Berkhidmat di stesen swasta Suria FM lebih sedekad lalu, Lin akui bukan mudah untuknya bertahan sehingga ke hari ini sementelah memerhatikan gelombang perubahan semasa 
dalam industri yang begitu sebati dengannya.

Pertukaran nama-nama deejay yang berlaku di tempatnya mencari rezeki serta di stesen-stesen pesaing sedikit sebanyak mengundang rasa gusar di lubuk hatinya.

Maklumlah, trend menggaji pelawak tanah air sebagai penyampai radio semakin menjadi-jadi, lantas berasa gusar itu adalah sesuatu yang wajar.

Berbicara dengan Hits baru-baru ini ketika ditemui dalam majlis pengumuman finalis Anugerah Pilihan Online 2016, Lin bagaimanapun percaya setiap makhluk-Nya telah ditentukan rezeki masing-masing.

“Jadi, senario yang berlaku itu saya hadapi dengan tenang. Tidak terlalu memikirkannya sangat dan terus melakukan kerja sepenuh hati atas dasar minat terhadap kerjaya ini.

“Setiap hari, saat bangkit daripada tidur, saya tanamkan semangat untuk buat yang lebih baik dari semalam. Mungkin itulah yang meletakkan diri saya pada hari ini,” ujarnya berkongsi petua.

Memulakan tugas harian untuk segmen Suria Cinta dari pukul 8 malam hingga ke pukul 1 pagi setiap hari kecuali Sabtu, Lin tegar melayan kerenah pendengar yang menghubungi di konti.

Panggilan demi panggilan dijawabnya penuh tenang, lagak seperti seorang ibu mendengar permasalahan si anak, sekali gus mewujudkan rasa selesa dan selamat pengadu untuk berkongsi cerita.

“Dalaman saya amat sensitif, hanya luaran kelihatan agresif. Itulah personaliti sebenar saya. Mungkin sifat keibuan yang tersemai dalam diri membuatkan pendengar selesa berborak dengan saya.

“Lampu ditutup, konti dibiar gelap. Tidak cukup dengan itu, saya selubungkan pula dengan selimut bagi mewujudkan mood apabila bertugas. Begitulah saban hari tiap-tiap kali bersiaran,” katanya.

Pernah memenangi dua trofi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010 bagi kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik dan Rancangan Interaktif Radio Terbaik (Suria Cinta), Lin masih menganggap dirinya hanya biasa-biasa.

Pada tahun ini pula, melihat pencalonannya dalam dua majlis anugerah iaitu Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Pilihan Online, Lin seboleh-bolehnya tidak meletak impian menggunung untuk menang.

Sebaliknya kata Lin, biarlah peminat yang menentukan tahap popularitinya kerana kedua-dua majlis anugerah itu berpaksikan undian.

“Sejujurnya, siapa yang tidak mahukan kemenangan. Namun saya berpijak di bumi nyata apabila melihat nama-nama lain yang turut bersaing.

“Jika rezeki berpihak kepada saya, insya-Allah ia bakal mengulangi tuah 2010 menggenggam dua trofi sekali gus. Andai tidak, saya reda kerana yang baik itu datang daripada-Nya, yang buruk itu pula kelemahan saya selaku hamba-Nya,” tutur Lin penuh kelembutan.

Biarlah dikata klise, bagi Lin, sudah memadai namanya disenaraipendekkan di kedudukan lima teratas. Jika menang, itu adalah bonus atas doa para peminat yang tidak jemu menyokongnya selama sedekad lalu.

Mengenai cerita peribadi, dia merupakan seorang ibu tunggal, akur akan nasibnya yang belum dipertemukan jodoh sekali lagi sehingga ke hari ini.

“Kemahuan untuk berumah tangga, punyai suami untuk dikongsi segala rasa hati itu memang tidak boleh dinafikan. Pun begitu, semua itu kerja Allah untuk menentukannya.

“Anak-anak semakin meningkat dewasa. Mereka tiada masalah sekiranya saya bertemu jodoh. Dulu masa masih kanak-kanak, mereka memang membantah tidak mahu melihat saya berkahwin lagi,” jelas ibu kepada dua permata hatinya Nureen Aresya, 15, dan Nazren Asyran, 13.