Lazimnya mereka akan berkata, ibu banyak mempengaruhi dan menjadi inspirasi, pada masa sama pengkritik nombor satu masakan mereka.

Sememangnya setiap anak mempunyai pengalaman memasak di dapur bersama ibu tersayang. Sudah pasti pelbagai pengalaman dilalui selain memperoleh ilmu-ilmu serta tip-tip yang berguna di dapur daripada ibu masing-masing.

Senario sama dilalui oleh selebriti popular dunia masakan, Sherson Lian yang banyak berkongsi masa berkualiti di dapur bersama ibunya, Ann Lian.

“Sejak dari kecil saya memasak dengan ibu dan pastinya perbezaan pendapat berlaku setiap kali menyediakan menu, namun itu adalah saat-saat yang menyeronokkan untuk dikongsi.

“Saya pasti anda semua pernah memasak bersama ibu dan mempunyai pelbagai pengalaman bersama mereka di dapur. Saya yakin memasak bersama ibu ada kalanya tidak mudah,” ujarnya berseloroh pada program A Day In The Kitchen With Mom, di Lazat Cooking School, Sungai Penchala, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Program tersebut sempena memperkenalkan rancangan televisyen Family Kitchen with Sherson 2, terbitan Asia Food Channel (AFC).

Menurut Sherson, dia berkongsi pengalaman di dapur bersama ibunya sejak berusia 11 tahun lagi.

Apa yang menarik, dia yang tidak pernah mengikuti kursus-kursus kulinari dan mempunyai kelayakan akademik dalam bidang itu, mengakui hampir kesemua kemahiran yang dimiliki kini diperoleh dari ibunya ketika membantu wanita itu menguruskan kafe milik keluarga satu ketika dahulu.

“Ibu mempunyai ahli keluarga yang besar, jadi dia sangat mahir memasak selain menguruskan sebuah kafe dan kini mengendalikan homestay (inap desa). Jadi saya banyak memperoleh pengalaman dari dia sampailah sekarang.

“Berada di dapur bersama ibu sudah pasti menyeronokkan kerana dapat berkongsi sesuatu dengan individu yang merupakan ‘tukang masak’ keluarga,

“Namun, ‘pergaduhan’ ketika di dapur tidak dapat dielakkan memandangkan setiap tukang masak ada kemahiran masing-masing. Pun begitu, sudah pastinya ibu saya adalah yang terbaik,” jelasnya yang kini menguruskan Restoran Hello by Kitchen Mafia di Sekayen 17, Petaling Jaya.

Bagi Ann pula, memasak merupakan aktiviti wajib, malah minat tersebut telah membuka jalan untuk memiliki sebuah kafe di Kuala Lumpur, suatu ketika dahulu.

Ujar ibu kepada empat orang anak yang juga minat menyanyi dan menari pada waktu lapang, memasak merupakan antara aktivitinya bersama Sherson setiap hari sejak dia kecil.

Ketika itu tugas anak lelakinya itu hanya mengupas kulit bawang.

Menurut Ann, aktiviti memasak bersama anak-anak merupakan waktu menyeronokkan kerana dapat bertukar idea dan pendapat setiap kali menghidangkan sesuatu buat keluarga atau tetamu.

“Sejak kecil Sherson sangat suka tolong saya di dapur, lama-kelamaan dia sangat meminati bidang masakan. Sekarang dia sudah popular dalam bidang ini, sesuatu yang tiada siapa menduga pada awal dahulu.

“Sherson banyak memperoleh kemahiran di dapur ketika membantu saya di restoran, tetapi kini dia mempunyai caranya sendiri, sesuai dengan jiwanya yang muda,” katanya.

Kini, orang ramai juga berpeluang berkongsi pengalaman Sherson memasak bersama ibunya melalui rancangan memasak berkonsepkan kekeluargaan, Family Kitchen with Sherson 2.

Rancang tersebut ke udara setiap Khamis pukul 9 malam bermula 21 April lalu di rangkaian AFC di Astro.

Dua beranak ini membawa hubungan kekeluargaan mereka ke layar televisyen melalui aktiviti memasak dengan mengetengahkan menu-menu yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga sambil diberi nafas baharu dan sentuhan kreatif.

“Rancangan Family Kitchen With Sherson 2 ini akan menampilkan tentang hubungan yang terjalin antara kami berdua di dapur serta ahli keluarga yang lain, selain penonton berpeluang mencuba resipi-resipi yang menjadi hidangan kami sekeluarga,” jelas Ann.

Tambahnya, rancangan tersebut akan memaparkan suasana berada di dapur ketika menyediakan menu-menu kegemaran keluarga Lian secara santai dan menyeronokkan.

Dalam pada itu, Sherson berkata, pengalaman memasak bersama ibunya merupakan sesuatu yang seronok untuk dikongsi bersama penonton.

Setiap episod yang dipaparkan mempunyai daya tarikan tersendiri sama ada menu yang dipersembahkan, mahu pun gaya bersahaja mereka berdua.

Siri rancangan menggabungkan dua generasi memasak ini, mengandungi lapan episod dengan menampilkan lapan jenis masakan mengikut episod yang ditayangkan.

Antaranya, kampung classics, spice it up, siblings favourites, seafood special, dad’s favourite dan outside in, yang mengetengahkan pelbagai jenis masakan yang bersiaran selama 30 minit dengan tiga menu dipersembahkan untuk setiap episod.

Untuk episod pertama, iaitu kampung classics, Sherson dan ibunya akan memasak menu kegemaran keluarga mereka dari kampung seperti ikan sumbat, daging hitam yang dihidangkan bersama sup keladi, serta sambal belacan dan ulaman.

Selain itu, penonton juga berpeluang mempelajari bagaimana dua beranak itu menghasilkan serbuk kari sendiri yang digunakan dalam pelbagai masakan seharian, seperti kambing panggang dan corn potato pakora.

Pada musim ini, dua tema baharu diperkenalkan, iaitu Melaka specials yang menampilkan dua beranak itu membawa keluarga mereka ke kampung di Melaka untuk cuba memasak resipi turun-temurun, seperti itik tim (sup itik dengan sayur masin Peranakan), udang masak lemak dengan nenas Nyonya dan kari debel, iaitu sejenis kari ayam.

Bertepatan dengan jiwa keluarga Lian yang sangat menggemari sesuatu yang bersifat alam semula jadi, musim baharu kali ini chef muda itu turut berkongsi resipi berasaskan menu sihat seperti kerabu, basil stir-fry tofu dan butter milk stir-fry brussel sprouts yang mudah dan cepat dimasak.

Sherson yang tidak asing di kaca televisyen apabila pernah muncul dan mengacarakan beberapa program dan siri masakan popular. Antaranya, The Amazing Food Challenge: Fun in the Philippines, 5 Rencah 5 Rasa, Dapur Selebrity serta Great Dinners of the World. 
- Gambar ROY AZIS