Bagi penggemar lagu bergenre balada dan jazz, beliau memang cukup popular dan tiada tandingan. Siapa lagi yang mampu membuai jutaan jiwa sejak dahulu jika bukan dirinya.

Malah portal Mail Online menyebut aset vokal bersama lagu-lagu hits nya kini bernilai 150 juta Pound Sterling (RM803 juta), satu angka yang cukup tinggi untuk penyanyi sepertinya.

Namun, Lionel sebenarnya mempunyai satu dunia yang begitu kontra dengan kejayaannya sebagai selebriti. Beliau mempunyai tiga orang anak iaitu Nicole, 37 tahun; Miles, 24 dan Sofia, 20.

Pastinya anak-anak Lionel membesar dalam dunia penuh tumpuan dan mewah dek kerana limpahan kemasyhuran lelaki yang satu ini.

Bercerita tentang kerenah anak-anaknya itu, Lionel pernah berseloroh ketika dianugerahkan Hollywood Walk of Fame pada Mac lalu dengan berkata; “Mereka buat macam-macam untuk membunuh saya.”

Pengaruh sosial di negara Barat cukup dahsyat, ketiga-tiga mereka sebenarnya terjebak pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang di Amerika Syarikat (AS).

Selasa lalu, Mail Online melaporkan Miles yang dikenali dengan panggilan Milo diletakkan di bawah pengawasan polis selepas memberitahu pihak keselamatan Terminal Lima Lapangan Terbang Heathrow, London bahawasanya dia membawa sebuah beg mengandungi bom dan akan meletupkannya.

Milo dilaporkan sengaja membuat ugutan itu selepas dia tidak dibenarkan menaiki pesawat ke AS. Tidak cukup dengan itu, dia juga dipercayai menumbuk salah seorang pekerja di sana sebelum ditahan polis.

Dia bagaimanapun dibebaskan selepas pihak polis mendapati tiada satu pun bom ditemui dalam bagasinya dan kes terbabit dianggap sebagai suatu penipuan.

Anak angkat

Namun satu cerita menarik dalam kisah anak-anak Lionel adalah berkenaan dengan Nicole yang merupakan anak angkatnya bersama isteri pertama, Brenda.

Lionel dan Brenda ketika itu tiada perancangan pun untuk mengambil anak angkat, malah Nicole diambil secara tidak sengaja.

Selepas Konsert Jelajah Prince pada 1984, Lionel pertama kali melihat Nicole yang baru berusia tiga tahun ketika itu.

Beliau diberitahu bapa kandungnya iaitu Peter Escovedo seorang pemain percussion bahawa hubungannya dengan isteri tidak begitu baik.

Tanpa berfikir panjang, Lionel meminta Nicole ditinggalkan di rumahnya dahulu dan sementara menunggu Konsert Jelajah Prince berakhir.

Menurut Lionel, beliau langsung tidak terfikir untuk mengambil anak angkat malah dalam tempoh tahun pertama mengambilnya, beliau tidak pernah sayangkan Nicole.

Tambahnya, Nicole kemudian hidup bersamanya dan dihantar ke sekolah yang sama dengan Paris Hilton dan Kim Kardashian.

Beberapa tahun kemudian, Lionel dan Brenda bercerai, kesannya gadis tersebut mula terjebak dengan dadah dan tidak mampu mengawal emosi. Namun satu situasi menyedihkan berlaku apabila seorang demi seorang kawan Nicole meninggal akibat dadah dan dia mula rasa takut lalu mengadu kepada Lionel.

Lelaki itu dengan tenang menjawab: “Ayah sentiasa ada dengan kamu. Ayah dan ibu akan teman kamu ke pusat pemulihan.”

Beliau juga menarik diri daripada terlibat dengan mana-mana konsert ketika itu. Sejak itu Lionel menghantar anaknya ke pusat pemulihan malah menemaninya di sana ketika menjalani rawatan pada 2003.

Kemudian Nicole berkawan rapat dengan Paris Hilton, malah pernah ditangkap selepas memandu di bawah pengaruh dadah.

Sehinggalah pada 2005, Nicole disahkan mengandung selepas berkahwin dengan Joel Madden. Sejak itu dia sedar untuk berhenti terlibat dengan dadah dan menjalani kehidupan lebih baik.

Lionel berkata, beliau kini sudah mempunyai dua orang cucu sangat bangga dengan perubahan Nicole.

Walau bagaimanapun ketika ditanya tentang anak bongsunya, Sofia, Lionel berkata, Sofia kini menghadapi masalah yang sama seperti Nicole dahulu.

Menurut Lionel, ketika mereka bertiga ada bersama dan Sofia ingin membuat sesuatu, beliau akan menegur sambil berseloroh, “Kakak kamu pernah melakukannya dahulu.”

Begitulah kontranya dua dunia Lionel Richie. Dia menjadi penghibur kepada jutaan peminat namun dalam masa yang sama dia sendiri berhadapan dengan pelbagai masalah anak-anak.

Ada sesuatu yang menarik yang boleh dijadikan teladan iaitu sikapnya yang cukup disenangi semua orang. Dia sendiri tidak mudah merajuk, bersahaja dan tidak pernah mengikuti perkembangan fesyen yang sebenarnya memberikan kebahagiaan.