“Untuk itu, saya menyertai kelab lakonan teater di Perlis dan mencuri masa belajar di kelas lakonan bersama Fauziah Nawi. Selain belajar teknik lakonan, saya belajar banyak pengalaman daripada setiap orang yang ada di kelas tersebut kerana masing-masing ada kelebihan yang saya tidak ada,” katanya, 
Fendy juga menyeru pelakon muda termasuk dirinya agar mencontohi pelakon veteran dalam menghayati watak.
“Saya bersetuju dengan seorang pelakon senior yang bengang dengan sikap pelakon-pelakon muda yang lebih gemar bermain telefon di lokasi penggambaran berbanding baca skrip.
“Saya sendiri elakkan bermain telefon di lokasi melainkan ada hal yang penting dan tidak dapat dielakkan. Jika asyik bermain telefon, bagaimana hendak fokus. Bila hilang fokus, sudah tentu akan menysusahkan  para pelakon lain yang awal-awal sudah membuat homework,” kata Fendy yang membintangi drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu sebelum ini. 

IMPIAN

Sebagai pelakon, selain mengharapkan rezeki yang semakin murah dalam lakonan, Fendy juga berharap beberapa impiannya tercapai pada tahun ini.
“Saya berharap urusan untuk membeli rumah sendiri dipermudahkan. Saya mahu keluarga menikmati segala titik peluh saya melalui rumah yang bakal dimiliki.
“Selain itu, saya mahu muncul dengan bisnes produk sendiri. Jika tiada aral, produk saya kelak adalah sabun mandi. Saya mahu kelainan yang jarang dibuat orang. Semuanya dalam proses. 
“Memandangkan bisnes produk bukan bidang saya, jadi saya perlukan masa  untuk menghasilkannya. Kalau boleh apabila produk ini sudah masuk pasaran, ia diiringi dengan pakej pemasaran yang teratur dan disusuli dengan strategi yang bagus,” kata Fendy mengakhiri perbualan.