Didukung oleh pelakon-pelakon handalan termasuk Namron, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Ruminah Sidek dan ramai lagi, tidak dinafikan filem ini boleh diangkat sebagai karya wajib tonton segenap lapisan masyarakat.

Dalam senarai para pelakon tersebut, terselit seorang bintang muda yang tidak siapa menyangka, sudah 10 tahun berkecimpung aktif dalam dunia lakonan.

Membawakan watak Danial seorang remaja autistik, Izzy Reef atau nama sebenar, Izzy Zulkhazreef Zulkefli, 16, wajar diberi tumpuan kerana kecemerlangannya dalam membawakan watak itu dengan baik sekali.

Izzy yang dihubungi penulis baru-baru ini meluahkan rasa syukur kerana lakonannya menerima maklum balas positif daripada penonton.

Katanya, kerja keras dan komitmen yang diberikan untuk memastikan watak tersebut menyerlah di layar perak dirasakan berbaloi apabila ada yang memuji keberkesanan lakonannya sebagai remaja autistik.

Namun remaja yang kini menuntut di Sekolah Menengah Wangsa Maju Seksyen 5 ini memberitahu beraksi sebagai remaja autistik bukan satu perkara mudah dan memerlukan penghayatan secukupnya.

"Saya dan Harith Haziq yang melakonkan watak Danial sewaktu kecil mengambil masa hampir tiga bulan, membuat kajian, memahami dan menguasai karakter bagi watak yang dilakonkan. Setiap minggu, kami akan bersama dengan kanak-kanak autistik dan belajar cara hidup mereka.

"Pada awalnya, memang sukar. Golongan autistik ini istimewa. Mereka aktif, memiliki cara berkomunikasi yang tersendiri dan selalu berimaginasi. Sebagai seorang yang normal, bukan mudah untuk jadi seperti mereka," katanya.

Berkecimpung dalam industri untuk tempoh yang cukup lama, pasti ada pengalaman dan cerita pahit manis boleh dikongsikan. Walaupun Izzy masih muda, namun dia mempunyai pencapaian membanggakan apabila telah berlakon dalam tiga filem besar serta 30 drama dan telemovie.

Diajak berbicara tentang itu, Izzy mengakui banyak cabaran dan dugaan ditempuh yang ada ketikanya hampir membuatkan dirinya berputus asa dan terfikir untuk menarik diri daripada industri.

"Saya pernah mengalami situasi dimarahi dan diherdik dengan kasar oleh seorang pengarah satu ketika dahulu. Bukan tidak pernah dimarahi, tetapi tindakan pengarah itu agak keterlaluan sehingga menggunakan kata-kata kurang elok untuk didengari.

"Disebabkan itu, saya pernah hampir berputus asa. Namun, saya pujuk hati dan beranggapan apa yang berlaku adalah sebahagian proses pembelajaran untuk menjadi pelakon berkebolehan satu hari nanti," ujarnya bersemangat.

Disoal pula tentang pelajaran, Izzy memberitahu dia tidak pernah sekalipun mengabaikan tanggungjawab utama sebagai pelajar meskipun mengikuti jadual penggambaran yang agak padat.

Katanya, dia cukup bertuah kerana mempunyai guru dan rakan-rakan yang memahami dan sentiasa sedia membantu dirinya mengikuti proses pembelajaran walaupun berada di lokasi penggambaran sebuah filem atau drama.

"Pelajaran amat penting dan saya tidak mahu tercicir. Jika ada masa terluang ketika berada di lokasi, saya pasti akan melakukan ulang kaji dengan sebaik mungkin.

"Selain itu, guru dan rakan-rakan sering memaklumkan saya jika ada tugasan atau kerja sekolah yang perlu disiapkan. Kami sering berkomunikasi menerusi pesanan WhatsApp dan menggunakan platform itu untuk berbincang tentang pelajaran," jelasnya. – AL FAIZAL/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN