Permintaan warganet mahukan dia memuat naik lagi video, secara tidak langsung membuatkan gadis kecil molek ini lebih bersemangat untuk berkongsi kreativitinya.

Tambah pula, dia memang minat dengan kerja-kerja menyunting video. Jadi, tiap kali terlintas idea dan datang mood ‘gila’, dia terus merakam kemudian memuat naik dalam Instagram (IG).

“Tiga tahun lalu, saya suka dengan aplikasi Musical.ly sebab ia menyeronokkan. Ada lagu dan dalam masa sama boleh buat ekspresi muka. Lama-kelamaan jadi hobi dan kalau ada masa terluang dan tak tahu nak buat apa, tumpuan saya pada aplikasi tersebut.

“Tak sangka pula, warganet terhibur dan minta saya buat lagi. Jadi, terus ‘terjebak’ dan aktif hingga sekarang,” kata pemilik nama sebenar Nurul Nurrizati Mohd. Raffi ini.

Tidak hanya dalam IG, Rose juga pernah mencuri perhatian dan tular dalam laman Twitter serta diundang dalam program Motif Viral (Astro Ria). Pintu rezekinya semakin terbuka apabila ditawarkan untuk menjayakan program Perang Bibir terbitan saluran TV9.

“Selepas muncul dalam Motif Viral, saya ditawarkan bekerja dengan produksi TV9. Mungkin sebab saya selalu buat lip-sync, 
jadi mereka ambil saya untuk segmen iklan dalam program Perang Bibir.

“Di samping itu, saya bersama kawan-kawan mula berjinak-jinak dalam menghasilkan video pendek atau parodi dan dimuat naik dalam YouTube. Ada yang kami buat sekadar suka-suka, ada untuk iklan komersial mempromosikan produk,” katanya.

Perah otak 

Biarpun belum berpengalaman luas sebagai pembikin video namun bagi anak bongsu daripada empat beradik ini berbangga dengan diri sendiri kerana sekurang-kurang dia sekarang mempunyai pendapatan sendiri.

Justeru, kutukan sebilangan warganet terhadapnya tidak sikit pun mematahkan semangat untuk pemegang diploma dalam bidang fesyen ini meneruskan apa yang diminati.

“Tak dinafi memang ada yang mengutuk tapi saya abaikan saja sebab apa yang saya buat ini dapat juga jana pendapatan sampingan.

“Saya bukan terlibat dengan gejala tidak sihat ataupun merompak. Ada yang buat andaian, mesti ramai malu nak berkawan dengan saya sebab suka buat aksi dan mimik muka dalam video.

“Padahal, saya ada ramai kawan cuma hal peribadi saya tidak suka kongsi dalam media sosial,” tegasnya.

Tambahnya, ada yang beranggapan kerjaya ini mudah tetapi hakikatnya tidak kerana bukan setiap masa dia harus memikirkan secara kreatif mengenai kandungan video yang bagaimana mampu menarik perhatian ramai.

“Sekarang ramai yang sudah buat video dan saya melihat itu sebagai persaingan sihat. Mungkin ada yang anggap nak hasilkan satu video itu mudah, sebenarnya tidak.

“Saya bersama tiga lagi rakan, kami kena perah otak dan cari idea terbaik dan boleh menarik perhatian. Ada masa idea datang mencurah-mencurah, ada masanya kami buntu,” katanya.

Nama : Nurul Nurrizati Mohd. Raffi

Umur : 21 tahun

Asal : Kuala Lumpur

Instagram : @itsrosenicotine