Bagi Amy sendiri, penting buatnya untuk sentiasa menjaga perihal keperibadian agar keegoan tidak terserlah di mata umum. Justeru, jarang untuk melihat dia terlalu lantang bersuara.

Memiliki personafikasi yang tidak dibuat-buat sehinggakan ketika diberi mandat untuk duduk di kerusi penjurian program realiti Gempak Superstar baru-baru ini, Amy dilihat kelihatan sedikit canggung dalam melontarkan pendapat kepada peserta hingga timbul pelbagai persepsi kurang menyenangkan. Si penyanyi yang telah menjadi ‘hamba seni’ semenjak lebih dua dekad lalu di dalam industri, pastinya yang diharapkan adalah kritikan lebih agresif, lebih ‘bikin panas’ dan sensasi, itu pendapat ramai. Tetapi empunya badan sendiri memilih bersederhana, berhati-hati dan tidak terlalu lantang.

“Saya memberi kritikan secara berlapik tanpa mengguris hati dan perasaan peserta. Saya tak mahu komen yang diberikan itu akan memberi implikasi negatif kepada mereka. Mungkin cara juri lain memberi kritikan lebih lantang berbanding saya yang agak sedikit berbeza,”ujarnya, mengakui hakikat itu.

Amy turut menyedari jika ada yang kurang sependapat dengannya soal komentar yang diberikan kepada peserta. Komen pada graf mendatar atau terlalu menjaga perasaan dibimbangi mampu ‘membunuh’ prestasi peserta, malah tidak mampu untuk meraih sebarang ilmu pementasan. Ketika hal ini diajukan, Amy mempunyai jawapan sendiri.

“Soal tidak memberi kritikan membina itu sebenarnya bukan tugas utama saya. Seorang juri hanya perlu menegur daripada apa yang dilihat pada hari pertandingan sahaja.

“Untuk menjadi seorang penghibur terbaik memerlukan masa dan bukanlah dengan hanya satu malam, individu terbabit akan mudah ‘menelan’ apa yang diajar. Ia juga memerlukan pengalaman sebab saya juga bermula daripada kosong. 
Hari demi hari kita kutip satu persatu 
ilmu tersebut.

“Mereka memang sudah ada perkara asas sebagai anak seni, sudah ada nama. Merekalah yang perlu tahu menilai diri sendiri sama ada mampu atau tidak untuk memahami bimbingan tersebut,” kongsinya lagi.

Pertahankan momentum seni

Mendirikan rumah tangga bersama Alvin Tham Suffian sejak 16 tahun lalu membuatkan Amy lebih selesa bergelar suri rumah tangga jika jadual seninya tidak padat.

Mengakui jika zamannya gemilangnya dahulu kini seakan ‘malap’ dek kebanjiran ramai artis baharu yang saban hari ada sahaja muka baru, Amy sendiri dia lebih suka dengan senario begitu.

Asalkan matlamat mahu keluarga dan karier bergerak seiring seperti apa yang direncana, itu sudah memadai.

“ Kalau saya tak sibuk dengan hal kerja, masa itu akan lebih banyak berada di rumah uruskan anak-anak dan suami.

“Jadi ia lebih seimbang. Tapi kalau ada tawaran lakonan atau menyanyi hadir dan sesuai dengan masa, mungkin saya boleh buat pilihan.

“Lebih-lebih lagi saya kini dah berhijab, mungkin tawaran lakonan tak serancak dahulu. Mungkin inilah namanya perjalanan anak seni. Namun, kalau ada ruang, tak akan disia-siakan,” kata ibu kepada Adalia dan Adriana itu lagi.

Dalam tidak berapa aktif itu, Amy sempat berkongsi tentang single terbaharu yang bakal menyusul tak lama lagi berjudul Khalimah.

“Judul Khalimah itu bawa maksud kata-kata dan terpulang macam mana orang nak menginterpretasikan lagu tersebut.

“Lagu hasil ciptaan Ardif Johari ini dah pun siap dirakamkan dan kali ini saya cuba genre Balada. Sebelum ini saya lebih sinonim dengan lagu berentak rancak dan mungkin tahun ini ada kelainan.

“Masih menunggu pihak Sony Music memberi kata putus sebelum lagu tersebut dikeluarkan. Semua bergantung kepada mereka untuk tetapkan waktu yang sesuai nak keluarkan lagu itu,”akhirinya.- Gambar SHIDDIEQIIN ZON

Mental kena terbuka bila dikritik

Lantaran itu juga, Amy turut menjawab tentang peserta dalam program terbabit yang tidak bersetuju dengan cara juri tetap memberikan kritikan kerana terlalu pedas sehingga mengguris hati. Meskipun tahu kata-kata itu bukan ditujukan buat dirinya, Amy turut memberikan pendapat.

“Apabila masuk pertandingan terutamanya program realiti, anda kena terbuka dari segi mental untuk menerima apa sahaja kritikan.

“Sebaik sahaja kontrak ditandatangani, memang sudah termaktub bahawa kritikan itu adalah satu ‘makanan’ sepanjang di dalam pertandingan.

“Terima atau tidak, tetap akan dikritik. Jadi lebih baik kalau yang negatif itu ditukarkan ke positif daripada membuatkan diri rasa lemah atau kecewa,” getusnya lagi.

Sungguh pun program Gempak Superstar yang diterbitkan oleh pihak Astro dan merupakan kali pertama Amy diberi tanggungjawab duduk di kerusi ‘panas’ selaku juri tetap bersama dengan Fauziah Ahmad Daud dan Michael Ang, dia tidak punya masalah untuk tugasan seperti itu lagi pada masa akan datang.

“Kalau ada yang tawarkan untuk jadi juri bagi program yang tak lari daripada bidang seni, sudah tentu saya terima.

“ Sebelum ini saya dah selalu jadi juri jemputan cuma ini pengalaman pertama terpilih jadi juri tetap. Komitmen untuk berada dalam pertandingan realiti selama berminggu-minggu memang perlukan kita lebih fokus,” katanya.