Apatah lagi sewaktu ketiadaan ibu bapa, Juraimi Rimin, 68, dan Arfa Abdul Aziz, 64, ketegasan penyampai radio Era FM ini semakin terserlah.

Semua arahan Adifashla perlu dituruti adik beradik lain. Jika tidak, dia akan naik angin dan boleh mencetuskan perbalahan.

“Saya seorang yang pemarah sejak kecil. Pantang kalau silap sikit, pasti tangan dan kaki saya dengan mudah akan ‘terpelanting’ ke sana sini.

“Adik beradik saya juga tidak dibenarkan untuk memasuki bilik saya. Saya akan marah. Lagi-lagi kalau mereka masuk dan mengusik barangan peribadi saya.

“Saya memang tak boleh mengawal baran pada waktu itu. Zaman darah muda, mana kita fikir pasal perasaan orang. Yang penting, ‘sedap’ kita saja.

“Pantang diusik, laju saja darah naik,” kata Adifashla mengimbas zaman kanak-kanaknya dengan empat beradiknya, Maizatul Akmam, 37, Suryani, 35, Nurul Husna, 32, dan Mohd. Kamal, 30.

Satu lagi sikap Adifashla, dia seorang yang selalu mementingkan kesempurnaan. Semua kerja yang dilakukan, seboleh-bolehnya Adifashla mahu dilihat hebat.

Tidak kiralah sama ada tugasan di rumah atau sekolah, Adifashla sentiasa memastikan hasil kerjanya tidak seperti melepaskan batuk di tangga.

Pun begitu dalam misi untuk menjadi manusia sempurna, Adifashla juga mengakui hatinya mudah rapuh setiap kali berdepan dengan situasi menyedihkan.

Apa saja situasi di sekeliling yang berpotensi menyebabkan dia jatuh kasihan, Adifashla tidak pernah menyembunyikan perasaannya.

“Emak yang perasan saya ini seorang yang sensitif biarpun panas baran. Masa itu saya menonton satu program nyanyian di televisyen dengan dia.

“Ada seorang penyanyi yang menyanyikan lagu tentang pengorbanan ibu bapa. Tidak semena-mena, air mata saya mengalir.

“Apabila dikenang-kenang semula, sebenarnya sikap saya itu yang membuatkan saya tidak mudah lupa diri. Apatah lagi membabitkan pengorbanan orang tua.

“Titik peluh mereka sepanjang membesarkan kami adik beradik tidak akan dilupakan,” kata bekas murid Sekolah Rendah Jalan Bomba dan Dato’ Manan, Tanjung Karang, Selangor ini.

Menurut Adifashla, dia tidak dapat membayangkan penmgorbanan orang tuanya yang tidak pernah lupa menjenguk dirinya ketika duduk di asrama Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.

Hampir setiap hujung minggu, mereka akan menunggang motosikal dari Tanjung Karang ke Cheras, Kuala Lumpur untuk menjenguknya di asrama.

Mengingatkan perkara itu, hati Adifashla pasti tersentuh kerana mengenangkan perjalanan dan keselamatan orang tuanya semata-mata untuk bertemu dirinya.

“Abah saya waktu itu bekerja sebagai anggota bomba manakala emak bekerja sebagai guru agama. Kami sekeluarga bukan hidup senang lenang, sederhana saja.

“Melihat keadaan mereka yang bersusah payah demi anak-anak, hati siapa yang tak tersentuh. Sudah pastilah mereka mahu anak sulung mereka ada masa depan yang terjamin.

“Walaupun terpaksa tinggal di asrama dan berjauhan dengan mereka buat pertama kalinya dalam hidup, tapi saya tiada pilihan.

"Orang tua saya mahu saya jadi jurutera. Jadi saya memang kena belajar bersungguh-sungguh dan memastikan impian mereka tercapai,” katanya.

Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1995, Adifashla mengambil kursus kejuruteraan mekanikal peringkat sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Adifashla berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang sebelum bekerja sebagai kontraktor di syarikat milik bapa saudaranya selama setahun.

Hati kepada muzik

DALAM tempoh pengajian di UPM, Adifashla mengakui hatinya lebih dekat dengan bidang muzik yang menjadi minatnya sejak kecil.

Terpesona dengan set radio canggih milik bapa saudara di Sungai Tengi, Tanjung Karang, keadaan itu yang secara tidak langsung juga mencetuskan minat Adifashla dalam bidang muzik.

Malah kerana minat dalam bidang muzik juga membuatkan Adifashla dengan empat lagi rakannya menubuhkan sebuah kumpulan diberi nama Putra LRT (Lagu Rentak Terkini) pada 1999.

Kumpulan itu dianggotai Tangga yang bermain bass, Jason (gitar), Cibon (dram), Zamri (gitar) dan Adifashla sebagai penyanyi.

“Sejak tahun kedua di UPM saya dengan kawan-kawan lain berkongsi minat masing-masing dalam kumpulan ini. Kami bergerak secara bebas membuat persembahan sekitar ibu kota.

“Demi minat dalam muzik, saya pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Serdang, Selangor selama tiga bulan berturut-turut semata-mata untuk mengumpul duit membeli sebuah gitar elektrik.

“Waktu itu gaji saya sebanyak RM600 dan rutin kerja dari pukul 11 malam hingga 7 pagi. Selepas habis waktu kerja, saya ke kuliah sebelum berehat pada sebelah tengah hari.

“Pada sebelah petang saya ulangkaji pelajaran. Itulah rutin saya sebelum gitar elektrik idaman berada dalam genggaman saya,” ujarnya.

Atas nasihat rakan dalam kumpulan berkenaan, Adifashla mencuba nasib dengan menyertai uji bakat pertandingan realiti, Akademi Fantasia musim pertama pada 2003.

Adifashla sanggup bangun pukul 5 pagi untuk menaiki bas dari rumahnya menuju ke ibu kota semata-mata untuk menyertai uji bakat berkenaan.

Nasib menyebelahi Adifashla apabila dia berjaya terpilih untuk menjadi seorang daripada peserta pertandingan berkenaan sebelum tersingkir selepas tiga minggu di situ.

Pun begitu Adifashla tidak pernah menyesal kerana minatnya dalam bidang muzik itu tidak pernah terhenti. Dia kemudiannya ditawarkan untuk menjadi penyampai radio Xfresh FM pada 2004.

Selepas empat tahun bertugas di stesen itu, Adifashla berpindah ke radio Era FM mengendalikan segmen Petang Era FM sebelum Hits Era bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Siapa sangka impian untuk bekerja di Astro (All-Asian Satellite Television and Radio Operator) yang ditanam ketika zaman universiti itu akhirnya tercapai.

“Walaupun bekerja sebagai penyampai radio, tak mengapa. Semua ini rezeki yang sudah tertulis. Saya reda dan seronok dengan kerjaya saya ini.

“Kalau diikutkan memang saya sudah menghampakan impian emak dan abah yang mahu saya menjadi jurutera.

“Perkara ini juga sudah diperjelaskan kepada mereka. Akhirnya dengan restu mereka juga, saya mengikut haluan sendiri,” ujar penyanyi ini lagi.

Solo

MEMBUKA topik peribadi, Adifashla memberitahu dia kerap diajukan persoalan tentang pasangan hidup memandangkan usianya bakal mencecah 40 tahun tidak lama lagi.

Tidak menetapkan sebarang kriteria, Adifashla mengaku bukan seorang yang cerewet cuma berharap agar calon isterinya bukan dalam kalangan selebriti.

“Mungkin saya bukan jenis yang gemar bersosial menyebabkan saya masih bujang sampai sekarang.

“Selain bekerja, kalau ada masa terluang, saya akan bersenam atau menunggang motosikal berkuasa besar bersama-sama rakan.

“Bukan soal memilih atau cerewet tapi adakalanya saya terperangkap apabila setiap kali wanita yang ingin saya dekati adalah isteri orang.

“Keadaan itu secara tidak langsung membantutkan hasrat saya. Akhirnya saya ambil keputusan untuk menunggu calon yang sesuai sahaja,” katanya yang tidak berputus asa dalam soal mencari jodoh.

Kali terakhir Adifashla terikat dengan cinta sekitar enam tahun lalu. Hubungan dengan bekas kekasihnya itu tidak kesampaian kerana jarak jauh.

Foto WAHIDAH ZAINAL ABIDIN dan KOLEKSI PERIBADI ADIFASHLA