Menafikan semua tuduhan yang tidak berasas itu, Amy tampil menjelaskan perkara sebenar yang membelenggu kumpulan yang sudah 35 tahun di 
dalam industri seni tempatan. Hits himpunkan kembali soalan-soalan yang dihadapkan media kepada kedua-duanya yang mengadakan sidang media, di lokasi berbeza selang sehari. Seach bercakap kepada media pada Rabu lalu, manakala Yazit pada Khamis keesokan 
harinya.

Hits: Yazit mendakwa Search telah pecah amanah dan tidak membayar hak dia?

Amy: Kami, sepanjang bersama dalam kumpulan yang sudah 35 tahun usianya ini tidak pernah sekali pun terfikir untuk ‘menyamun’ duit daripada Yazit. Sejak dia kurang sihat, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kami.

Sejak dulu, dalam mana-mana konsert tidak kira dia membuat persembahan bersama atau tidak, dia masih menerima bayaran. Kami faham, dalam keadaan sakit begitu, kesihatan dia tidak mengizinkan, tapi kami masih beri dia duit. Bukan mahu mengungkit tetapi itulah kebenarannya.

Apa reaksi Amy dan anggota Search lain apabila mendapat tahu berhubung laporan tersebut?

Saya dan rakan-rakan lain terkejut. Kenapa dia sanggup buat begitu kepada kami? Tergamak dia melemparkan tuduhan yang langsung tidak berasas dan berniat untuk menyumbat kami ke dalam penjara.
Kami anggap dia seperti ahli keluarga sendiri. Kebajikan dia tidak pernah sekali pun kami lupa tetapi apa yang dia balas, cukup-cukup mengecewakan. Sedih tak tahu bagaimana nak cakap.

Jadi mana duit RM75,000 itu pergi?

Duit itu hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan dan digunakan untuk tujuan promosi, bayar sesi latihan dan sidang akhbar. Kami tak ‘samun’ pun duit itu. Sikit pun tidak.

Perkara seperti ini sangat mendukacitakan. Siapa sangka, persahabatan yang terjalin lebih 35 tahun atas dasar integriti dan kasih mengasihi akan jadi begini. Sedih, saya cukup sedih.

Lepas tahu pasal laporan, ada cubaan menghubungi Yazit sendiri?

Macam ini lah, Yazit bukan seorang yang boleh dibawa berbincang. Dia terlalu mengikut emosi. Dia ada menghubungi Nasir, tetapi cakap dengan nada yang cukup kasar sehingga memaksa Nasir menghentikan panggilan tersebut. Tidak mahu memanjangkan isu.

Malah, dia sendiri ada membuat pesanan kepada isteri saya, Nourish untuk menghubunginya kembali. Apabila Nourish telefon, dia terus menuduh yang bukan-bukan, cakap saya pecah amanah dan makan duit dia. Isteri mana yang dapat tahan. Saya tidak salahkan isteri saya kalau mengeluarkan kata-kata kasar, kerana dia mahu mempertahankan suami sendiri.

Atas dasar apa Yazit berani membuat beberapa laporan polis sebegitu?

Saya pun tidak pasti sebenarnya. Apa yang dia cuba lakukan pun saya tidak tahu. Cuma berhentilah menagih simpati daripada masyarakat. Memalukan kami anggota lain dengan memfitnah perkara yang bukan-bukan.

Malah, ada pihak di luar sana yang turut menyokong Yazit dan melemparkan kata-kata fitnah sehingga memalukan saya. Sampai ada yang kata saya guna agama untuk ‘menyamun’ duit orang. Itu semua fitnah.

Serik atau tidak untuk bekerja dengan Yazit?

Search merupakan satu jenama yang cukup berpengaruh dan tidak pernah sekali pun kami terfikir untuk bergerak tanpa Yazit. Sebab itu saya cakap, mana-mana persembahan pun tak kira dia ada atau tidak, kami tetap bagi bayaran.

Search tuntut Yazit memohon maaf dan menarik laporan polis yang dibuat. Sampai sekarang dia masih berdegil, malah buat lagi laporan polis kedua. Bagaimana tu?

Itu terpulang kepada dia, kalau masih berdegil. Tunggu sajalah tindakan undang-undang daripada kami.

“Saya maki kerana provokasi dia,” – Nourish

Hits: Betul ke Nourish ada memaki Yazit dengan kata-kata yang cukup kesat.

Nourish: Ya, saya akui perkara itu. Tetapi semua itu didorong oleh reaksi akibat provokasi melampau yang dimulakan oleh Yazit sendiri. Jika awak berada dalam situasi saya, apabila orang fitnah suami awak dengan tuduhan yang saya tahu tidak berasas, apakah awak akan diam sahaja? Maaflah! Saya bukan orang sebegitu. Saya kenal suami saya dan dia tidak akan pernah buat begitu. Suami saya orang baik, kenapa nak tuduh dia bukan-bukan?

Bila perkara ini mendapat perhatian, ramai orang menyalahkan Nourish sebagai orang lebih muda, kerana memaki Yazit. Menyesal atau tidak akan perbuatan itu?

Saya pun tidak tahu bagaimana nak jawab, cuma selama ini, kami (Amy, Nasir, Kid dan Din) bersusah payah menaikkan nama kumpulan Search. Tiada siapa tahu payahnya cabaran yang kami hadapi. Walau apa pun terjadi, konsert Search 35 tahun itu perlu berlangsung.

Banyak lagi salah laku Search pada saya – Yazit

TIDAK! Bukan wang yang menjadi isu utama dalam pertelingkahan yang membabitkan pemain dram Search, Yazit terhadap empat anggota lain iaitu Amy, Kid, Nasir dan Din.

Hadir mendengar keluhan dan luahan hati lelaki berusia 54 tahun itu, sebenarnya Yazit terkilan melihat cara layanan rakan-rakan yang dianggap ahli keluarga sedarah sedagingnya itu terhadapnya setelah dia disahkan menderita sakit.

Beberapa isu ditimbulkan Yazit dalam sidang akhbar yang telah diadakan pada Khamis lalu selain dia tidak menerima sebahagian wang pendahuluan sempena penganjuran Konsert 35 Tahun Search yang telah dijanjikan kepadanya.

Yazit mempersoalkan musabab namanya tidak tersenarai dalam memorandum persefahaman (MoU) yang telah dipersetujui.

“Hanya empat nama sahaja yang ada dalam MoU berkenaan sedangkan apabila draf dibuat, nama saya ada di dalamnya. Namun, ketika siap, nama saya digugurkan dan siapa dalang yang telah melakukan hal ini?

“Disebabkan itu, wang pendahuluan konsert pada Ogos ini hanya diberikan kepada empat orang itu sahaja dan ke mana perginya bahagian saya? Sedangkan saya telah berikan nyawa saya ketika menubuhkan kumpulan ini lebih tiga dekad lalu,” katanya mempertikaikan situasi tersebut.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi situasi yang berlaku sebelum ini telah meminggirkan dirinya yang masih hidup, padahal dia tidak pernah mengumumkan persaraannya sebagai ahli Search.

Mengimbas lagi kejadian lalu, ketika Search menerima plak penghargaan Anugerah Juara Lagu ke-30 pada Januari lalu, ini, Yazit mengakui terasa hati apabila gambarnya tiada, walhal dialah pengasas kumpulan legenda itu.

“Kalau nak ikutkan, banyak lagi salah laku mereka yang bertindak mengetepikan saya. Seolah-olah saya telah tiada lagi di muka bumi ini. Saya belum mati pun dah macam ini mereka lakukan, apa pula nasib anak bini selepas ketiadaan saya nanti? 

“Search bukan sekadar sebuah kumpulan, sebaliknya sebuah produksi, berbeza dengan kugiran lain di negara ini. Di bawah naungan syarikat milik kami bersama iaitu GoSearch, setiap ahli merupakan ahli lembaga pengarah yang mempunyai saham sebanyak 20 peratus.

“Tidak kira masih aktif lagi atau tidak, setiap seorang berhak memperoleh bahagian masing-masing. Sebab itu saya bersuara demi menuntut hak seperti mana yang dipersetujui bersama,” katanya memberi penjelasan.

Justeru, Yazit secara dasarnya melihat, tindakan anggota lain yang cuba meminggirkannya adalah satu kelakuan tidak matang dan melanggar perjanjian.

“Saya sayangkan mereka semua seperti adik-beradik, tetapi demi masa depan keluarga, dengan kesihatan saya yang tidak stabil, hak tersebut terpaksa saya tuntut. Ini adalah pengajaran bersama,” katanya. - IFQDAR RAHMAN