Arjunasukma

Hal ini kerana watak Sudin bukan sahaja menguji kemampuan lakonan Arjunasukma atau nama sebenar Mohd. Sulhie Yusoff, 42, malah meninggalkan kesan mendalam di hatinya yang kini menjadi buah mulut warganet.

Lakonan bersahaja dan penuh penghayatan itu juga berjaya menyaingi teraju utama drama tersebut iaitu Wan Hanafi Su sebagai Ripin Mugha Batu.

Tanpa berselindung, Arjunasukma mengakui dia tidak menyangka watak Sudin diterima baik oleh peminat drama Kelantan.

Katanya, ini merupakan kali pertama dia menjadi salah seorang penggerak kepada drama bersiri Ripin Mugha Batu selepas hanya memainkan watak sampingan dalam beberapa naskah berdialek Kelantan sebelum ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada Sutradara Sabri Yunus yang juga pengarah Ripin Mugha Batu di atas kepercayaan diberikan ini.

“Berlakon bersama ‘taiko’ drama Kelantan seperti Wan Hanafi Su, Asrulfaizal Kamaruzaman, Issey Fadzlisham, Kuna, Kuza dan ramai lagi pelakon hebat bukan tugas mudah.

“Jujurnya saya agak gugup, watak Sudin ini agak berat tambahan pula beraksi bersama nama-mana besar. Alhamdulillah saya bersyukur apabila dapat menggalas amanah yang diberikan dengan baik,” katanya.

Arjunasukma memberitahu, dia berharap watak Sudin yang dilakonkan itu mampu memberikan kepuasan kepada peminat drama bersiri itu.

Katanya, walaupun menerima respon positif namun dia tetap enggan mendabik dada.

“Saya masih mentah dan perlu belajar lebih banyak lagi tentang selok belok dunia lakonan.

“Insya-Allah saya akan berusaha dan belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan mesej menerusi sesuatu watak berjaya disampaikan dengan baik ,” ujarnya yang sudah berlakon dalam 14 drama dengan membawa watak sebagai pelakon tambahan.

Antara drama yang dilakonkan oleh Arjusukma setakat ini ialah Pok Ya Cong Codei: Siti Dihati, Suffiyah, Sorok Bau Budu dan Beruk Tok Ayah. - UTUSAN ONLINE