Itu pinta isteri penyanyi popular era 70-an itu, Datin Effa Rizan selepas suaminya kini tidak sedarkan diri selepas dimasukkan ke hospital Sabtu lalu akibat serangan strok.

Effa ketika ditemui Utusan Online berkata, doktor tidak dapat melakukan pembedahan ketika ini lantaran keadaan tubuh Dahlan yang terlalu lemah.

“Saya terus terang, doktor memberitahu hanya doa yang mampu menyelamatkan suami saya. Keadaannya terlalu lemah dan kritikal,” katanya tenang.

Dahlan yang cukup popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan dan Joget Kaki Lima dikejarkan ke Hospital Selayang selepas tidak sedarkan diri pada petang Sabtu lalu.

Ini merupakan serangan strok kedua selepas serangan pertama sekitar tahun 2016 yang mengakibatkan dia lumpuh sebelah kiri.

Dalam pada itu, Effa berkata, dia reda dan bersedia dengan segala kemungkinan selepas keadaan suaminya yang semakin kritikal.

“Sebelum ini, dia berjaya mengharungi serangan strok pertama. Allah bagi saya peluang untuk jaga dan berada di sisinya selama dia sakit.

“Alhamdulillah, saya selalu minta kekuatan untuk menjaga suami ketika sakit dan itu yang Allah makbulkan. Insya-Allah, saya dan keluarga kuat menghadapi ujian ini,” katanya.-

Selain keluarga terdekat, turut hadir melawat Ketua Pegawai Eksekutif Media House Entertainment (MHE), Datuk Sri Zaienal Abidin Omar. - UTUSAN ONLINE