“Keadaan itu sangat melemaskan diri tambahan pula saya tidak keluar rumah. Duduk mengadap televisyen dan melayari laman sosial apabila di kemuncak kebosanan.

“Itulah kerja saya setiap hari hinggakan kedua orang tua pun naik menyampah melihat tabiat saya. Hilang tujuan hidup,” kata Aliff berhubung keadaan dirinya yang hampir murung sepanjang tempoh menyepi dua tahun lalu.

Tidak pernah menyalahkan anasir luar yang mempengaruhi dirinya untuk melakukan kesilapan lalu, Aliff mengakui dia sendiri yang memilih jalan hidupnya sebegitu.

Lantaran itu, Aliff reda berdepan dengan kesan negatif daripada tindak tanduknya sendiri biarpun dirinya menanggung malu yang tidak terhingga.

Perasaan aib itu juga yang mendesak Aliff untuk mengelak daripada bertemu dengan masyarakat sekeliling dalam tempoh beberapa bulan.

Aliff sendiri yang memutuskan semua hubungan dengan sesiapa saja yang berkait rapat dengan kerjayanya sehinggalah dia benar-benar yakin untuk keluar rumah.

Semua itu dilakukan demi mengelakkan dirinya daripada berterusan dibelenggu perasaan negatif. Aliff perlu melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup.

“Ada satu saat perasaan saya ini memberontak akibat dah tak tahan lagi. Saya perlu keluar rumah cari kerja walaupun perkara itu agak mustahil.

“Akhirnya saya dapat kerja sebagai pembancuh kopi di sebuah restoran jenama kopi terkenal. Satu lagi tamparan buat hidup saya kerana rata-rata pekerja di situ mengenali saya sebagai penyanyi.

“Itu belum lagi apabila berdepan dengan pelanggan. Tapi di situ ada perkara yang saya belajar. Kita kena bertanggungjawab atas apa juga kesilapan dilakukan.

“Tak boleh lari daripada masalah. Yang salah tetap salah. Paling penting adalah bangkit dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan,” kata Aliff berkongsi cerita survival hidupnya.

Terkini, Aliff baru saja melancarkan album keempat berjudul Rebirth sebagai titik tolak kepada anjakan hidupnya. Album yang sama juga membuktikan dirinya kini lebih matang dan bersedia untuk mara ke depan tanpa dibayangi sebarang kontroversi lampau.

Album yang mengandungi 10 buah lagu ini turut mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal termasuk Faizal Tahir, Kunci Demak, Tun Teja dan Azlan Abu Hassan.

Tiga buah lagu kolaborasi bersama artis wanita seperti Siti Nordiana, Kilafairy dan Emma Suhaimi turut dimuatkan dalam album yang sama.

Bangkit semula

PUN begitu, Aliff bersyukur kerana tunangnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 21, atau Bella Astillah banyak menyuntik semangat untuk melakukan perubahan dalam hidup.

Pertemuan kali pertama sewaktu menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-21 di Kuala Lumpur memberi harapan baharu dalam hidup Aliff apabila Bella sudi berkongsi kesedihan dengannya.

Sekaligus memberi harapan kepadanya untuk menyunting gadis yang sama untuk mengharungi kehidupan pada masa depan. Aliff akhirnya bertunang dengan Bella hujung tahun lalu.

“Bella sangat istimewa dalam hidup saya. Dia memahami jiwa saya dan menjadi tulang belakang kepada apa juga keputusan dilakukan.

“Apatah lagi pada saat orang lain mencari kesilapan diri saya, Bella banyak meyakinkan saya untuk ke depan,” katanya yang sedang sibuk membuat persiapan menjelang hari perkahwinan mereka tidak lama lagi.

Bakal mengadakan majlis perkahwinan di ibu kota, Aliff juga merancang untuk membuat majlis resepi kedua belah pihak untuk meraikan hari bahagia mereka.

Pun begitu, perkara tersebut masih dalam perbincangan antara kedua belah pihak keluarga. Yang pasti, apa yang diharapkan majlis perkahwinan dapat berlangsung dalam suasana penuh keharmonian.