Dua tahun bahagia melayari bahtera rumahtangga bersama suami, Abdul Shukur Mohd Zain, pelantun lagu Tanpamu ini mengaku tidak pernah meninggalkan dunia hiburan sekali gus menepis dakwaan dia enggan meneruskan kerjaya nyanyiannya.

Menganggap bidang seni suara sudah sebati dengan dirinya sejak dari kecil, kata Fara, dia masih lagi aktif menyanyi sementelah suaminya tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan bidang nyanyian.

“Selagi Tuhan mengizinkan bakat saya ini untuk terus digunakan, selagi ramai yang menyokong saya, begitu juga pihak media dan semuanya, saya tak akan berhenti, Insya-Allah.

“Mereka yang mengikuti perkembangan saya di laman sosial pasti tahu bahawa saya masih lagi aktif menjayakan undangan persembahan dan sebagainya. Cuma mungkin kerana kebanyakan persembahan itu tidak melibatkan pihak media maka orang fikir saya sudah meninggalkan dunia hiburan,” katanya.

Menambah bicaranya, kata Fara lagi, dia juga tidak bersetuju untuk membiarkan dirinya terus-menerus mendapat publisiti daripada pihak media untuk cerita-cerita kurang sihat atau kontroversi misalnya.

Ini kerana Fara, dia perlu menjaga status dirinya yang kini sudah bergelar isteri orang selain menganggap tiada cerita baru yang mahu dikongsikan kepada umum mengenai dirinya.

Usaha untuk zuriat

Bercakap mengenai zuriat, kata Fara, dia sedar ramai yang banyak mengajukan pertanyaan ‘rasmi’ ini kepada dirinya dan sambil tersenyum, dia memberitahu masih belum mempunyai sebarang berita gembira untuk dikongsi bersama peminat-peminat.

Mengaku tidak merancang keluarga, kata Fara yang berusia 31 tahun, dia sejak dari awal cuma berserah kepada Allah S.W.T mengenai soal cahaya mata meski hatinya, seperti mana wanita lain, benar berhasrat untuk bergelar seorang ibu.

“Bagaimanapun bak kata orang, kita sebagai manusia ini hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Sesuatu yang normal apabila orang bertanyakan hal ini kepada saya.

“Masa bujang dulu, orang tanya bila nak kahwin, Sekarang bila dah kahwin, orang tanya pula bila nak dapat anak. Biasalah kalau diasak dengan soalan begini dan saya tak pernah kata saya tertekan pun dengan keadaan ini. Lagipun saya tak pernah merancang.

“Ketika ditanya tu, ya, mungkin saya agak tertekan. Tetapi bila balik rumah saya dah tak fikir dah sebab saya dan suami tahu, perkara ini cuma Tuhan saja yang tahu bila Dia nak berikan kita rezeki,” katanya.

Tidak menolak bahawa sejak awal perkahwinan dia berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat, Fara tidak malu untuk berkongsi pengalamannya.

“Saya dah cuba minum air rebusan buah zuriat, susu kambing pun saya dah cuba. Pendek kata, segala petua orang lama saya dah cuba. Sekarang ni pun mudah, selain kita bertanya pada orang tua kita, mudah saja nak tahu informasi menerusi Internet dan sebagainya.

“Cuma sekarang ni apa yang belum saya lakukan ialah bertemu doktor pakar saja. Mungkin selepas ini saya dan suami akan cuba mendapatkan khidmat nasihat doktor pula,” tambahnya.

Dalam pada itu, kata Fara, dia yang kini lebih banyak meluangkan masa di rumah dan bahagia menjadi suri rumah seandainya tidak terikat dengan komitmen undangan nyanyian, dalam selang masa dia turut membantu suaminya menguruskan perniagaan peralatan berkhatan yang diusahakan bersama.