Itu yang pernah terjadi kepada penyanyi Ibnor Riza, 58, yang mengaku pernah menjadi gelandangan di sekitar Kuala Lumpur apabila berhijrah dari Batu Kikir, Negeri Sembilan pada pertengahan 80-an semata-mata mahu menjadi artis.

Hanya berbekalkan wang berbelas ringgit hasil menoreh getah, Ibnor terpaksa menjadi gelandangan selama tiga bulan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.

Duit yang ada pun tidak cukup untuk makan, apatah lagi menyewa bilik.

“Sebelum bergelar penyanyi, saya menjadi gelandangan kerana susah mahu mendapat pekerjaan ketika itu. Bermacam-macam pekerjaan yang saya minta tetapi tidak diterima.

“Bila hidup bersama gelandangan lain, baru saya sedar bukan senang untuk hidup di kota raya ini. Dari situ saya belajar untuk menghargai orang susah, mengenang jasa orang yang pernah menolong dan berusaha gigih untuk mencapai impian.

“Memang tidak mudah tapi saya nekad untuk mengubah hidup kerana keluarga yang miskin di kampung.

“Pada awal pembabitan sebagai penyanyi 33 tahun lalu, saya memang berniat mahu sentiasa membantu golongan susah terutama artis veteran yang mengalami kesukaran hidup. Saya percaya, kalau kita selalu memberi atau menderma, Allah akan permudahkan urusan serta rezeki kita,” katanya.

Penyanyi ini yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran tidak menyangka rezekinya sebagai penyanyi kekal sehingga ke hari ini.

Sebagai penyanyi yang sudah memiliki 15 buah album, Ibnor bersyukur masih ramai yang mengundangnya menyanyi walaupun terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi lain. Antara lagu popular malar segarnya adalah Mimpi Yang Tak Sudah dan Berdiri Seorang Perindu.

Konsert Amal Bintang Legenda 80-an

SEBAGAI insan yang pernah susah, Ibnor berhasrat membantu artis-artis veteran yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan kewangan. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, impiannya mahu membantu artis susah dipermudahkan Allah.

Ibnor bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia (PKCQM) dalam menganjurkan Konsert Amal Bersama Bintang Legenda 80-an.

Konsert yang bakal dijayakan pada 19 dan 20 April ini di Istana Budaya melibatkan Ibnor sendiri bersama rakan-rakan seperti Datuk Nash, Shidee, Datuk Nassier Wahab, Azizul Khamis, Datuk Malek Ridzuan, Zur Eda, Rohana Jalil, Ramlah Ram, Salwa, Azlina Aziz dan Norshila Amin.

Malah, penyanyi Siti Fairuz, Dwen, Zamree, Razis Ismail dan Othman Hamzah tidak ketinggalan menjayakan konsert amal tersebut.

“Pada asalnya saya mahu membuat konsert solo tetapi rezeki konsert amal ini datang terlebih dahulu. Saya rasa sangat bertuah kerana rakan-rakan artis sanggup memberikan kerjasama dan boleh berbincang dalam soal bayaran.

“Semangat setia kawan inilah yang membuatkan saya rasa terharu. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka.

“Saya pernah hidup susah, jadi saya faham bagaimana peritnya hidup dalam serba kekurangan. Apatah lagi ada sesetengah artis veteran yang memerlukan kos yang tinggi untuk menjalani rawatan perubatan. Saya sedih mengenangkan apa yang dilalui mereka dan melalui konsert seperti inilah antara cara untuk menolong mereka.

“Saya berharap para peminat di luar sana dapat menyokong konsert amal ini. Di samping berhibur, anda secara tak langsung melakukan amal membantu orang susah,” kata Ibnor yang mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjadi penaja kepada konsert itu yang memerlukan kos sebanyak RM400,000.

Hasil kutipan tiket dan keuntungan konsert akan disumbangkan kepada Yazid Search, Zaiton Sameon, balu kepada penyanyi MY Shamsudin dan balu kepada bekas penyanyi SYJ Sofea iaitu Allahyarham Mohd. Rosdi Bahadon serta membantu golongan asnaf dan anak-anak yatim di bawah jagaan PKCQM.

PKCQM yang ditubuhkan pada 12 Mac 2015 bertujuan memberi bantuan bulanan perubatan, makanan, bantuan persekolahan dan sumbangan hari raya kepada keluarga asnaf yang terlepas pandang daripada pihak berwajib khususnya warga emas yang miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta golongan kurang upaya.

Untuk maklumat lanjut tentang pembelian tiket yang berharga antara RM100 hingga RM250 boleh hubungi wakil PKCQM di talian 019-4923312 atau 011-11600049.