Kata Dazrin, usahawan tersebut dilihat bagaikan tiada masalah meskipun beberapa rakan artis telah pun membuat laporan ke atas dirinya.

“Dia bagaikan tidak ada masalah sedangkan sebelum ini beberapa artis telah pun membuat laporan polis tentang penipuan yang pernah dia lakukan.

“Saya dilantik menjadi duta produk kecantikannya dengan nilai kontrak puluhan ribu. Namun sehingga hari ini dia masih belum menyelesaikan baki bayaran,”ujar Dazrin.

Menurutnya lagi, usaha untuk menghubungi wanita tersebut gagal kerana semua panggilan dan pesanan ringkas tidak berjawab.

Kata Dazrin lagi, dia berkongsi kisah itu dengan orang lain kerana tidak mahu lebih ramai rakan artis menjadi mangsa wanita tersebut.

“Bukannya saya tidak pernah cuba untuk menghubungi, namun semuanya tidak berhasil. Saya tidak mahu sampai satu tahap saya pergi terjah ke rumah dia pula.

“Membaca kisahnya yang rapat dengan seorang artis lain ketika ini, saya mula rasa risau. Kalau boleh janganlah ada yang akan menjadi mangsa dia lagi selepas ini,”jelas Dazrin. - UTUSAN ONLINE