Pada pertemuan dengan Hits baru-baru ini, Rafidah atau Fida, 30, kini sedang mempersiapkan diri untuk merakam single baharu dengan seorang penyanyi rap, yang lagunya dicipta oleh salah seorang anggota kumpulan The Muffins.

“Buat masa sekarang saya belum boleh beritahu secara terperinci kerana semuanya masih dalam perbincangan. Kalau tak ada halangan dalam seminggu dua ni saya akan masuk studio untuk rakam lagu itu. Kalau tak silap, lagu itu nanti akan dipasarkan selepas raya.

“Selain lagu itu, saya juga ada mendapatkan tiga lagu ciptaan Ajai dan salah satunya adalah lagu duet. Setakat ini masih lagi mencari siapa yang sesuai dengan vokal saya. Saya tak kisah berduet dengan sesiapa saja, asalkan lagu itu diterima ramai,” katanya.

Jelas Rafidah, setiap kali ada projek baharu, dia akan mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan cikgu Syafie atau Asmidar yang pernah memasuki program Vokal Bukan Sekadar Rupa sebagai persiapan sebelum memasuki studio.

“Nak kata saya ikuti kelas vokal sepanjang masa tak adalah. Saya hanya pergi ikut projek berdasarkan lagu yang diberi. Tujuannya agar saya dapat merakam lagu itu dengan lancar bila di studio kelak. Seperti lagu-lagu sebelum ini, memang saya dapat bimbingan daripada cikgu Syafie dan Asmidar,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai orang baharu dalam bidang seni suara, dia tidak pernah menetapkan untuk bergandingan dengan sesiapa, asalkan vokal pasangannya itu serasi dengan dirinya sudah memadai.

“Siapalah saya untuk meminta-minta. Menyanyi pun masih merangkak kalau nak dibandingkan dengan orang lain. Apa pun setakat ini, pasangan duet saya semuanya mudah memberi kerjasama dan kerana lagu bersama mereka, saya juga sering dipanggil mengadakan persembahan pentas.

“Pasti ada yang tanya, macam mana saya berduet kalau mereka tidak boleh turut serta. Semuanya itu mudah sebab saya menyanyi menggunakan minus one jadi suara mereka tetap ada, lainlah kalau penganjur mahu penyanyi itu turut serta, maka saya akan berduet dengan mereka,” jelasnya.

Masih aktif seni

MENURUT Rafidah, lakonan terakhirnya dapat dilihat menerusi drama Setulus Janji yang disiarkan di TV1, baru-baru ini. Bukan tidak mendapat tawaran berlakon, memang ada, cuma Rafidah saja yang tidak berkesempatan. Dia terpaksa menolak tawaran berlakon terutamanya yang memerlukan berada di luar kota kerana masanya kini lebih tertumpu kepada bidang perniagaan yang dibina sejak tahun lalu.

“Saya masih bergiat dalam bidang seni, tak pernah bersara pun. Cuma sekarang ini tumpuan saya dilebihkan sedikit kepada perniagaan milik saya, R Secrets Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak tahun lalu. Alhamdulillah, saya sebagai pembekal tunggal serum dari Korea kepada Kongsi Makan, suatu platform yang didukung oleh syarikat-syarikat pengilang dan pengeluar produk kesihatan dan kecantikan.

“Sejak berurusan dengan Kongsi Makan, rezeki saya tidak pernah putus kerana permintaan untuk serum banyak hingga tak cukup tangan. Disebabkan itulah saya kena beri fokus, nanti kalau tak serius orang tak percaya pula pada produk kita. Memang rindu nak berlakon atau rakam lagu tapi buat masa sekarang bisnes dulu sebab saya tidak yakin boleh melakukan dua perkara dalam satu masa,” katanya yang dambakan watak aksi.

Melihatkan permintaan yang tinggi terhadap serum yang dibekalkan, Fida berhasrat untuk memperkembangkan bisnes dengan menghasilkan produk kecantikan kulit dengan jenama sendiri, selewat-lewatnya hujung bulan ini sebagai pengenalan.

“Sebelum memasarkan produk itu, saya telah guna dulu. Untuk melihat kesannnya memang lambat, ia tidak nampak dalam masa seminggu, mahu berbulan juga baru nampak kesan. Saya percaya produk yang memberi kesan secara natural lebih selamat dipakai berbanding produk yang kesannya dalam tempoh singkat. Saya mahu menjual produk yang selamat dipakai,” katanya yang merupakan pengasas R Secrets.

Ajak peminat pergi Bandung

SEAKAN menjadi trend dalam dunia hiburan dan pelancongan masa kini, artis sering dijadikan duta percutian mana-mana agensi pelancongan. Bagi memastikan kelangsungannya dalam bidang seni, seperti artis lain, Rafidah juga tidak menolak apabila My Altitute 30 Travel and Tours Sdn. Bhd., menawarnya untuk bercuti bersama mereka.

Jelas Rafidah, dia menerima tawaran tersebut dengan harapan dapat mendekatkan diri dengan peminat yang banyak menyokongnya selama ini.

“Saya terima dengan hati terbuka tawaran daripada My Altitute kerana sudah lama juga saya tidak ada majlis dengan peminat. Bila ada perbincangan awal, bolehlah saya kosongkan tarikh 26 hingga 29 Mei ini untuk pergi ke Jakarta dan Bandung, Indonesia untuk bersama peminat.

“Lagipun ke Bandung, bolehlah saya ambil peluang untuk membeli apa yang patut sebagai persiapan raya nanti. Namun yang penting saya mahu meraikan hari-hari cuti itu dengan mereka yang turut serta dalam rombongan itu. Saya harap dengan adanya projek ini, dapatlah saya mengaktifkan semula kelab peminat yang sebelum ini wujud tapi tidak aktif. Inilah peluang untuk saya menarik anggota baharu untuk tubuhkan kelab peminat baharu,” jelasnya tersenyum.

Katanya pada 2011 hingga 2012, ada peminat menubuhkan kelab peminat Riftters tetapi lama kelamaan tidak ada yang menguruskan dan kini kelab itu sepi.

“Agak sayang juga apabila kelab peminat Riftters ini sepi kerana ahli jawatankuasa yang urus kelab itu sudah bekerja, jadi terpaksalah saya cari orang lain. Nak cari orang yang beutl-betul dedikasi kepada kelab, agar sukar kerana semua itu perlu dilakukan dengan minat,” katanya.

Kata Rafidah, pada sesiapa yang ingin menghabiskan masa dengannya, cepat-cepatlah menghubungi talian 019-3605287 (Nizam) atau 012-6916490 (Asyraf) kerana dia hanya akan bersama 30 peserta terawal sahaja.

Anak bongsu daripada 12 beradik itu juga tidak berselindung apabila ditanya soal teman lelaki. Katanya, buat masa sekarang, dia lebih senang bersendirian kerana kebanyakan masanya ditumpukan pada perniagaan yang diusahakan.

“Macam mana nak bahagi masa pada orang lain, kalau tumpuan saya lebih kepada perniagaan yang baru dibina ini. Kalau ada jodoh, adalah. Saya tidak kisah sama ada bakal suami nanti orang seni atau tidak, apa yang penting kami serasi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Untuk mencari pada masa ini tidaklah, biarlah jodoh itu datang tanpa diundang kerana semua itu urusan Allah. Matlamat saya nak berjaya dalam karier seni dan bisnes,” katanya tersenyum.- Gambar WAHIDAH ZAINAL