Mawi yang juga penyanyi dan penyampai radio Zayyan berkata, jenazah ibunya, Ramlah Sarlan, 72, dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi tadi bersebelahan pusara arwah bapanya, Ani Ahmad.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 38, berkata, ibunya menghembus nafas terakhir di kediaman keluarga di Felda tersebut pada pukul 8.10 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Saya dapat berita kematian arwah mak saya pada malam tadi ketika saya dan isteri, Ekin serta keluarga bersiap untuk pulang ke kampung.

“Anak buah saya telefon mak sudah tidak ada (meninggal) dan kami terus bergegas pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak di sini.

Mawi berkata, ibunya sebelum ini sudah dimasukkan ke Hospital Kulai sejak hari raya kelima namun dibenarkan pulang tengah hari semalam sejurus kesihatannya stabil.

Pelakon filem Munafik 2 itu reda dengan pemergian insan tersayang itu dan berasa tenang berikutan beliau sudah berbakti sebaik mungkin sepanjang hayat ibunya ada.

Terdahulu, Mawi sendiri mengimamkan jenazah ibunya di kediaman keluarganya. - UTUSAN ONLINE