Diari seninya tidak pernah pudar daripada cerita-cerita panas, ada sahaja pihak yang suka melontar arang mencuba untuk merosakkan lakaran seni yang dibina sejak enam tahun lalu.

Barangkali tempoh itu terlalu singkat untuk mengukur kehebatan pengacara dan pelakon popular, Neelofa. Namun, ternyata kehadirannya di dalam industri bukan sesuatu yang sia-sia.

Bermula daripada filem Azura, anak kelahiran Kelantan ini tidak pernah sekalipun melihat kontroversi sebagai batu loncatan untuk terus kekal memahat nama di dalam lembaran seni yang penuh liku ini.

Malah, wanita berusia 27 tahun ini sendiri mengangguk setuju, kontroversi tidak kira baik atau buruk yang menjadikan dia sebagai seorang yang cukup berpengaruh tidak kira dalam bidang seni mahupun perniagaan.

Siapa sangka sudah enam tahun nama Neelofa segar merimbun dalam taman seni. Secocok dengan erti namanya, bunga biru, wanita ini terus mekar membawa seribu satu kenangan yang teguh melayari ombak.

Ingat lagi di tahun pertama kemunculannya sekitar 2011, Neelofa dihujani dengan pelbagai kontroversi yang beratnya hanya tuhan yang tahu. Tetapi, ternyata semuanya dapat diatasi.

“Ketika itu, ada seorang artis senior datang kepada saya dan berkata, sekiranya seseorang artis itu berjaya mengharungi lima tahun pertama dalam lembaran seni, maka insya-Allah dia akan kekal lama.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat bertahan selama ini. Ya, masih baru, masih hijau kata orang, tetapi, tahun ini saya telah melakar kenangan paling manis dalam diari seni,” jelas pelakon ini.

Ya, pelakon dan pengacara itu berjaya merampas trofi Bintang Paling Popular daripada genggaman Shaheizy Sam dalam satu majlis anugerah baru-baru ini. Malah, wanita ini juga berjaya mempertahankan gelaran Pengacara Paling Popular buat tiga tahun berturut-turut.

Pernah berputus asa untuk berjaya memenangi mana-mana anugerah, pelakon Lemak Kampung Santan ini mengakui, ketika itu dia meletakkan harapan segunung tingginya untuk berjaya dan keyakinan itu juga membunuh keterujaanya.

Bangkit dari kekecewaan, Neelofa sama sekali tidak mahu lagi terus meletakkan harapan. Dia percaya, rezeki itu datangnya daripada tuhan dan perjuangan dalam industri seni tidak sekadar diukur menerusi trofi.

“Saya pernah fobia baca surat khabar, menonton televisyen dan mendengar radio kerana trauma dengan kontroversi yang melanda. Mungkin ketika itu saya terlalu muda dan belum bersedia serta tidak tahu menghadapinya.

“Tahun demi tahun, banyak ilmu yang saya pelajari tidak kira daripada pengalaman sendiri mahupun pemerhatian serta perkongsian rakan-rakan artis. Malah, kejayaan yang diraih ini juga bergantung kepada pasukan yang cukup memahami kehendak saya dan merekalah yang merupakan tunggak kejayaan saya,” katanya.

Umum mengetahui, anak muda menjadikan pelakon Kau Yang Terindah ini sebagai inspirasi dalam membentuk kehidupan yang lebih baik. Kerana itu, Neelofa tidak mahu terbawa-bawa dengan populariti sehingga alpa.

Malah tegas pengacara MeleTop ini, dia sentiasa mengamalkan konsep ‘memilih’ terutama drama, filem mahupun program pengacaraan supaya selari dengan keperibadian serta kemampuannya.

“Saya perlu bijak dalam mencerminkan Neelofa di mata peminat. Cara saya membawa diri dalam bidang seni juga menjadi pemerhatian banyak pihak, kerana itu saya perlu berhati-hati.

“Bukan demand atau bersikap eksklusif, cuma saya perlu meletakkan had dalam satu-satu perkara. Tidak mahu dilihat terlebih-lebih. Ramai peminat menjadikan artis sebagai inspirasi mereka, kerana itu kita perlu bijak,” jelasnya.

Biarpun namanya kini berada di puncak, Neelofa tidak perlu lupa untuk memandang ke bumi kerana pembabitannya dalam bidang seni ini bermula daripada kosong.

“Saya juga tidak akan melupakan jasa abang Aziz M. Osman yang percaya dengan bakat saya dan merupakan insan pertama yang mengangkat saya ke dalam dunia seni.

“Malah, Erma Fatima juga banyak memberi peluang dan ruang kepada saya. Dan yang paling penting, Hans Issac. Dialah insan yang banyak memberi kata-kata nasihat serta selok-belok dunia seni. Terima kasih kepada kalian,” katanya.

Jangan mudah melatah

Mengangkat peminat sebagai pensil-pensil yang banyak mencorak perjalanan lakaran seninya, Neelofa bersyukur kerana dikurniakan penyokong yang tidak pernah lelah dalam memberi kata-kata semangat ketika mana dia berdepan kontroversi.

“Apa yang saya kecapi dan miliki kini adalah hasil pengorbanan keluarga, rakan-rakan dan peminat. Ini semua yang menjadikan siapa saya sekarang. Tanpa mereka, saya mungkin sudah rebah dan tidak mampu berdiri lagi menghadapi tekanan industri.

“Saya tahu, setiap daripada mereka mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk menggembirakan saya. Terima kasih di atas anugerah yang cukup berharga ini. Saya sangat bersyukur dengan apa yang dikecapi sekarang,” katanya.

Mengimbau kembali di tahun pertama menjadi insan seni, anak ketiga daripada sembilan beradik ini tergelak besar ketika teringat dia dikerumuni peminat sehinggakan kakinya kaku dan tidak tahu apa harus dilakukan.

“Ingat lagi, tahun 2011. Saya tidak pernah ada peminat jadi bila orang datang minta ambil gambar dan bertegur sapa, saya jadi keliru. Tapi, sebenarnya lebih kepada malu sebab orang tengok,” katanya.

Disogok soalan, apakah formula lengkap pelakon ini terus kekal di dalam industri, dia hanya tersenyum semanis raut wajah ayunya yang cukup cantik dibaluti busana berwarna putih persis puteri parsi.

Belajar daripada kesilapan, membuatkan pelakon ini cukup berhati-hati dalam memberi kenyataan. Malah, dia hanya akan bersuara tatkala keadaan memerlukan. Itu rahsia kejayaan seorang insan bernama Neelofa.

“Saya banyak senyapkan diri tatkala menghadapi kontroversi. Jangan mudah melatah dan berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Apa yang saya muat naik di media sosial juga menjadi cerminan kepada diri saya di mata peminat.

“Populariti itu madu dan racun. Kita harus pandai menggunakan. Jangan mudah lalai sehingga rebah dibaluti populariti yang mampu membunuh karier kita. Syukur saya ada insan-insan di belakang yang sentiasa mengingatkan saya,” katanya.