Bagaimanapun ketika bertemu di majlis tayangan akhir drama bersiri lakonannya, Mencintaimu di Damansara baru-baru ini, ternyata lelaki gagah ini mempunyai pilihan tersendiri dalam mentafsir hubungannya.

Tidak mahu mengeluarkan sebarang perkataan cinta untuk menggambarkan hubungannya itu, kata Sharnaaz, lebih senang rasanya membiarkan peminat menggunakan logik sendiri untuk memahaminya.

“Sama seperti sebelum ini saya tidak akan mengaku di mana-mana media. Bukan apa, ini soal peribadi dan saya mempunyai prinsip untuk tidak bercerita.

“Bagaimanapun apa yang sedang dikongsi saya boleh difahami sendiri. Jadi tiada masalah rasanya soal saya mahu mengaku atau tidak,” katanya.

Tertanya-tanya juga bagaimana sebenarnya dia boleh mengenali Nabila. Tidak menolak mahu berkongsi, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 30, berkata, perkenalannya dengan wanita itu sudah berlangsung dalam tempoh yang lama, bagaimanapun hanya baru-baru ini mereka mulai rapat.

“Saya sudah mengenali dia sebelum ini tetapi tidak rapat, cuma baru-baru ini ada rakan memberitahu bahawa Nabila boleh membantu saya dalam perniagaan yang saya ceburi.

“Akhirnya kami mulai rapat dan apa yang boleh saya lihat kami senang bersama sebab serasi,” kongsinya yang sebelum ini juga dikatakan pernah bercinta dengan seorang model Anis Al Idrus.

Walaupun tidak pernah mengaku, namun baru-baru ini ada laporan yang mengatakan dia sudah putus cinta dengan model tersebut. Menolak keadaan dia mudah bertukar teman wanita, kata Sharnaaz apa yang perlu difahami kini, adalah soal jodoh bukan ketentuan dirinya.

“Jangan kata saya mudah bertukar teman wanita, sepatutnya mereka kena faham keadaan jodoh itu sendiri. Jika sebelum ini tidak membawa kami ke mana-mana saya anggap itu bukan jodoh saya.

“Dan jangan juga menuding jari mengatakan Nabila sebagai orang ketiga atau sebagainya. Apa yang saya cari adalah keserasian, sebab itu saya mengambil jalan untuk tidak pernah mendedahkan hubungan saya seperti sebelum-sebelum ini, sebab takut disalah tafsir,” katanya tenang.

Tidaklah terlalu berahsia, bagi Sharnaaz, keengganannya menuturkan kata-kata pengakuan mengenai cinta lebih memudahkan dirinya dalam pelbagai sudut. Bagaimanapun jika suatu hari nanti ada berita baik yang mahu dikongsi, pasti tiada sebab untuk dia berdiam diri.

“Kita tidak tahu jodoh kita dengan siapa, sebab itu saya tidak mahu terlalu bercerita mengenai hal ini dengan orang di luar sana.

“Jika ada jodoh dan bila sampai waktunya saya akan kongsi, jadi tidak perlu fikir terlalu jauh tentang soal lain,” ujarnya.

Peminat itu keluarga

Melihat kata-kata yang tidak menyenangkan di laman sosial miliknya, mungkin suatu ketika dahulu boleh mengundang amarah buat Sharnaaz sendiri. Tetapi kebelakangan ini dia dilihat lebih tenang untuk berhadapan dengan keadaan ini. Berkongsi cara dia menangani keadaan itu, balasnya cara yang diamalkan kini cukup mudah dengan tidak memberi ruang kepada pihak yang tidak senang dengan dirinya memberi tekanan buat dirinya.

“Kadang kadang saya marah juga, tetapi lebih kepada malas sebenarnya. Jadi saya buat tidak tahu sahaja.

“Bagi saya tiada orang yang sempurna sebab itu saya harap mereka di luar sana faham sebelum mengeluarkan apa-apa komen yang mungkin boleh menyakiti hati orang lain,” katanya berharap.

Jika ada artis lain yang melihat penubuhan kelab peminat sebagai satu sebab untuk mereka berbangga, lain pula dengan Sharnaaz sendiri. Katanya dia lebih mahu melihat peminatnya itu sebagai keluarganya sendiri. Mudah untuk dia juga mengenali setiap dari mereka memandangkan hubungan dengan mereka lebih dari sekadar artis dan peminat.

“Saya mengambil tahu apa yang berlaku dalam kelab peminat yang ditubuhkan ini, sebabnya mereka adalah keluarga saya.

“Bukan sekadar menganjurkan majlis bertemu seperti ini kadang-kadang kami berkongsi peluang perniagaan juga. Selain itu jika ada di antara mereka dalam kesusahan kami sedaya upaya membantu. Jadi sayang itu bukan sekadar peminat sahaja, mereka adalah keluarga yang mengenali saya lebih dari sekadar peminat,” katanya.

Gambar Liyana Ameera Said

Keintiman Sharnaaz dan Nabila akhirnya mengundang pelbagai persepsi berbeza. Malah tidak mengejutkan juga jika ada yang sudah mendedahkan status Nabila sendiri. Tidak merasakan status janda yang dibawa Nabila perlu diperbesarkan, ujar Shaarnaz, apa yang dilihat dia dalam sesebuah hubungan adalah persefahaman.

“Setiap orang sudah dianugerahkan dengan rezeki yang berbeza-beza, mungkin laluan kehidupan dia (Nabila) sudah ditakdirkan begitu. Kenapa saya perlu mempersoalkan status dia pula sedangkan saya ikhlas berkawan dengan dia.

“Saya tidak merasakan status yang dibawa Nabila merunsingkan saya, cukup rasanya saya serasi dengan dia,” katanya.

Baru-baru ini gambar kemesraan Sharnaaz dan keluarga Nabila di Kelantan mengundang pelbagai cerita. Malah ada yang memberi tanggapan gambar Sharnaaz bersama nenek dan datuk Nabila juga sebagai tanda bahawa hari bahagia pasangan ini semakin dekat.

Menolak perkara itu, kata Shaarnaz apa sebenarnya yang berlaku adalah kesempatan melawat keluarga Nabila di Kelantan adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu diperbesarkan.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah saya mempunyai kesempatan untuk melawat keluarga Nabila di sana. Itu sahaja, tiada ada apa pun yang berlaku.

“Jujurnya memang kedua belah keluarga tidak mempunyai masalah tentang hubungan kami, cuma soal ke fasa berbeza itu belum lagi buat masa ini,” katanya.