Menurutnya, usaha yang dilakukan sejak tahun 2015 ini sememangnya rancangan atau persediaan awal untuk dirinya meninggalkan dunia seni, namun ia bukan sekarang.

“Sekarang saya masih meneruskan dunia lakonan seperti biasa, masih ada tawaran dan sekarang sedang dalam penggambaran drama bersiri Black untuk Viu Channel.

“Saya buka perniagaan sebab fikir sebagai artis saya perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

“Tidak selamanya saya akan berada disini kerana dunia artis ini hanya mengikut trend, tawaran pun kadang-kadang naik, kadang-kadang surut,”katanya ketika dihubungi.

Sepanjang Ogos lalu Zoey berjaya meraih anugerah kategori Bakat Khas Usahawan untuk acara Top 100 Top Young CEO, Anugerah Penjual Shopee dan terbaharu pada 26 Ogos lalu, dia menerima satu lagi anugerah iaitu Most Admired Leaders di Asia Awards 2019 oleh Herald Global.

Kejayaan ini adalah pembakar semangat baginya setelah mengharungi pelbagai cabaran sejak memulakan perniagan.

“Anugerah ini adalah satu permulaan buat saya dan produk untuk lebih dikenali.

“Saya melalui pelbagai cabaran dan dugaan untuk sampai ke tahap ini. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu saya mendapat sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan kumpulan pengurusan.

“Mereka banyak memberi nasihat dan tips untuk kembangkan bisnes,”jelas Zoey yang menguruskan perniagaan Mika Series merangkumi produk kosmetik dan pakaian. - UTUSAN ONLINE