Ibarat kata orang tua, mahu berkahwin perlu terlalu banyak persediaan. Bukan sahaja mental dan kewangan yang kukuh, malah yang paling penting adalah persediaan untuk bertoleransi dalam mencatu hati.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila terlerainya cinta dan pertunangan antara dia dan penyanyi popular, Awi Rafael, pelakon My Stupid Boss ini menyifatkan tragedi putus tunang sebagai simbol kebebasan untuk dia membuat keputusan selepas ini.

Mahu bebas berbuat apa sahaja keputusan tentang diri sendiri, Atikah Suhaime tidak lagi mahu dibayangi sesiapa.

“Keputusan telah dibuat, jadi apa yang boleh saya katakan sekarang adalah depresi itu benar. Saya juga mengalaminya, namun jangan ikut perasaan. Terima kasih pada yang beri sokongan, kata-kata positif dan aura semangat untuk saya bangkit daripada kemelut ini.

“Dengan terputusnya pertunangan ini maka saya telah mendapat hak untuk bebas dalam membuat sebarang keputusan selepas ini. Sebelum ini, apa sahaja keputusan harus melalui keluarga dan tunang saya, Awi namun sekarang ia terletak pada diri saya sendiri.

“Ini adalah proses untuk saya lebih mengenali diri sendiri. Jujurnya memang ada rasa sedih, tapi saya cuba melupakannya dengan melakukan banyak kerja,” jelas Atikah.

Terdahulu, Atikah dan Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafel mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu di Singapura, namun hubungan itu terputus pada 14 Mac lepas, tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Terpaksa menanggung kos yang banyak akibat pembatalan majlis secara tiba-tiba, jelas Atikah, dia menganggap semua itu bukan rezeki untuk dirinya. Namun, dari sisi berbeza dia turut bersyukur kerana mampu berhadapan dengan perkara itu dengan begitu cemerlang.

“Segala kos yang kami tanggung itu saya anggap sedekah sahajalah pada pihak-pihak berkenaan. Tak mengapalah, rezeki mereka.

“Apa yang berlaku biarkanlah berlalu. Saya teruskan kehidupan seperti biasa.

“Untuk cinta pula, saya sedia membuka hati pada bila-bila masa dan tiada istilah serik dalam bab percintaan,” jelas Atikah.

Kontroversi seksi

TIDAK habis lagi kontroversi tentang putus tunang, Atikah kemudiannya dihimpit dengan isu berpakaian seksi ketika menjalani penggambaran drama di Thailand baru-baru ini.

Tindakan Atikah memuat naik gambarnya ketika dalam air mengundang spekulasi ramai dan menerima kutukan daripada warganet.

Tidak melatah dengan perkara itu, Atikah enggan memanjangkan kontroversi dengan tidak melayan kata-kata kecaman mereka.

“Sebenarnya saya bukan berbikini, saya pakai baju renang. Kalau lihat pada gambar itu saya di dalam air. Jadi macam mana mereka boleh kata saya berbikini.

“Orang zaman sekarang memang mudah membuat andaian walaupun mereka tak nampak pun apa yang saya pakai ketika itu,” jelas Atikah.

Mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja warganet dengan kata-kata mereka, menurut Atikah, dia perlu aura positif untuk meneruskan kehidupannya.

“Saya lihat komen-komen mereka, kalau keterlaluan saya akan halang dan ada kalanya ambil pendekatan untuk tidak membaca.

“Saya nak komen-komen positif sahaja. Kalau melampau saya tutup ruangan komen,” tegas Atikah.

Terus kerjaya

Komited meneruskan kerjayanya dalam bidang seni, Atikah sekarang sibuk dengan beberapa penggambaran termasuk sebuah filem Indonesia yang berjudul Kajang Kliwon.

“Alhamdulillah, projek lakonan tetap ada. Mungkin faktor kesibukan ini juga yang membuatkan saya senang ‘move on’ .

“Tak lama lagi saya akan keluar dengan filem Kajang Kliwon untuk pasaran Indonesia. Untuk Malaysia pula saya akan masuk penggambaran filem Tantiana pada Ogos nanti,” jelas Atikah yang akan merakamkan lagu Tantiana bersama Awi.

Meminati dunia muzik, Atikah banyak belajar selok-belok menjadi penyanyi ketika dia bersama Awi dahulu. Malah dia juga tidak kisah bergandingan bersama di atas satu pentas kelak.

“Saya memang suka menyanyi, Awi juga beri galakan. Untuk lagu Tantiana nanti kami akan bersama dalam satu studio dan saya harap projek ini berjaya,” jelas Atikah.

Hubungan dengan Awi

MASIH menjalinkan hubungan baik dengan bekas tunang, menurut Atikah, dia banyak belajar tentang kehidupan ketika bersama Awi dan kini dia menganggap lelaki itu sebagai teman yang baik.

“Saya tiada isu dengan Awi. Antara kami memang tidak ada sebarang masalah. Hubungan kami juga sekarang seperti rakan baik dan kami juga akan bekerjasama semula tidak lama lagi. Selepas putus tunang kami masih belum berjumpa, namun ada kalanya kami berhubung.

“Kes putus tunang tidak akan menjadi penyebab untuk saya membuang seorang yang baik dalam kehidupan saya sebelum ini. Saya anggap antara kami tiada jodoh, namun ia bukan penghalang untuk kami berkawan.

“Awi seorang yang sangat baik, dia banyak ajar saya tentang kehidupan,” jelasnya.

Ditanya sekiranya satu hari nanti mereka akan kembali bersama, Atikah tidak menolak jika itu sudah ditakdirkan Tuhan.

“Jodoh itu rahsia Tuhan. Kalau sudah tertulis begitu, saya tak boleh nak komenlah sebab itukan kerja Tuhan.

“Malah, sehingga sekarang pun saya masih berkongsi masalah dengan Awi. Selain bersama keluarga dan teman rapat. Awi adalah sumber keyakinan saya,” jelas Atikah.