Namun, komitmen pada keluarga terutama dua orang anak yang sedang membesar adalah keutamaan bagi pelakon popular Indonesia, Nurtria Wulandari Arifin atau Tya Arifin, 24, buat masa ini.

Menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza ini bagaimanapun tidak menolak andai ada tawaran yang boleh disesuaikan dengan jadual dirinya selain mendapat izin daripada suami tercinta, Asyraf Khalid.

Menurut Tya, biarpun Asyraf tidak pernah menghalang mahupun meletakkan apa-apa syarat untuknya berlakon di Malaysia, dia tetap perlu mendapatkan restu suaminya itu terlebih dahulu.

“Asyraf sangat menyokong kerjaya saya, dia tidak menghalang sekiranya saya mahu meneruskan minat dalam dunia lakonan namun sebelum membuat apa-apa keputusan saya perlu rujuk kepadanya terlebih dahulu.

“Rindu mahu keluar di kaca televisyen itu memang ada tapi keadaan masih belum mengizinkan tambahan pula saya baru lepas berpantang. Ketika ini sibuk pula dengan perniagaan jamu,” luah Tya yang juga merupakan pengasas jamu Mutyara Beauty.

Tya Arifin merupakan pelakon Indonesia yang juga aktif dalam bidang muzik sekitar tahun 2013.

Setelah berkahwin pada tahun 2015, Tya mengikut suaminya tinggal di Malaysia dan kini mempunyai dua orang cahaya mata.

Bercerita soal anak, menurut pelakon kelahiran Palembang, Indonesia ini, dia bersyukur putera sulungnya Arif Jiwa Asyraf, 2, begitu mengasihi si adik, Azzahra Jiwa Asyraf.

“Saya lihat Arif sangat menyayangi adiknya. Setiap masa dia cuba untuk bermain dengan Azzahra dan dia seperti faham peranan seorang abang terhadap adik.

“Kehidupan saya juga boleh dianggap lengkap apabila mempunyai sepasang anak, lelaki dan perempuan,” katanya dengan ceria.