Apatah lagi mengingatkan janji kepada suami, Datuk Ibrahim Md Nor untuk mengehadkan jumlah drama lakonannya, wanita berusia 45 tahun ini cukup risau andai pembabitannya itu akan memberi kesan kepada keluarga.

Namun pelakon yang mesra disapa Nina ini cukup bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan insan kesayangan yang mahu melihatnya kembali memeriahkan industri seni.

Sokongan itulah membuatkan ibu kepada Heidi Ariana, 21, pasangan kembar Mira Sethina dan Myra Jasmine, 19, Nina Melor, 17, Seth Imran, 12, dan Nina Jasmine, 11, ini bersemangat.

“Sebenarnya saya telah berjanji dengan suami untuk menerima dua tawaran dalam satu tahun. Tetapi untuk tahun ini saya sudah berlakon dalam tiga buah drama.

“Namun saya sangat bersyukur kerana walaupun sudah melanggar janji, suami saya tidak kisah. Dia sangat bertimbang rasa dan sentiasa menyokong minat saya.

“Pun begitu, saya tetap rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan kerja-kerja rumah yang selama ini saya buat sendiri. Apabila dia kena bawa anak-anak keluar makan, lagilah saya rasa bersalah.

“Sekarang ini apabila dapat jadual penggambaran dan saya perlu ke lokasi pada hari berikutnya, saya akan siapkan beberapa masakan untuk suami dan anak-anak.

“Mereka hanya perlu panaskan lauk pauk untuk dimakan. Dengan cara itu, kuranglah sikit rasa tidak senang untuk saya tinggalkan rumah,” ujarnya.

Meskipun sentiasa terselit rasa bersalah, pada masa yang sama Nina tidak sanggup membiarkan dirinya diselubungi kerinduan terhadap dunia seni. Dek kerana rindu itulah yang memacu perjalanan Nina untuk kembali berlakon.

“Sejujurnya saya rindu untuk berlakon. Setiap kali ditanya kenapa saya ingin kembali, alasan utama memang sebab rindu. Saya rindukan kawan-kawan, suasana di lokasi dan industri.

“Sebab itulah sewaktu mula-mula menerima tawaran, saya pastikan drama tersebut ada kawan-kawan seangkatan atau pelakon yang saya kenal.

“Selain itu, saya kembali aktif kerana saya suka bekerja sebagai pelakon. Apabila buat sesuatu yang kita sukai, kita akan rasa seronok dan tidak tertekan. Bukan saya sahaja, semua orang merasakan hal yang sama,” jelasnya yang kini sibuk dengan latihan untuk teater Dia Semanis Honey Muzikal.

Mengulas mengenai perkembangan terkininya itu, buat pertama kali Nina merasai pengalaman berlakon teater.

“Tiga malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana gementar dengan projek teater itu memandangkan ini penglibatan pertama saya.

“Berlakon teater sangat berbeza daripada drama dan filem. Untuk teater, kita kena pastikan semuanya sempurna tanpa boleh dibuat balik berbanding penggambaran yang boleh dilakukan berulang-ulang kali sehingga kita puas hati.

“Nak mendapatkan kesempurnaan itulah yang paling sukar. Secara peribadi saya rasa agak susah apatah lagi memori saya pun tak berapa bagus. Tetapi saya akan buat bersungguh-sungguh untuk ingat dialog dan tarian. Mungkin nampak susah tapi saya dapat rasakan ini satu pengalaman yang seronok dan menarik,” tuturnya.