Dengan semangat, misi dan visi baharu, Estranged mengatur beberapa strategi untuk kekal releven dalam pasaran muzik tempatan antaranya dengan terus menghasilkan album biarpun dalam kegawatan pasaran ketika ini.

Estranged percaya sebagai sebuah band yang mempunyai pengikut tersendiri, mereka perlu ada produk untuk dipersembahkan kepada khalayak meskipun terpaksa akur dengan kepesatan era digital masa kini.

“Selain fokus kepada penghasilan lagu-lagu baharu yang menarik dan segar kami juga sepakat untuk menghasilkan beberapa album EP selepas terhasilnya album Sepenuhnya Volume I ini.

“Dengan pelbagai persaingan dan kemunculan artis dan band baharu, kami perlu hadir dengan pelan untuk memastikan kami berada di pentas ini dan salah satu caranya adalah dengan terus menghasilkan album fizikal,” kata Rich mewakili teman-temannya.

Nyata album EP baharu mereka yang memuatkan lima buah lagu - Bangkit, Hancur Aku, Inginkan Kau, Maaf dan SyD itu memberikan impak kepada kemunculan semula Estranged di pentas seni.

Lagu Hancur Aku misalnya bukan sahaja mengembalikan nama Estranged di mata peminat malah memberikan nuansa baharu kepada kumpulan itu secara keseluruhannya.

“Selepas empat tahun menyepikan diri, bertenang dan berfikir dengan waras, kami kembali semula, buat lebih banyak lagu dan menariknya, kami juga berjaya mengumpulkan kelompok baharu,” katanya lagi.

Jelajah kampus

Menyasarkan audiens daripada golongan muda khususnya para pelajar universiti, Estranged yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagu Itu Kami mengakui bahawa pembabitan dalam jelajah kampus memberikan mereka peluang untuk melebarkan lagi pengaruh.

Memulakan siri jelajah sejak Mac lalu di beberapa buah kampus di seluruh negara, bagi mereka, golongan tersebut merupakan komuniti aktif yang sentiasa mengikuti perkembangan muzik semasa.

“Dengan kembalinya kami dalam dunia muzik, kami perlu aktif mengadakan persembahan dan siri jelajah ini sangat releven untuk mendekati golongan sasaran terutama anak muda,” kata Din pula.

Perlu berfikir di luar kotak dalam usaha mengumpul peminat baharu, selain tidak memerlukan kos yang besar cara itu juga membolehkan mereka berinteraksi dengan khalayak tanpa jurang.

“Estranged tidak sahaja perlu mempunyai muzik, lagu dan imej yang baik tetapi juga perlu ada kominikasi dengan peminat dan ini antara langkah terbaik untuk mendekati mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk mengenali kami,” katanya lagi.

Selepas episod ‘meneypikan diri’, anggota Estranged juga mengakui kini semakin matang mendepani laluan mereka dalam seni khususnya untuk mengendalikan diri mereka sebagai artis arus perdana.

Dewasa ini mereka lebih bersikap terbuka dan menerima pandangan luar dan menghasilkan karya-karya yang diterima khayalak, bukan lagi yang hanya mengikut kata hati masing-masing.

“Kini bukan lagi tentang ‘aku adalah aku’ tetapi yang diingini oleh audiens,” kata mereka.

Sinergi nusantara

Pada satu pertemuan dengan Estranged di Bali, Indonesia baru-baru ini, kumpulan itu turut berkongsi cerita tentang perancangan Universal Music Malaysia dengan PT Musica Studio’s Indonesia untuk jalinan kerjasama band yang bernaung di kedua-dua syarikat rakaman.

“Ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Kami teruja untuk berkongsi elemen-elemen Borneo yang ada dalam muzik kami dengan band terpilih kelak. Menariknya kami akan mencipta lagu dengan salah satu band di bawah PT Musica Studio’s,” kata Rich.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong berkata, gabungan kerjasama antara syarikat tersebut dengan PT Musica Studio’s mampu memberi sinergi kepada muzik nusantara menerusi pengurusan dan kepakaran memandangkan masing-masing mempunyai katalog lagu dan artis yang bukan calang-calang.

PT Musica Studio’s misalnya memiliki himpunan artis terkenal sejak ditubuhkan pada 1968 antaranya Hetty Koes Endang dan Iwan Fals selain Nidji, Noah dan D’Masiv manakala Universal Music Malaysia pula memasarkan produk antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Yuna selain Estranged.

“Kolaborasi ini mampu menjadi platform terbaik untuk memperluaskan kepakaran dari segi pengurusan dan A&R muzik agar lebih tersusun dan sesuai dengan suasana muzik masa kini malah dapat memastikan kelangsungan muzik bukan sahaja untuk kedua-dua negara tetapi juga di nusantara,” kata Kenny yang ditemui selepas pengumuman jalinan kerjasama itu di Bali baru-baru ini.

Selain Malaysia dan Indonesia, mereka juga berhasrat untuk melebarkan pasaran ke Singapura, Brunei, Mymnar, Vietnam dan Kemboja- WANDA IDRIS