Memilih untuk tidak terlalu bercakap tentang apa yang dilaluinya, ada yang berpendapat pelakon filem Mukhsin ini mungkin berada dalam keadaan tertekan.

Bertemu dengannya yang kini berada di Sarawak untuk penggambaran filem terbaharu kongsi Syafie, apa yang berlaku ke atasnya tidak lebih daripada satu lagi pengalaman yang mendewasakan dirinya.

“Jika benar saya seorang yang bermasalah, pasti setahun dua dalam industri nama saya sudah terpalit dengan kontroversi.

“Tetapi hanya sekarang semua ini terjadi. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut apa yang berlaku, namun apa yang boleh dikatakan saya lebih kenal diri saya,” katanya.

Tenang menjawab soalan, Syafie, 27, menjelaskan, ketika mereka di luar sana masih bercakap soal yang sama mengenai dirinya sehingga merobek maruah diri dan keluarga, tiada apa yang mampu dilakukannya selain terus bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sangat mempercayainya.

“Ibu bapa saya tahu apa yang berlaku, malah bila ibu menerima berita ini dia hanya tersenyum. Pada dia, sebagai seorang ibu lebih mengenali siapa anaknya.

“Tidak sekadar keluarga, malah kawan-kawan juga turut berada bersama saya. Dalam hal ini mereka turut tidak percaya dengan dakwaan-dakwaan di luar sana,” kongsinya.

Jelasnya, antara pengajaran paling berharga buatnya sepanjang melalui kontroversi yang berlaku adalah untuk sentiasa mendahulukan kedua orang tuanya.

“Paling penting dengan apa yang berlaku, ibu bapa saya tetap kenal siapa anak mereka.

“Cuma, apa yang saya belajar adalah untuk dahulukan mereka dalam apa jua hal selepas ini,” tambahnya.

Terlerai tali pertunangan di tengah jalan, Syafie yakin soal jodoh adalah rahsia Allah buat hamba-Nya. Tidak mahu melihat kejadian ini sebagai sebab untuk trauma akan perhubungan baharu, dia sentiasa berharap yang terbaik buat masa hadapannya.

“Jika sudah tertulis suatu hari nanti masih seorang artis jodoh saya, pasti saya terima.

“Cuma buat masa ini fokus saya lebih kepada kerjaya sahaja,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelakon filem Sumpahan Jerunai, Syafie teruja kerana pertama kali dapat berlakon di bawah arahan Jason Chong.

“Apabila dapat tawaran, saya tidak terus terima. Saya tunggu skrip, setelah gambaran yang diterangkan selari dengan skrip yang diberikan saya terus setuju.

“Saya memang jarang berada dalam naskhah seram, tetapi melihat pengarah dan pelakon yang terlibat, saya yakin untuk terlibat dalam ini sebab mahu melalui pengalaman bekerja dengan mereka yang kita tahu mempunyai reputasi yang baik,” jelasnya.

Filem seram Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 turut menampilkan pelakon Bront Palarae dan Uqasha Senrose. Filem berkenaan dijadualkan menemui penonton Ogos tahun hadapan.