Bercakap di hadapan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Rembau, Azmi berkata, dalam tempoh empat tahun berkecimpung dalam bidang hiburan, dia tidak putus-putus belajar bagi memperbaiki keupayaan diri.

“Saya mempelajari teknik-teknik vokal daripada pemuzik berpengalaman. Kekurangan kita bukanlah jadi halangan untuk kita terus berjaya. Kita kena ada semangat untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan walaupun dicabar dengan pelbagai halangan,” katanya.

Azmi berkata demikian semasa menjadi ahli panel khas program SHADES, Inside Communication: Sharing Deepest Stories anjuran pelajar semester empat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM cawangan Rembau, Negeri Sembilan, hari ini.

Dia turut mendendangkan lagu popularnya `Hanya Namu Mu’ dan `Buta’ pada majlis yang turut disertai seorang lagi ahli panel, iaitu pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Al-Amril Othman yang juga cacat penglihatan.

Bagi Al-Amril, seandainya dapat melihat semula, orang pertama yang beliau mahu lihat adalah ibu bapanya.

“Ini kerana mereka telah mendorong saya hingga berada di kedudukan saya sekarang. Cuma, bapa saya merupakan orang yang saya mahu melihat dahulu kerana saya tidak dapat membayangkan wajahnya seperti mana,” katanya yang menyentuh hati para pelajar.

Sementara itu, Penolong Rektor UiTM, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, program itu merupakan saluran yang terbaik buat mahasiswa dan mahasiswi menambah pengetahuan dan juga memberi inspirasi untuk dijadikan panduan demi pemantapan kemahiran komunikasi mereka.

Objektif program tersebut adalah untuk memenuhi sukatan pembelajaran bagi kursus Pengurusan Acara dan mempraktikkan teori pengurusan acara dengan teliti berdasarkan pelan yang sistematik serta berkesan seterusnya memahami cabaran-cabaran berkomunikasi yang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan dan kaedah-kaedah mengatasinya.

Sebelum program ini berlangsung, para pelajar semester empat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah mengadakan sebuah pramajlis di bangunan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur bertujuan untuk mempelajari dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan tentang orang cacat penglihatan. - UTUSAN ONLINE