Penyanyi Amira Othman atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 25, turut menerima tempias positif ini.

Baru sahaja pulang daripada menunaikan fardu haji, secara tidak langsung keadaan itu mendorong hatinya ke arah itu. Jelas sangat berkobar-kobar untuk menyampaikan lagu dakwah.

Menurut anak kelahiran Johor ini, berdakwah atau menyampaikan sesuatu yang positif adalah tanggungjawab semua. Apa yang membezakan adalah cara penyampaian seseorang artis itu sendiri.

Mengakui sudah lama berhasrat merakamkan lagu ketuhanan, namun hajatnya itu masih belum kesampaian. Pun begitu dia percaya satu hari nanti apa yang diinginkan itu pasti menjadi kenyataan.

“Saya berharap kerjaya sebagai seorang penyanyi sedikit sebanyak boleh menjadi akar dakwah kepada orang ramai. Maksud saya, melalui bait-bait lirik positif dapat memberikan impak terhadap jiwa pendengar.

“Dalam masa sama mungkin lagu dakwah yang akan dirakamkan nanti tidaklah terlalu berat. Mesej dan muzik yang disampaikan biarlah dalam bentuk yang santai. Asalkan sedap didengar dan boleh menjadi siulan anak-anak muda,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hati-Hati, Jaga-Jaga dan Mimpi Indah ini bersama penyanyi Wany Hasrita dijemput Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan fardu haji Ogos lalu.

Berkongsi doa yang dipanjatkan sepanjang berada di tanah suci, Amira mengaku dia berdoa soal jodoh memandangkan usianya kini 25 tahun. Sewajarnya dia berfikir tentang masa depannya.

“Saya berdoa agar Allah temukan jodoh yang baik. Pasal kekasih, buat masa ini saya masih solo tanpa cinta. Kawan lelaki memang ramai, namun belum ada yang betul-betul istimewa. Doa-doakanlah agar jodoh saya dipercepatkan,” ujarnya.

Pun begitu, ramai peminat mahu menjodohkan Amira dengan Sufian Suhaimi. lagu Takkan Merubah ciptaan Farouk Roman dan Amylea yang menggandingkan mereka berdua kelihatan sangat serasi.

Menjawab persoalan itu, Amira sendiri tidak sangka dapat berduet dengan Sufian yang sudah lama dikenalinya sebagai rakan artis.

Wanita ini juga pernah beberapa kali menjayakan persembahan bersama Sufian sebelum ini.

“Tidak sangka pula tawaran berduet ini sampai selepas balik haji. Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

“Saya berharap agar lagu duet ini dapat mengangkat kerjaya pada tahap yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya mendapat tempat di hati pendengar,” ujarnya lagi.