Dengan tema Obor Perjuangan, penonton dapat menyaksikan gabungan empat kelompok pembaca puisi dalam acara yang bakal berlangsung pada 21 Mei ini di Persada Canselori UKM.

Deklamator terdiri daripada para pemimpin negara, sasterawan, ahli akademik, seniman dan golongan selebriti. Mereka berkongsi pentas sambil menyampaikan bait-bait puisi yang sebahagian besarnya berteras kepada perjuangan mengangkat nilai kemanusiaan.

Antara barisan artis yang bakal memeriahkan majlis yang berlangsung pada 21 Mei depan ialah, Fizz Fairuz, Najwa Latif, Anis Al-Idrus, Tasha Shilla, Siti Nordiana, Ajak Shiro dan Projector Band.

Mengulas lanjut pembabitan pelakon Nur Kasih iaitu Fizz di acara berpuisi, katanya, sebelum ini dia sama sekali tidak pernah melibatkan diri dalam sebarang majlis yang memerlukan dia mendeklamasi puisi.

Walau bagaimanapun, tidak menjadikan itu satu alasan, Fizz tekad menyahut cabaran yang diberi demi mencuba sesuatu yang baharu selain sebagai satu pengalaman bermakna dalam memartabatkan bahan sejarah negara.

“Jarang saya terlibat dalam majlis puisi tapi atas jemputan yang diberikan oleh pihak Utusan Malaysia, saya sanggup terima cabaran.

“Saya akan menyampaikan puisi Tok Janggut, karya Rahimidin Zahari. Saya cukup berbangga dan berbesar hati menyampaikan sebuah karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan perjuangan,” ujarnya.

Jika tahun lalu pembabitan dramatis air mata, Rita Rudaini berjaya meruntun hati penonton menerusi puisi Setelah Cinta Itu Pergi, bagi edisi kedua kali ini pula, kelibat penyanyi Siti Nordiana sudah tentu bakal dinanti-nantikan semua.

“Saya memandang tinggi pengorbanan dan perjuangan tokoh dan pemimpin wanita yang sanggup bergadai maruah demi negara kita.Untuk itu, puisi yang akan disampaikan nanti bakal membuai minda penonton tentang semangat perjuangan tokoh wanita yang ada di negara. Justeru, saya zahirkan bait-bait puisi indah itu buat mereka nanti,” kata penyanyi Paling Comel ini.

Sementara itu, antara dif-dif terhormat yang turut serta pada majlis yang akan bermula seawal pukul 10 pagi itu nanti ialah, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

Mereka bakal membuat penampilan khas dengan lontaran vokal menerusi puisi pilihan masing-masing.