Program tersebut yang digelar Program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni yang dianjurkan oleh organisasi hab hiburan seranta, Media House Entertainment (MHE) diadakan pada 30 Mac ini pukul 5 petang di Dewan Utusan, Jalan Chan Sow Lin.

Ia bukan sekadar program biasa tetapi mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Usahawan. Malah program yang julung-julung kali diadakan ini khusus untuk para penggiat seni tanah air dalam lapangan masing-masing bakal dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Objektif utama program ini untuk memberi peluang perniagaan bersesuaian untuk diceburi penggiat seni. Ia juga memberi ruang kepada pihak kementerian memberi penerangan tentang geran, bantuan atau khidmat nasihat berkaitan.

Menerusi program tersebut, MHE selaku pengantara antara pihak kementerian dan penggiat seni, mahu memberi laluan mudah kepada kalangan artis untuk menjadi ahli perniagaan berjaya.

Kedudukan mereka dalam profesion glamor dan dikenali ramai ketika usia masih muda wajar digunakan sepenuhnya untuk pembabitan dalam bidang keusahawanan demi masa depan yang cemerlang pada usia tua.

Dengan pengaruh dan nama yang ada, golongan ini harus memanfaatkan sepenuhnya peluang meraih pendapatan lebih lumayan pada masa depan.

Justeru, selaku penganjur, MHE menjemput seberapa ramai penggiat seni di Malaysia untuk hadir bertemu dengan pihak kementerian kerana menerusi segmen tersebut akan menjadi medan pengumpulan maklumat kepada artis dan mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan.

Peluang itu terbuka bukan sahaja kepada individu yang telah menjalankan perniagaan, malah buat yang sedang berjinak-jinak dalam perniagaan.

Untuk yang masih ragu-ragu tentang hala tuju perniagaan yang hendak diceburi, mereka turut dialu-alukan ke program ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Antara yang bakal hadir ialah Fauziah Latiff, Datuk Fazley Yaakob, Datuk DJ Dave, Datuk Nassier Wahab, Ben Ladin. Erma Fatima, Ezani Nizariff, Reza Hasbi, Ida Moin dan ramai lagi,

Malah, penyanyi Nubhan Ahamad yang kini bergelar usahawan juga diberikan peluang untuk berkongsi kisah kejayaan dan pengalamannya sebagai ahli perniagaan dalam satu sesi khas petang pukul 2 petang Sabtu ini.

“Program yang dianjurkan ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan golongan selebriti. Sesi perbincangan antara menteri dengan penggiat seni akan diadakan secara santai selepas majlis berakhir yang kita namakan sebagai Kopi Kopi Bersama Pak Wan.

“Di situ, mereka boleh menanyakan apa sahaja persoalan berkaitan bidang perniagaan.

“Semua jenis maklumat akan disalurkan pada satu tempat kerana semua agensi kementerian terbabit akan hadir untuk menyalurkan maklumat,” kata Pengarah Urusan MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Antara agensi yang bakal terbabit dalam majlis berkenaan adalah Tekun Nasional dan Bank Rakyat di bawah kementerian turut hadir memberi penerangan tentang fungsi agensi di bawah kementerian demi kebaikan bersama.

RONGGENG MHE

Sebelum itu, seiring dengan program keusahawanan tersebut di lokasi yang sama, turut dianjurkan program Ronggeng MHE iaitu acara berzumba sebagai galakan mengamalkan gaya hidup sihat yang terbuka kepada umum bermula pukul 9 pagi.

Artis popular tanah air iaitu Fauziah Latiff dan Watie Elite bakal menyerikan majlis dan berzumba beramai-ramai dengan para peserta dan mereka juga berpeluang beramah mesra dengan dua artis tersebut.

Senaman zumba yang akan berlangsung dalam tempoh tiga jam itu dikendalikan secara profesional dan akan turut berkongsi cara mudah mengamalkan zumba kepada semua peserta.

Ronggeng MHE pula adalah acara bulanan anjuran MHE yang bertujuan memberi kesedaran tentang gaya hidup sihat kepada masyarakat.

Pada hari yang sama juga, pertandingan akhir Worldstars Championship Road To Hollywood (Wcopa) turut diadakan bermula pukul 2 petang dengan 50 penyertaan dari seluruh negara.

Mereka yang menjuarai Wcopa ini bakal bertanding di Los Angeles bersaing dengan bakat-bakat hebat dari seluruh dunia.

Orang ramai dijemput terlibat dalam program zumba atau membuka gerai jualan pada hari tersebut. Wang penyertaan sebanyak RM30 dikenakan bagi menyertai program Ronggeng MHE dan RM100 bagi sewaan gerai jualan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi talian 010-2858494 atau ikut perkembangan terkini di laman web www.mhetv.my serta laman sosial MHE TV.