Timbalan Presiden Himpunan Siswazah Kelantan, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, satu laporan polis terhadap penyanyi tersebut telah dibuat dan mereka kini sedang memantau tindakan artis berkenaan.

“Kami memerhati secara dekat perkembangan dan tindakannya.

“Selepas laporan polis dibuat, individu berkenaan dilihat meminta maaf.

“ Bagaimanapun kami melihat dia tidak ikhlas kerana telah menuduh pihak lain pula yang membuat salah dengan memaparkan video tidak penuh,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Aizuddin, video Caprice sebelum ini menyebut orang Kelantan secara tiba-tiba pandai berbahasa Inggeris ketika sesi bersama pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik baru-baru ini.

Katanya, tindakan penyanyi ini boleh menggugat ketenteraman masyarakat dalam negara.

“Jika beliau berada pada pihak benar, kami mendesak dan mendedahkan video sebenar dan menjawab apa sebenarnya tujuan beliau berbuat demikian.

“Penghinaan dan menghasut kebencian pada orang Kelantan amatlah kami kesali dan tidak boleh diterima,” katanya.- UTUSAN ONLINE