BALKISYH
BALKISYH 

Insiden yang berlaku pada pertengahan Januari lalu membuatkan Balkisyh lebih selesa ‘berkurung’ dan hanya keluar menghantar anak-anak ke sekolah. Segala aktiviti lain pula diuruskan oleh pembantu rumah.

Semua ini bermula apabila Balkisyh didatangi oleh seorang wanita yang berniqab di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Menurut Balkisyh, wanita tersebut memberi amaran kepadanya agar jangan teruskan perniagaan yang dia jalankan sekarang iaitu menjual produk menguruskan badan dan penjagaan kulit wajah.

Malah wanita itu juga meminta Balkisyh menjauhi individu-individu tertentu.

“Dalam hidup saya, inilah pengalaman paling ngeri yang saya lalui. Entah dari mana, tiba-tiba dia datang memberi amaran agar menjauhi orang tertentu dalam bisnes dan hentikan bisnes yang saya jalankan. Kalau saya enggan berbuat demikian, dia ugut untuk mencacatkan saya.

“Sejujurnya saya dah perasan ada sesuatu yang disorokkan dalam bajunya. Walaupun saya rasa pelik dan tidak sedap hati dengan situasi itu, saya tidak melawan dan hanya pergi begitu sahaja.

“Nak tahu, dua hari kemudian, ada berita kisah wanita yang sengsara kerana disimbah asid oleh seorang wanita berniqab di pasar raya. Saya menangis dan tidak keluar rumah kerana sayalah sepatutnya orang yang menjadi mangsa simbahan asid tersebut. Kejadian itut berlaku berhampiran pasar raya yang saya kunjungi. Mengucap panjang saya mendengar berita tersebut.

“Apa yang saya tahu dan faham, wanita berniqab tersebut diupah untuk mengugut dan menyimbah asid kepada individu-individu tertentu,” kata Balkisyh.

Dalam masa yang sama dia juga berasa sangat terkilan dan kecewa terhadap orang yang berdengki dengan apa yang dilakukannya.

“Kenapa saya menjadi sasaran? Saya baru beberapa bulan menjalankan bisnes ini. Saya bersungguh-sungguh kerana ini mata pencarian utama setelah lama tiada tawaran berlakon. Niat saya hanya mahu mencari rezeki halal untuk anak-anak dan mahu mengumpul wang untuk menghantar ibu menunaikan umrah.

“Jangan minta saya tinggalkan bisnes produk tersebut kerana itulah satu-satunya `periuk nasi’ saya sekeluarga sekarang. Saya sudah lama tiada tawaran berlakon, jadi bisnes inilah tempat saya bergantung untuk mencari rezeki. Saya hanya menjual produk orang dan bukan milik sendiri. Tolong jangan dengki dengan saya,” luah Balkisyh.

Balkisyh percaya wanita berniqab tersebut mengambil upah mengugut orang kerana kesempitan hidup atau terpaksa. Dia juga berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan ancaman sekeliling yang mungkin tidak terduga.

“Disebabkan rasa fobia itu masih ada, saya mengehadkan masa untuk keluar rumah. Kalau anak-anak ajak keluar pun, kami hanya pergi ke tempat yang ingin dituju dan tidak lepak di mana-mana kedai makan.

“Lebih baik makan di rumah. Rasa lebih selamat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Al Waqar Travel Sdn. Bhd. pada Februari lalu di Dewan MDKS, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Dalam acara tersebut, Balkisyh membuka gerai menjual produk Super Lemoon yang membuatkan dirinya kurus dengan berat 55 kilogram berbanding sebelum ini 86 kilogram.

TIADA TAWARAN BERLAKON

Balkisyh juga menyatakan rasa terkilan apabila kurang mendapat tawaran lakonan. Tahun lalu dia hanya berlakon sebuah drama iaitu Adam Cempaka dan belum menerima sebarang tawaran untuk tahun ini.

Balkisyh juga tidak menolak kemungkinan ramai pihak takut untuk memanggilnya berlakon kerana pada 2017 dia sibuk dengan drama bersiri Mak Cun yang memerlukan komitmen yang tinggi.

“Saya tidak salahkan sesiapa pun kerana tidak panggil saya berlakon. Ini soal rezeki. Dalam masa yang sama saya percaya mungkin ada pihak risau untuk panggil berlakon kerana saya pernah banyak kali tolak tawaran kerana Mak Cun. Itu dulu, sekarang saya harap mereka sudah terbuka untuk memanggil saya berlakon kembali.

“Sebagai wanita yang sudah lebih setahun bergelar ibu tunggal, saya tidak boleh harapkan orang lain kerana perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak. Sebab itu saya menjalankan bisnes. Kalau asyik nak tunggu berlakon, saya tidak tahu sampai bila terpaksa menganggur.

“Kepada wanita di luar sana, anda perlu ada simpanan atas nama sendiri dan mempunyai kerjaya tetap kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Bukan kita meminta penceraian, tetapi harus bersedia untuk sebarang kemungkinan,” kata Balkisyh.

Balkisyh dan bekas suaminya, Mohd. Aizad Rosli berkahwin pada 2007 dan mereka sah bercerai pada 5 September tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 8, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 3.