PENARI separuh bogel yang membuat persembahan pada persandingan pelakon Ahya Ulumuddin. - UTUSAN ONLINE/MEDIA SOSIAL

Visual yang memperlihatkan persembahan seorang penari hanya mengenakan bikini ketika pasangan tersebut sedang menikmati makanan beradab dalam sebuah majlis yang diadakan di ibu negara.

Menutup bahagian atas tetapi mendedahkan sebahagian punggung, penari tersebut tidak langsung malu dengan kehadiran tetamu yang mahu meraikan majlis pernikahan yang sepatutnya membawa berkat itu.

Video pendek tersebut pada asalnya dimuat naik oleh kakak kepada Ahya, Liana Rosli di dalam Insta Story miliknya sebelum tular kepada umum.

Rata-rata warganet mengecam majlis persandingan anak bongsu pelakon veteran Normah Damanhuri yang disifatkan tidak sopan dan mencemarkan nama baik mereka sendiri.

Tidak cukup dengan itu ada yang kurang senang dengan persembahan tersebut memandangkan ia turut disaksikan oleh kanak-kanak dan warga emas.

Terdahulu Ahya, 32, bernikah dengan Shahirah Sanusi, 27, di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 29 Mac yang lalu.

Dia menyerahkan seutas rantai emas dan sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan hantaran sebanyak RM30,000. - UTUSAN ONLINE