Bukan tiada keinginan untuk terlibat dengan lakonan sementelah berada dalam industri seni selama lima tahun dan bergerak bersama-sama kumpulan Forteen.

Namun Ariz mengakui, ada ketakutan yang bersarang di hati untuk melebarkan bakatnya dalam bidang tersebut.

"Dahulu ada juga terlibat dalam pementasan teater Projek Kahwin tetapi tidak berlakon sebaliknya sekadar menyanyi.

“Bukan tak teringin nak berlakon sebelum ini tapi saya tiada keyakinan dan kemahiran untuk meneroka bidang tersebut.

"Saya juga enggan orang melihat kelemahan sebaliknya saya mahu mencuba apabila saya sudah sedia,” kata Ariz yang buat pertama kali melangkah ke pentas teater.

Bagaimanapun kata Ariz, penyertaannya dalam teater Ombak Rindu... Tiada Penghujung berlaku secara tidak sengaja apabila dia dan anggota Forteen ditawarkan membintangi teater tersebut.

Merupakan satu penghormatan buatnya, Ariz juga menganggap peluang itu sebagai batu loncatan untuknya mengembangkan bakat selain nyanyian.

"Ini juga merupakan ruang bagi saya untuk menimba ilmu baharu dalam bidang seni," katanya.

Berkongsi cerita pengalaman berada di pentas teater, Ariz mengakui, perasaan gementar bersarang di dalam dadanya sebelum hari pementasan.

Sebagai orang baharu dia tentu sahaja perlu melipat gandakan usaha dek tiada pengalaman.

“Kalau nak diikutkan sepanjang latihan tempoh hari ada sahaja yang tak kena sampaikan saya rasa berputus asa.

“Sehari sebelum hari pemen­tasan pula, saya ada cakap mahu segera habiskan pementasan ini sebab kurang yakin.

"Tapi tak sangka pula bila sudah berada di atas pentas, perasaan gugup hilang dan saya mampu memberikan yang terbaik.

“Sekarang saya pula yang rindu nak berlakon lagi. Macam orang jatuh cinta pula,” kata penyanyi ini.

Membawakan watak Rolland dan bergandingan dengan pelakon berpengalaman Zaidi Omar, pengalaman itu pastinya memberikan suasana baharu dalam kerjaya seni malah membuka satu lagi peluang untuknya membuktikan bakat seni yang ada.

BEBAS

KELUAR dari zon selesa merupakan perkara menggembirakan buat lelaki berusia 27 tahun ini.

Mengakui pembabitan selama selama pembabitannya dengan kumpulan Forteen sangat menyenangkan, ada kala membuatkan dia tidak memikirkan bidang lain.

“Lima tahun yang sangat menggembirakan tapi sampai bila saya harus berada dalam zon selesa? Sebab itu saya memberanikan diri mencuba bidang lakonan pula.

“Apabila sudah merasai pengalaman ini, nampaknya saya semakin selesa. Insya-Allah saya akan terus mencuba dalam lakonan kalau ada tawaran sesuai,” tambahnya.

Mengulas mengenai bidang nyanyian, Ariz menganggap perjalanan yang dilalui dengan Forteen telah mematangkan dirinya, Ameer, One dan Izzue.

Isu kesibukan anggota lain terhadap kerjaya peribadi juga sudah tidak lagi menjadi masalah besar kepada mereka.

Malah tegas Ariz, sepanjang tempoh ini mereka sudah menghadapi pelbagai cerita pahit dan manis bersama-sama.

“Apa isu yang tidak timbul dengan kumpulan Forteen? Rasanya sejak dahulu ada sahaja berita yang tak manis kedengaran.

“Namun akhirnya kebenaran terbukti. Kami sendiri juga memahami antara satu sama lain.

"Kalau ada anggota yang sibuk dengan kerja peribadi, itu tak menjadi hal besar.

"Berlandaskan prinsip tolong menolong dan memahami itulah kami bergerak selama ini.

"Tidak ada masalah yang tak dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Terkini, Ariz dan anggota Forteen bakal mempromosikan lagu baharu berjudul Dekat Tapi Jauh.

Lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu sepatutnya sudah dipromosikan dua bulan yang lalu tetapi dek kesibukan mereka, perancangan itu terpaksa ditunda.

“Tahun ini kami merancang untuk mengeluarkan dua lagu baharu sahaja.

"Dalam keadaan semasa, kurang cocok untuk mengeluarkan album penuh.

"Harap-harap lagu ini nanti akan mendapat sambutan hangat daripada peminat seperti lagu terdahulu,” katanya.