Itu jawapan ringkas pelakon berusia 33 tahun ini saat diajukan soalan tentang kelibatnya yang sudah tidak kelihatan di kaca televisyen.

Bukan tidak ada tawaran yang datang, tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana tidak mahu terlalu asyik bersandarkan populariti menerusi telemovie mahupun drama bersiri.

“Saya nak bagi orang rindu dan rasanya strategi itu menjadi sebab ramai yang bertanya dalam laman sosial bila saya mahu kembali berlakon drama.

“Cara sebegitu sebenarnya membantu juga bila orang tertanya-tanya ke mana menghilangnya Hisyam Hamid? Sudah tak berlakon drama di TV lagikah?

“Saya tak mahu terlalu terdedah dengan dunia drama serta telemovie. Walaupun saya baru lima tahun dalam industri di Malaysia, tetapi rasanya sudah tiba masanya untuk mengurangkan kekerapan dalam TV,” luahnya.

Ditebak dengan pertanyaan tentang apakah tawaran yang sering menjelma itu bersifat sama, pelakon Ariana Rose itu tidak menafikannya.

Menurut Hisyam, sebagai pelakon dia mahu mempelbagaikan graf lakonannya sekali gus dapat memberi kepuasan peribadi.

“Setiap kali jika dapat projek baharu, kalau boleh saya nak sesuatu yang berbeza. Tak mahulah watak yang sama seperti sebelum ini.

“Saya mahu orang lihat sisi lain Hisyam Hamid bila berlakon di televisyen,” katanya.

Menurutnya, penonton sekarang cepat bersuara jika berasakan lakonan seorang pelakon itu tampak bosan apabila sering membawa watak yang sama.

Bagaimanapun, dia tetap menerima tawaran kecil seperti menjayakan penggambaran telemovie pendek.

Mengalihkan fokus terhadap dunia filem pula, Hisyam melahirkan rasa lega apabila dua buah filem lakonannya iaitu Hero: Jangan Bikin Panas dan Dendam Pontianak bakal ditayangkan tahun ini.

Berdebar menanti maklum balas penonton, jejaka bertubuh sasa itu optimis dan menjadikan setiap kritikan sebagai batu loncatan bagi memperkemaskan karier seninya pada masa akan datang

“Seronok sebenarnya berlakon filem. Naskhah pertama saya dulu ialah filem Kau Yang Satu.

“Dalam filem Dendam Pontianak, saya dapat bawa watak lain daripada yang lain. Memang jauh berbeza dengan watak sebenar saya jika di dunia realiti.

“Untuk filem Hero: Jangan Bikin Panas pula, saya menggalas peranan sebagai seorang anggota bomba. Berbekalkan pengalaman pernah bertugas sebagai salah seorang anggota bomba di Singapura, saya terima tawaran itu.

“Syukurlah, saya lega dengan perjalanan seni ketika ini. Apa yang perlu saya lakukan kini ialah mengekalkan nama agar terus relevan,” katanya menutup perbualan.