Perubahan ‘angin’ itu dibuat untuk melebarkan profil kerjaya selain beralih angin selepas enam tahun menjadi penyampai radio Suria FM.

Biarpun tanggungjawab baharu yang bakal dipikul Halim itu memerlukan kepakarannya dalam ilmu kesukanan namun perkara itu tidak menjadi masalah.

Sebaliknya lelaki berusia 51 tahun ini akan memastikan tugasnya memberi kesan kepada khalayak program yang telah diterbitkan sejak dua tahun lalu itu.

“Saya berasa terpanggil untuk menjadi pengacara TV sukan selepas mengendalikan program Grandstrand Suria FM bersama-sama Naim Tahak selama setahun.

“Sepanjang tempoh itu saya mendapati sebenarnya ada isu-isu berkaitan kesukanan yang seronok untuk diulas. Bertitik-tolak dari situ, saya cuba mengintai peluang kembali ke TV.

“Alhamdulillah rezeki menyebelahi saya. Jadi saya tidak akan ambil mudah selepas mendapat tawaran keemasan ini daripada pihak RTM.

“Yang penting adalah memperbanyakkan kajian dan penguasaan fakta sukan,” kata Halim yang memulakan kerjaya pengacaraan apabila terlibat dalam program Selamat Pagi Malaysia pada 1993.

Halim kemudiannya menjadi pengacara program pertandingan kuiz, Roda Impian tiga tahun kemudian sebelum mengendalikan program bual bicara, HO Live pada 2005.

Halim kini masih menjadi penyampai radio Suria FM yang mengendalikan Grandstrand Suria FM setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Berkongsi cerita Halim berkata, dia banyak mempelajari tentang selok belok dunia pengacaraan daripada Datuk Rahim Razali yang arif dalam bidang sukan.

Kemampuan Rahim sebagai penggiat seni yang serba boleh itu mencetuskan keinginan Halim untuk menjadi sepertinya satu hari nanti.

“Saya masih ingat lagi sewaktu berusia 10 tahun, saya selalu mendengar ulasan Datuk Rahim dalam segmen Arena Sukan di Radio Satu RTM.

“Setiap malam, saya bersedia untuk mendengar ulasannya di radio. Beliau adalah rujukan terbaik buat saya untuk menceburi bidang sukan secara serius,” ujarnya.

Pengacara baharu

BIARPUN dengan kemunculan ramai pengacara baharu namun Halim mengakui dia tidak tergugat dengan keadaan itu kerana merasakan setiap individu mempunyai keistimewaan masing-masing.

Bagi Halim, yang penting adalah kejujuran pengisian dalam meyakinkan audiens.

“Dunia pengacaraan menuntut kemahiran yang halus. Lihat saja kerja arwah Datuk Hasbullah Awang dan Datuk Rahim. Kedua-dua figura ini berjaya meyakinkan audiens tentang bakat yang mereka ada.

“Saya kurang bersetuju kalau kita mengangkat individu yang tiada latar belakang dalam bidang pengacaraan untuk mengendalikan acara-acara yang besar.

“Saya bimbang kalau individu berkenaan hanya akan menjejaskan kredibiliti pengacara sebenar kerana kurangnya kemampuan mereka,” katanya yang turut menjadi pensyarah jemputan dalam bidang pengajian media di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC).

Percaya dengan kuasa ilmu, Halim juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan pihak yang memerlukan sesi latihan dalam pengucapan awam.

Terkini Halim menerusi syarikatnya, HO-Links menganjurkan bengkel pengucapan awam untuk mengatasi kegugupan secara terbuka pada Mei ini.

Menerusi cara itu, Halim berpeluang untuk berkongsi tips bagaimana mahu meyakinkan kemampuan diri sewaktu berucap di khalayak ramai.