Peluang meegerjakan haji dalam usia muda ini dianggap satu rezeki yang tidak disangka-sangka lantaran mendapat jemputan istimewa daripada kerajaan Arab Saudi sendiri.

Wany atau nama sebenarya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, mengaku masih rasa terkejut kerana peluang keemasan ini datang beberapa hari sebelum ini.

Penyanyi lagu Menahan Rindu ini akan berangkat pada pukul 4 petang esok dan kembali ke tanah air pada 16 Ogos ini.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur atas peluang yang diberikan olehNya. Dalam masa yang sama, saya masih rasa tidak percaya sebab peluang ini datang di saat-saat akhir.

“Sebenarnya saya tidak ada perancangan pun mahu mengerjakan haji tahun ini. Niat mahu ke sana memang sudah lama ada, tetapi tidak sangka pula rezeki datang tahun ini pada saat-saat akhir.

““Allah sangat menyayangi saya. Dia beri peluang datang ke rumahNya tanpa saya sangka. Terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi kerana memberikan saya peluang ini.

“Saya anggap rezeki ini satu jemputan istimewa dan hadiah paling berharga dalam hidup saya,” kata Wany yang akan ditemani rakan baiknya, penyanyi, Amira Othman.

“Saya pergi bersama Amira Othman. Hanya berdua. Ini pertama kali kami akan menunaikan haji, apatah lagi saya yang tidak pernah menunaikan umrah, tiba-tiba terus dapat pergi haji.

“Asalnya saya fikir mahu beritahu mengerjakan haji apabila tiba di sana sahaja. Selagi tidak sampai rasa macam hati tak senang sebab apa-apa pun boleh berlaku,” katanya lagi yang sudah membuat persiapan lengkap walaupun di saat-saat akhir.

“Persiapan sebagai jemaah haji sangat lancar kerana banyak keperluan seperti jubah dan telekung memang ada di rumah. Cuma hari ini, saya perlu dapatkan suntikan vaksin dan mencari beberapa keperluan yang belum ada.

“Dari segi kesihatan, sekarang saya mengalami selesema tetapi semua itu boleh hilang kerana semangat dan keterujaan saya mahu ke sana. Semoga segalahnya dipermudahkan.

“Tentang persediaan ilmu haji, saya meminta tolong Heliza Helmi yang mengenali seorang ustaz untuk mengadakan sesi pembelajaran tentang haji. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai semalam.

“Antara doa yang paling penting di sana nanti, saya mahu minta ampun kepada Allah. Sebagai manusia biasa terlalu banyak dosa dan silap dalam menjalani kehidupan sebagai hambaNya.

“Selain itu, saya mahu doakan kesejahteraan ibu, ayah, keluarga dan seluruh umat Islam,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Online.

Ditanya tentang doa jodoh, ini jawab Wany.

“Soal jodoh, sudah tentukan saya akan minta di sana. Bukan sahaja soal jodoh semua perkara baik-baik saya kan minta di sana,” katanya dalam nada sebak. - UTUSAN ONLINE