Ryzal Jaafar


Pun begitu, malang bagi pelakon Ryzal Jaafar, 34, apabila semangatnya untuk meneroka dunia fesyen menerusi rangkaian jenama Arata yang dicetuskan olehnya 'dipatahkan' dengan tindakan rakan bisnesnya yang didakwa tergamak menipu.

Menurut cerita, Ryzal yang selama ini banyak mengeluarkan idea, tenaga kreatif dan keringat untuk memastikan Arata sukses sejak setahun lalu bagaimanapun kecewa apabila usahanya selama membangunkan jenama itu telah dibayar dengan harga yang tidak setimpal.

Didakwa cuma menerima wang 'ihsan’ sebanyak RM2,000, Ryzal tidak menyangka rakan bisnesnya itu rupa-rupanya kaki auta yang akhirnya menyebabkan dia kini terpaksa mengambil alih sendiri jenama itu selepas mengenalpasti berlakunya penyalahgunaan kuasa dan masalah dalaman lain selama setahun mereka bekerjasama.

Bertanya mengenai hal berkenaan, Ryzal meluahkan isi hatinya kepada Pancaindera.

 

Boleh ceritakan apa yang berlaku?

Memang berlaku masalah sebelum ini dengan seorang rakan bisnes. Saya usahakan perniagaan baju dengan jenama Arata By Ryzal Jaafar sejak setahun lalu. Saya mengaku, pada awalnya saya memang tak banyak pengetahuan dalam bidang perniagaan tapi berminat nak cuba sebab didorong perasaan yang menebal dalam bidang fesyen. Saya lihat musim perayaan adalah permulaan yang baik untuk individu memulakan perniagan baju. Kalau kita tengok, peniaga-peniaga kecil malah artis sendiri ramai yang ambil kesempatan berniaga pada bulan puasa. Rakan bisnes saya juga bertindak sebagai pengeluar modal untuk bisnes kami. Tapi itulah, kerana saya tak punya pengetahuan yang banyak dalam bidang ini dan saya (juga) terlalu mudah percaya dengan orang menyebabkan saya tidak menerima yang sepatutnya saya terima.

Tidak adakah perjanjian hitam putih sebagai persiapan awal?

Itu yang saya katakan tadi, kesilapan saya ialah saya terlalu percayakan orang. Saya lakukan semua itu memang atas dasar percaya jadi tak adalah hitam putihnya. Tapi saya yang mula dari awal, dari proses rekaan, cari fabrik, cari model, lakukan sesi fotografi dan sebagainya sehinggalah urusan jualan. Sebenarnya saya ada minta dia sediakan kontrak sebelum ini. Tetapi setelah baju habis dijual pun, kontrak tak siap-siap juga. Lebih sebulan jugalah saya tunggu tak siap juga.

Yang paling saya rasa 'wow’ sangat ialah apabila dia tergamak buang perkataan By Ryzal Jaafar di belakang nama Arata di laman sosial bisnes kami.

Selain itu apa yang berbangkit?

Sepanjang saya menguruskan perniagaan Arata, kalau nak tahu saya memang sengaja tak ambil langsung sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberikan komitmen kepada perniagaan ini. Saya anggap ini adalah 'bayi pertama' saya jadi saya nak beri tumpuan kepadanya. Setiap hari saya akan berniaga di bazar, boleh dikatakan sepenuh masa jadi peniaga di bazar. Apabila semua sudah habis, saya cuma diberikan bahagian sebanyak RM2,000 lebih. Apa perasaan anda kalau segala usaha anda dari awal, dari peringkat bawah sehinggalah baju habis dijual namun anda cuma dibayar dengan harga itu? Terkilan dan kecewanya saya hanya Tuhan yang tahu. Saya pun tak tahulah itu dianggap duit gaji ke atau duit apa. Saya juga berikan kebebasan untuk dia guna laman sosial Arata untuk dikendalikan. Tetapi lain pula jadinya apabila saya tengok banyak bisnes lain yang dipromosi dan bukannya tertumpu kepada Arata semata-mata. Laman sosial itu milik saya. Memanglah dia pengeluar modal tapi sekurang-kurangnya beritahu lah saya dulu jika mahu melakukan sebarang tindakan termasuklah dengan sengaja buang nama saya pada jenama Arata sebelum itu.

Pernah berbincang dengan rakan bisnes mengenai apa yang berlaku?

Pernah dan kita juga ada aplikasi group chat di telefon jadi masing-masing akan berinteraksi di situ. Makin saya cakap, makin banyak pula bisnes lain yang dipromosikan di laman sosial itu. Tahu tak, saya gunakan status selebriti untuk minta kawan-kawan selebriti lain datang sokong saya semasa sesi fotografi dijalankan? Kalau orang biasa, pengeluar modal memang kena bayar setiap daripada artis yang hadir beri sokongan dengan bayaran tertentu. Apabila jadi macam ini, saya rasa macam susu dibalas dengan tuba. Dia tetap dengan pendirian dia dan saya yang mengalah kerana saya rasa tak dapat nak selamatkan Arata walaupun saya yang mulakan idea itu termasuklah berikan nama Arata yang bermaksud baharu dalam bahasa Jepun. Saya pilih nama itu kerana saya anggap saya orang baharu yang ingin menceburi industri fesyen.

Bagaimana anda kembali bersemangat setelah berputus asa sebelum ini?

Saya tak mahu akur dengan kelemahan saya lagi kerana dulu saya selalu mengalah. Saya sudah temui pengeluar modal yang sudi bekerjasama dengan saya untuk meneruskan Arata selepas bekas rakan bisnes saya itu menyerahkan kembali jenama tersebut kepada saya. Kawan-kawan pun ramai yang berikan semangat dan saya pun memang serius nak buat. Bagi saya, artis macam saya tak boleh bergantung kepada lakonan saja. Kena ada bisnes dan jenama sendiri. Selagi ada peluang ambillah. Jangan jadi macam saya, sekarang baru nak buat. Dari awal dulu tak terfikir pun. Jadi artis ini, sampai satu tahap kita tahu industri memang nak orang baharu, wajah baharu. Jadi kita tak akan selama-lamanya berlakon. Budak-budak baharu pun sementara anda masih relevan sekarang, rebutlah peluang cipta jenama sendiri dan lakukan sesuatu. Tak rugi.

Dapat dilihat, Arata By Ryzal Jaafar seakan-akan ada persamaan dengan rekaan pereka fesyen Fitri Zainal (bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua) yang juga gemar gunakan elemen Jepun dalam rekaannya. Komen?

Untuk koleksi pertama sahaja saja guna nama Jepun tapi koleksinya tidak ke arah itu, Saya banyak hasilkan kurta mengikut citarasa tempatan dengan ciri Baju Melayu. Namun untuk koleksi kedua ini, saya cetuskan sedikit elemen Jepun dengan kimono sebagai arah tuju rekaan. Baju perempuan pula ala kebarung. Saya tak meniru sesiapa dan bagi saya Arata ada kelainan sendiri kerana saya terlibat dari awal sehingga akhir proses baju itu dihasilkan. Ada setengah artis, dia guna nama saja untuk produk tapi orang lain yang buat. Saya tidak begitu.