Membuka kembali sejarah lama, Zulin berkata lelaki berasal dari Indonesia yang hampir menjadi suaminya itu merupakan seorang yang alim, berkerjaya bagus dan bercita-cita menjadi ahli politik.

Selepas mendapat restu kedua pihak keluarga, mereka memutuskan untuk melangsungkan pernikahan pada September 2018.

"Dia datang lamar dan saya terima. Saya pernah berbual dengan keluarganya menerusi aplikasi Facetime sementara bertemu mereka pada September nanti.

"Dalam pada itu, banyak perkara sudah dibincangkan bersama seperti rancangan hendak membeli rumah dan berpindah kerja di Malaysia," katanya.

Dalam tempoh membuat persiapan majlis, Zulin sempat mencipta lagu, Dan Ketika Itu dan mahu dihadiahkan kepada bakal suaminya itu sebagai kejutan.

"Satu hari tu,saya ke Indonesia untuk bertemu dengannya. Kebetulan ketika itu ada pilihan raya Indonesia, jadi dia beritahu saya yang dia ke Jawa.

"Dia berpesan jika saya sudah sampai maklumkan padanya. Sebaik saja tiba, saya mesej dan dia menunggu dia datang. Namun dia tidak muncul-muncul.

"Sampai ke hari ini tidak tahu entah ke mana hilangnya. Saya cuba hubungi dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp tetapi nombor itu sudah tidak wujud," tambahnya lagi.

Disebabkan pembatalan itu, dalam keadaan sedih dia juga terpaksa berdepan dengan pelbagai soalan daripada orang sekeliling termasuklah media.

Lebih-lebih lagi lagu Ketika Ini menjadi trending nombor satu dalam YouTube dan mencecah lebih enam juta tontonan.

"Sampai sekarang saya tidak mahu menyanyi lagu itu di mana-mana. Tiap kali tengok muzik video, saya terlalu sedih. Tapi saya cepat move on sebab mungkin terlalu sakit dan benci pada dia," luahnya.

Meskipun sepanjang hidup, dia asyik dipermainkan lelaki namun selebriti berusia 30 tahun ini tidak pernah menutup pintu hati untuk terus mengimpikan mahu membina sebuah keluarga sendiri.

Zulin meluahkan sekali gus mendedahkan rahsia tersebut di dalam blog miliknya baru-baru ini menerusi entri, kisah sebenar di sebalik lagu Dan Ketika Itu. - UTUSAN ONLINE