Ramai peminat tahu bermula 2016, Mak Jah sengsara kerana berlawan dengan kanser rahim tahap satu selama dua tahun.

Dalam tempoh tersebut Mak Jah terpaksa menolak tawaran berlakon kerana perlu menjaga kesihatan dan mengikut jadual rawatan doktor.

Kini, walaupun Mak Jah sudah sihat sepenuhnya daripada kanser, dia masih bergantung kepada ubat dan tidak sekuat dulu.

Mak Jah masih perlu makan ubat dan suplemen bagi mencegah merebaknya kanser. Kesemua kos ubat-ubatan tersebut mencecah RM1,500 sebulan dan tidak termasuk rawatan susulan.

“Saya yakin, Allah memberi ujian kepada hamba-Nya sesuai dengan kemampuan. Tinggal lagi kita perlu banyak bersabar, berusaha dan berdoa agar ujian yang dilalui dapat diringankan.

“Tidak dinafikan ada yang kasihankan saya yang masih berlakon walaupun sudah tua. Kata mereka, dalam usia sekarang ditambah pula dengan masalah kesihatan, saya sepatutnya duduk di rumah dan berehat. Tidak perlu menghabiskan banyak masa di lokasi penggambaran.

“Bagi saya, selagi ada kudrat saya akan terus berlakon walau apa pun yang terjadi. Tahap kesihatan sekarang memang tidak mengizinkan saya bekerja kuat seperti dulu. Namun apa boleh buat, saya tidak boleh mengharapkan anak semata-mata.

“Memang anak-anak menanggung saya tapi saya harus faham mereka juga ada komitmen sendiri,” ujar Mak Jah dengan nada sedih.

Katanya, dia perlu bekerja setidak-tidaknya bagi menampung kos perubatan dan rawatan susulan setiap bulan.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan, sudah tentu kita semua rasa terjejas dan saya tidak boleh terlalu berharap kepada anak-anak sahaja,” katanya.

Justeru, Mak Jah juga tidak kisah diberikan watak lawak atau hantu dalam drama atau filem. Malah, ada yang melihat kelibat Mak Jah sebagai bahan untuk ketawa.

“Saya reda dan tidak kisah jika ada yang menganggap saya begitu. Lagi pun, watak sedemikian memang sinonim dengan saya.

“Tak kisah watak hantu, komedi atau orang gaji, saya bersyukur masih diberikan peluang untuk berlakon yang menjadi punca pendapatan saya.

“Saya akui tawaran tidaklah ‘sekencang’ dulu tapi sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan kos hidup dan perubatan,” tambah Mak Jah yang pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada Februari lalu kerana menghidap jangkitan kuman pada paru-paru dan darah.

Dalam masa sama, pelakon yang sudah membintangi lebih 100 drama ini juga menghidap kencing manis dan darah tinggi. Ketika ini dia lebih menjaga pemakanan dengan pengambilan banyak ikan dan sayur-sayuran sebagai menu utama.

Positif diri

Apa yang dilalui oleh Mak Jah membuatkan dia suka berkongsi pengalaman bagi dijadikan panduan buat semua wanita di luar sana.

“Sebagai wanita yang terdedah kepada risiko kanser rahim, berjaga-jagalah dalam pemakanan dan apa sahaja yang boleh menyebabkan kanser itu aktif.

“Apa yang saya belajar daripada semua ini adalah positifkan diri dalam apa jua keadaan. Elakkan stres yang mempengaruhi tahap kanser.

“Saya pernah stres kerana tidak dapat berlakon dua tahun dan kurang wang untuk menanggung kos perubatan. Mujurlah ada anak-anak dan rakan-rakan memberi semangat kepada saya untuk kekal positif.

“Masalah dan ujian hidup akan tetap ada. Kita tidak akan mampu mengelak masalah kerana itulah kehidupan.

“Kalau kita tidak mampu menanggung masalah seorang diri, carilah seseorang atau ahli keluarga yang boleh menjadi tempat meluah perasaan. Peranan mereka membolehkan kita berfikiran positif.

“Sekarang saya banyak terlibat dalam apa jua aktiviti yang mendorong saya untuk berfikiran positif.

Misalnya menyertai aktiviti kemasya–rakatan yang membuatkan saya lebih menghargai kehidupan,” katanya yang popular menerusi drama Fatimah Juling, Halimah Jongang dan Awan Dania.