Semua aspek perlu diambil kira bagi mengelakkan ada pihak bersuara di kemudian hari. Tambahan pula pada zaman canggih masa sekarang ini.

Satu kesilapan dengan mudah mampu menarik perhatian banyak pihak untuk memperkatakan keaiban yang dilakukan meskipun perihal remeh.

Apatah lagi dengan kehadiran ‘wira papan kekunci’ yang gemar mencari kesilapan dan memperbesar-besarkan perkara yang kecil menjadi isu besar pada hari ini.

Dilema tersebut yang menjadi kebimbangan anak kelahiran Jengka, Pahang ini sepanjang menceburi bidang pengacaraan hampir dua tahun lalu.

Seboleh-bolehnya Fara mahu mengurangkan kesilapan yang dilakukan. Fara enggan mencetuskan sebarang permasalahan dan terjebak dengan kontroversi.

“Zaman sekarang ini perkara kecil pun dengan mudahnya menjadi besar jika tidak berjaga-jaga. Kena banyak berfikir sebelum melakukan apa saja.

“Bukan saja tindak tanduk, bahasa yang digunakan di laman sosial juga perlu diambil perhatian. Benarlah kata orang, bahasa melambangkan bangsa.

“Tapi isu remeh temeh itu kerap kali menjadi satu kesalahan besar andai kesilapan itu dilakukan seorang yang muncul di khalayak.

“Silap hari bulan, kesilapan kita itu habis dicanangkan satu dunia. Kalau tak percaya boleh tengok kejadian membabitkan beberapa artis sebelum ini,” kata Fara.

Berkongsi cerita, Fara memberitahu dia pernah berdepan dengan situasi apabila ada peminat yang memperkatakan tentang mekap dan cara pemakaian apabila memuat naik gambar dirinya di laman sosial.

Sebagai orang muda yang gemar berfesyen, sudah pastilah Fara berdepan dengan situasi yang hampir serupa sementelah terlibat dalam bidang peragaan busana muslimah sebelum ini.

Pun begitu, Fara menerima teguran itu secara terbuka meskipun jauh dari hatinya dia juga berasa kurang senang dengan apa yang berlaku.

Oleh itu bagi mengelakkan diri daripada mencetuskan sebarang kontroversi, Fara berfikir banyak kali sebelum berkongsi apa saja di laman sosial.

Sekiranya ada perkara yang dirasakan tak perlu dikongsi kerana bakal mendatangkan kemarahan, Fara mengelakkan daripada melakukan perkara tersebut.

Oleh sebab yang sama juga, Fara mengakui tidak pernah memuat naik sebarang status di laman sosial yang berbaur negatif.

Begitu juga perkongsian luahan rasa untuk menyatakan rasa kurang senang hati dengan mana-mana pihak di medium yang sama.

Semua itu dilakukan bagi memastikan Fara tidak terjebak dengan insiden yang dengan mudah menarik perhatian pelayar Internet untuk mempertikaikan tindakannya.

“Yang paling saya takut kalau kecuaian saya itu boleh mengaitkan tunjuk ajar kedua ibu bapa dan orang sekeliling yang banyak membantu kerjaya saya.

“Keadaan itu sudah pasti membuatkan saya tidak boleh duduk senang. Saya tak suka kalau ada pihak mengaitkan tindak tanduk saya ini dengan orang kesayangan.

“Sebab itu saya ambil jalan selamat. Siap-siap mengelak daripada mencetuskan publisiti murahan. Tak mengapalah kalau orang nak mengata prinsip saya ini.

“Asalkan saya tidak menyusahkan orang tua dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak yang berkait dengan hidup saya,” jelasnya.

SEMPURNA

Mengakui bukan manusia sempurna menurut Fara, dia juga sedang dalam proses untuk melengkapkan kekurangan diri dan mengikut syariat agama Islam yang sebenar.

Sementelah persekitaran kerjanya di TV AlHijrah terdiri daripada golongan yang rata-ratanya celik agama, Fara tidak pernah berputus asa untuk menjadi seperti mereka satu hari nanti.

Biarpun usahanya itu memakan masa, Fara percaya impiannya itu menjadi seorang muslimah yang serba serbi celik agama pasti tercapai satu hari nanti.

“Kalau kita nak jadi orang baik, kita perlu bergaul dengan orang yang baik. Begitulah percaturan yang diambil kira kalau kita tersalah langkah.

“Saya mengaku masih belum ke arah insan sempurna. Tapi saya sudah bersedia untuk ke arah itu. Kalau ada hukum agama yang samar, pasti saya akan mendapatkan penjelasan segera.

“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk bekerja di lingkungan yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang agama. Kalau ada kemusykilan, segera saya akan mendapatkan penjelasan.

“Sebagai orang baharu, sudah pastilah banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari,” kata graduan komunikasi massa dalam perhubungan awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Fara pernah bekerja di bahagian komunikasi korporat syarikat minyak dan gas sebelum bertindak sebagai pengacara program Soal Wanita bermula tahun lepas.

Sebelum mengendalikan secara solo, Fara bergandingan secara berduet dengan Hidayah Azhan pada musim ketujuh program yang sama.

Pada musim kelapan, Soal Wanita menampilkan konsep lebih bertenaga dan interaktif apabila membincangkan isu-isu berkaitan yang dekat dengan masyarakat.

Program yang bersiaran selama satu jam pada setiap Sabtu ini juga menampilkan segmen wanita hari ini, personaliti, fesyen, adab, akhlak dan tutorial tudung.

Berhubung dengan minatnya untuk menceburi bidang lakonan, Fara memberitahu dia bersedia untuk menimbangkan tawaran berlakon asalkan tidak menjejaskan jadual kerjanya sebagai pengacara.

Ini kerana menurut Fara, keutamaan dirinya tetap pada bidang pengacaraan berbanding lakonan yang menuntut komitmen masa yang tinggi.

“Pernah juga ada kawan-kawan yang mencadangkan kepada saya untuk menceburi bidang lakonan sebagai perancangan sokongan kepada bidang pengacaraan.

“Tapi saya belum bersedia lagi ke arah itu. Lagipun banyak batas-batas yang perlu dijaga. Bimbang pula kalau ada pihak yang sakit mata.

“Jadi lebih baik saya beri tumpuan kepada bidang pengacaraan. Pun begitu saya bersedia mempertimbangkan tawaran berlakon jika ada yang bersesuaian dengan watak saya,” ujarnya.

BAKAL BERTUNANG

MENGUBAH topik peribadi, Fara memberitahu dia bakal bertunang dengan buah hatinya Julai ini. Mengikut perancangan, majlis perkahwinan Fara akan diadakan pada tahun depan.

Tidak merasakan ikatan pertunangan itu akan menjejaskan kerjaya menurut Fara, dia sentiasa optimis dengan apa juga suratan takdir yang ditentukan.

Meskipun ada pihak yang merasakan keputusan yang dibuat itu terlalu awal namun Fara reda dan percaya pasti akan ada rezeki lain menanti selepas itu.

“Perihal pertunangan dan perkahwinan ini tidak akan menjejaskan perjalanan karier saya. Ini kerana perbincangan antara dua pihak sudah diadakan.

“Dalam keadaan sekarang ini, saya hanya menuruti permintaan orang tua dan adik beradik yang lain. Mereka menjadi keutamaan dalam hidup saya,” katanya yang enggan mendedahkan gerangan kekasih hati.

Sengaja mengusik tentang kegusaran andai ‘saham’ dirinya jatuh selepas mendirikan rumah tangga, Fara memberitahu dia tidak pernah memikirkan soal tersebut.

Apa yang penting adalah kredibiliti dirinya untuk melakukan setiap tugasan diberikan dengan jayanya tanpa bersandar sepenuhnya pada status diri.

Sentiasa realistik dengan perkembangan wanita pada hari ini, Fara juga berharap agar dia dapat menjadi contoh wanita moden yang mampu membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga satu hari nanti.