Untuk mengungkap dengan kata-kata hal peribadi pun belum tentu difahami orang lain membuatkan Remy Ishak berada dalam dilema. Diluah mati emak, ditelan mati bapak- mungkin itu kata-kata tepat menggambarkan kemelut yang berlaku kepadanya ketika ini.

 

“Saya cukup takut untuk bercerita, mungkin pemahaman awak lain dan berbeza dengan apa yang saya mahu luahkan,” katanya menyusun kata-kata.

Umum mengetahui Remy sudah mengesahkan yang dia sudah memutuskan pertunangan dengan wanita yang dikenali dengan nama Ezza Yusuf kira-kira sebulan lalu.

Pengumuman yang dibuat melalui laman video live dalam Instagram seminggu yang lalu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat. Sudah tentu ada yang terkejut memandangkan mereka menyangka hubungan pasangan ini baik-baik sahaja.

“Sebagai lelaki, saya minta maaf dengan apa yang telah terjadi. Tidak seharusnya saya mengeluarkan kenyataan sebegitu menerusi media sosial apatah lagi mengenai hubungan kepada semua orang.

“Saya akui khilaf tersebut. Sepatutnya perkara sebegitu diselesaikan secara baik dan bukannya dihebahkan. Tak mengapa, saya belajar daripada kesilapan,” ungkapnya lagi.

Tidak mahu menyalahkan wanita berkenaan dek kerana kisah tak jadi kahwin menjadi perhatian masyarakat, Remy menegaskan yang semua itu berpunca daripada dirinya.

Dua tahun dalam tempoh pertunangan, dia gagal membawa hubungan suci tersebut ke jenjang pelamin seperti mana yang diharapkan ramai.

Tambahnya, tiada apa yang harus dikesalkan namun sebagai manusia biasa dia tetap berharap agar perkataan ‘putus tunang’ itu sendiri tidak memberi impak buruk kepada dirinya, Ezza mahupun keluarga mereka.

Kedua-dua keluarga sudah mengetahui tentang perkara berkenaan namun Remy sendiri enggan bercerita lanjut adakah acara memulangkan cincin sudah dilakukan ataupun tidak.

“Tidak semua perkara akan saya kongsi bersama semua,” katanya menutup ruang pertanyaan.

SATU DEKAD

TIDAK mahu mendedahkan apa yang berlaku kepada kisah peribadinya secara terperinci, kata Remy semuanya akan terjawab dengan terhasilnya sebuah buku tulisannya sedikit masa lagi.

Katanya ,dia sendiri sudah menulis kisah yang berlaku dalam buku Sedekad yang bercerita mengenai semua hal termasuklah dalam kehidupan hariannya sejak bergelar anak seni 10 tahun lalu.

“Saya memang sudah menulis sejak beberapa tahun lalu tentang kisah hidup sendiri. Ada yang menganggap hidup saya terlalu kompleks dan sebagainya dan beberapa persepsi lain.

“Mereka perlu baca dahulu buku tersebut dan saya yakin masing-masing boleh menilai bagaimana Remy Ishak yang sebenar. Tak mungkin saya bercerita tentang karektor peribadi sendiri,” katanya.

Ditanya adakah Sedekad juga akan bercerita tentang kisah cinta yang tidak menjadi sepanjang bergelar artis, Remy hanya tersenyum menjawab pertanyaan tersebut.

“Saya tak perlu bercerita semua hal sekarang. Macam saya katakan selalu, bukan semua hal perlu diceritakan. Mungkin ada mungkin tidak, tunggu sahajalah,” katanya yang baru sahaja dilantik sebagai duta minuman Origina.

Bercerita mengenai produk tersebut, Remy menjelaskan ia merupakan antara peluang untuknya bersama-sama dengan jenama minuman itu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Didatangi beberapa jenis minuman, ada di antaranya berasaskan susu. Sedangkan pada dasarnya Remy alah kepada minuman bersusu yang akan membuatkan perutnya ‘meragam’.

“Bila saya cuba, perut tak ada masalah. Itu juga antara sebab mengapa saya mahu bersama-sama dengan mereka membawa produk ini ke hadapan,” katanya.

BELUM BERSEDIA

MENGAKUI yang hati lelakinya belum pantas untuk berdamping dengan wanita bergelar isteri, pelbagai persoalan sering bermain di dalam fikirannya sejak setahun lalu.

Daripada soal kerjaya sehinggalah soal bisnes yang ada pasang dan surut sebenarnya membuatkan dia terlupa untuk memikirkan hati wanita Ezza yang perlu didampingi.

“Saya selalu memikirkan tentang lakonan yang sebenarnya sejak setahun dua yang lalu, saya sedikit tenggelam. Itu belum lagi bercakap soal bisnes yang ada turun dan naik.

“Setiap hari saya memikirkan perkara ini. Apa yang perlu saya lakukan untuk memajukan diri memandangkan saya sendiri ada misi dan visi peribadi yang perlu dicapai.

“Tapi saya terlupa soal kasih sayang. Ini silap saya dan tak seharusnya dia menerima hukuman atas kelalaian saya. Lebih baik saya melepaskan hubungan tersebut agar tiada pihak terseksa,” katanya berterus terang.

Empat tahun mengenal hati budi Ezza, ada yang menganggap tempoh itu sebenarnya sudah cukup mereka ke gerbang perkahwinan.

“Empat tahun memang tempoh panjang. Tapi saya sebenarnya penat untuk mempertahankan hal-hal lain yang akhirnya memberikan impak kurang baik kepada dirinya. Saya tak boleh nak pentingkan diri dan membiarkan dia menunggu lama. Tak adil untuk dirinya,” jelasnya.

Tambah pelakon yang popular dengan drama Pujaan Hati Kanda ini, hubungannya dengan Ezza masih baik meskipun sudah tidak mempunyai apa-apa ikatan. Jelasnya, perkara itu perlu diberikan penekanan untuk mengelakkan sebarang konotasi negatif yang mungkin dilemparkan oleh orang luar terhadap mereka.

“Dia orang yang sangat baik dan hubungan kami juga baik. Buat masa ini biarlah saya melepaskan dia untuk mencari ketenangan. Kalau betul jodoh kami ada pada masa hadapan, saya terima. Siapa kita untuk menidakkan takdir.

“Cuma sekarang biarlah kami bertenang terlebih dahulu. Ini lebih baik,” katanya yang baru sahaja menghabiskan penggambaran drama Imaan untuk tayangan bulan Ramadan nanti.