Ketika itu, pemilik nama Siti Syasya Rosaelmi, 22, ini dikenali dengan panggilan, Syasya Solero.

Selepas ‘dipadamkannya’ nama itu, ibu muda kepada dua orang anak ini muncul kembali dengan nama Asyallie, sekali gus mengecap populariti sebagai salah seorang individu berpengaruh media sosial apabila berjaya mengumpul seramai 1.4 juta pengikut laman sosial, Instagram (IG).

“Saya bermula daripada saluran YouTube. Selepas tular, saya mendiamkan diri selama setahun.

“Dalam tempoh itu saya memulakan karier dengan mewujudkan IG dan menukar identiti dengan nama sekarang. Saya sangka orang tak akan kenal tapi nampaknya mereka tetap juga ingat siapa saya.

“Sejujurnya saya lebih suka dikenali sebagai individu berpengaruh (influencer) bukan instafamous,” katanya kepada Pancaindera.

Selain menjadikan platform IG sebagai sumber mata pencarian utama, dia turut mengembangkan perniagaan produk penjagaan kulit dan alat solekan jenamanya sendiri.

“Bukan sahaja berkongsi tentang rutin harian sebagai ibu, penampilan dan apa aktiviti yang saya buat, saya juga mahu orang di luar sana tahu yang saya ada bakat dan kemahiran dalam solekan.

“Selepas mengeluarkan produk penjagaan kulit, saya bakal lancarkan produk solekan pula dalam bulan ini yang saya namakan, Beat Beauty.

“Konsep yang saya ketengahkan masih lagi K-Pop sebab itu memang minat saya dari dulu. Saya tak boleh lari daripada konsep itu,” kongsinya.

KELUARGA menjadi punca Asyallie semakin matang .
KELUARGA menjadi punca Asyallie semakin matang.

Jangan cari masalah

Jika beberapa tahun dahulu, dia pantang dikritik namun kini wanita yang berasal dari Kulim, Kedah ini sudah lebih matang dan tahu bagaimana untuk berdepan dengan ‘serangan’ sebilangan warganet.

Katanya, sepanjang aktif dalam media sosial, dia tidak mungkin dapat lari daripada kecaman dan komen negatif warganet.

“Dulu sebelum berkahwin, saya bersikap tidak matang. Kalau terbaca komen dan kritikan negatif, saya balas serangan dan hentam balik mereka sebab geram.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya lebih tenang dan tidak terlalu emosi apabila membaca komen-komen negatif mereka. Saya sedar bukan semua orang suka pada kita.

“Kadang-kadang rasa lucu juga kerana saya tahu, mereka sebenarnya hanya mahu mendapatkan perhatian. Kalau saya balas, bererti mereka berjaya curi perhatian saya,” tuturnya sambil tersenyum.

Walaupun sering berkongsi mengenai rutin hariannya, Asyallie sentiasa berhati-hati dan masih menjaga privasi.

“Saya tidak mahu lagi cetuskan apa-apa kontroversi dan masih letakkan had tentang apa yang ingin dimuat naik.

“Bagi saya mudah saja, jangan cari masalah dengan warganet kerana itu tidak memberi apa-apa faedah pun. Jadi, sebab itu saya kawal dan tidak mahu ada perkara negatif sebaliknya hanya positif.

“Saya banyak kongsi tentang solekan, tip jaga anak yang saya amalkan, apa yang saya pakai sama ada baju atau tudung dan rutin harian,” katanya yang kini mempunyai pengikut yang bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari luar negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Morocco.