Bagaimanapun jelasnya dia sangat bersyukur apabila ujian klinikal yang dibuat ke atas spesimen yang diambil dari dalam bahagian perutnya itu negatif kanser.

“Bila doktor beritahu saya mungkin ada kanser memang waktu itu saya reda.

“Namun selepas tiga minggu menunggu ujian yang dibuat di Melbourne, Australia akhirnya saya disahkan bebas kanser.

"Waktu itu memang bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Awie Romantika hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai tahap kesihatannya Awie atau namanya sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51, dia masih mengalami sakit di bahagian kaki dan perut.

Bagaimanapun sehingga ke saat ini dia masih berusaha untuk merawat penyakitnya itu dengan cara moden dan tradisional.

"Sudah banyak kali saya keluar masuk hospital akibat bengkak kaki dan perut, terutama ketika bakal menjayakan konsert besar.

“Paling teruk ketika pulang dari mengerjakan umrah tempoh hari. Bahagian belakang saya seperti dicucuk pisau manakala perut saya membusung. Doktor mengesahkan saya ada masalah tulang belakang.

“Saya memang terus dapatkan rawatan untuk kaki di hospital tetapi dalam masa yang sama berikhtiar dengan cara tradisional juga,” jelasnya.

Sementara itu dia yang bakal mengadakan konsert solo berskala besar tahun hadapan. Awie tidak melihat dugaan yang dihadapinya ini sebagai penghalang untuk dia memberikan persembahan terbaik.

“Memang sebagai seorang penyanyi, stamina itu penting. Jadi saya berharap untuk sihat sekaligus dalam melangsungkan konsert solo saya pada 15 Februari tahu hadapan.

"Hasil perbincangan dengan rakan strategik, UK Global dan Atirox Ltd, kami mahu menyelitkan babak yang sesuai dengan lagu yang akan dipersembahkan. Jadi akan ada lakonan di atas pentas.

“Buat masa ini pihak saya memang sudah menyenaraikan beberapa bama artis wanita termasuk Ziana Zain dan Erra Fazira, tetapi masih dalam pebincangan,” tambahnya.

Konsert Awie Romantika 2020 dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor, pada 15 Februari 2020, pukul 8 malam.

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual dengan harga RM 88 sehingga RM438. Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi 03 86050195. - Utusan Online