Bagi Datin Wendy Wong, apa yang dilalui sepanjang melibatkan diri dalam bidang seni adalah pengalaman manis untuk dirinya apatah lagi produk yang ditayangkan mendapat maklum balas positif daripada peminat.

“Bukan senang mahu bergelar penerbit dan menghasilkan naskhah yang disukai ramai. Cuma saya beruntung kerana mendapat kerjasama daripada ramai orang hebat sejak 1990-an lagi.

“Mereka bukan sahaja membantu menerbitkan produk tetapi dalam masa sama memberikan mesej positif untuk penonton. Saya percaya setiap produk yang dihasilkan perlu memberikan kebaikan kepada semua,” katanya.

Membangunkan Produksi Seni 2020 bersama Nancie Foo, pasti ramai masih terkenangkan drama Kisah Benar yang mula ditayangkan pada 1994.

Drama mengangkat cerita sebenar yang berlaku kepada individu terpilih itu, dilakonkan semula untuk memberikan pengajaran kepada penonton.

Bersiaran sebanyak 160 episod ketika itu, Kisah Benar bukan sahaja memberikan pengajaran tetapi dalam masa sama memberikan impak kepada peminat yang sentiasa menunggu apa lagi kisah yang mahu diketengahkan.

“Saya percaya masih ramai yang teringatkan rantaian Kisah Benar walaupun sudah lebih dua dekad bersiaran. Matlamat kita adalah untuk memberikan mesej positif kepada penonton.

“Dalam bidang penerbitan kita tidak boleh menumpukan kepada tema komersial semata-mata sebaliknya perlu disertakan dengan tanggungjawab sosial. Ini yang kami lakukan sejak dahulu,” tambahnya.

Meskipun sekarang syarikatnya perlu bersaing dengan ratusan syarikat baharu, Wendy tidak menganggap itu merupakan penamat buat orang berpengalaman sepertinya.

Sebaliknya, dia mahu menjadikan keadaan itu sebagai satu persaingan untuk mereka bersama-sama memberikan yang terbaik kepada industri seni tanah air.

“Apabila banyak syarikat muncul, ini petanda yang industri kita berkembang. Jadi semua orang perlu berusaha untuk memberikan idea baharu dan segar kepada penonton.

“Saya yakin jika semua orang menjaga kualiti dan memberikan idea baharu, produk kita boleh diterima oleh orang luar,” tegasnya.

Kerja sosial

Baru sahaja menerima Ijazah Doktor Kehormat daripada The International University Of Peace yang berpangkalan di United Kingdom baru-baru ini, sebenarnya memberikan keterujaan kepada wanita ini.

Jelasnya, dia sendiri tidak menyangka akan terpilih menerima penganugerahan bersama dengan 30 individu lain yang turut menyumbangkan banyak jasa dalam bidang kerja sosial.

“Saya masih terkejut dengan penganugerahan ini memandangkan mereka memberikan berdasarkan kerja sosial yang dilakukan. Daripada 80 nama yang dicadangkan, saya antara insan bertuah terpilih.

“Sudah pasti dengan penganugerahan ini akan membakar semangat saya untuk bekerja lebih keras dan terus melibatkan diri dalam kerja amal,” tambahnya.

Sudah melibatkan diri dalam ratusan kerja sosial dan kebajikan, Wendy masih terkenangkan kembara ke Kemboja bersama Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar sebelum ini.

Ketika itu mereka dalam misi membantu sebuah masjid dalam perkampungan Melayu di sana di samping mengagihkan al-Quran.

Jelasnya, memang itu adalah pengalaman pertama dia membantu masyarakat di luar negara memandangkan kebanyakan kerja sosial yang dilakukan bersama penduduk tempatan sahaja.

“Dalam hidup kita kena banyak memberi. Prinsip itu juga yang saya pegang sehingga ke hari ini. Saya harap kita semua akan terus bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.